Showing posts with label PENGALAMAN. Show all posts
Showing posts with label PENGALAMAN. Show all posts

Monday, February 22, 2010

MARILAH KITA BERMIMPI


Semasa kecil saya tidak pernah berani untuk bermimpi. Seperti anak-anak kecil yang lain, apa yang saya tahu ialah bermain dan berseronok dengan rakan-rakan sebaya. Tidak ada masalah yang saya hadapi, hari-hari itu terus berlalu sehinggalah saya berumur 12 tahun. Tahun itu adalah tahun pertama saya menduduki peperiksaan besar dalam kehidupan iaitu UPSR.

Anak bongsu yang tidak pernah bermimpi untuk menggapai kejayaan. Keputusan yang saya perolehi juga telah mengiyakan bahawa anak kecil itu memang tidak pernah bermimpi. 2A,2B,1C itulah keputsan yang saya dapat, itu pun saya dapat tahu dari rakan saya. Ketika keputusan dikeluarkan saya berada di Kota Tinggi mengikuti program luar sekolah.



Keputusan itu serba sedikit membuatkan saya sedih, tetapi seperti biasa ia hanyalah perasaan yang sebentar. Ibubapa saya tidak memarahi saya, tetapi saya tahu ada sedikit kekecewaan dalam hati mereka. Anak bongsu katakan.

Kemudian datang sepucuk surat dari sebuah sekolah agama di rumah saya. Maahad Annur, sebuah sekolah agama swasta yang terletak di Pontian, atau lebih tepat lagi di Benut. Anak bongsu, tidak pernah tinggal jauh dari ibubapa. Saya menolak, ibubapa saya akur.

Syukur, Along saya mendesak kedua ibubapa saya untuk menghantar saya ke sekolah tersebut. Saya tertekan, ibubapa saya membuat keputusan untuk menghantar saya juga. Kehidupan baru saya bermula di sana, sebuah sekolah yang banyak mendidik saya agar bermimpi.



MIMPI BARU DI SEKOLAH BARU

Kehidupan berdikari bukanlah sesuatu yang pernah saya fikirkan. Gosok baju sendiri, basuh baju sendiri, basuh pinggan sendiri, dan semuanya sendiri. Tetapi saya bersyukur di sinilah saya bermula bemimpi, mimpi yang penuh dengan cita-cita yang besar.

Saya mula mengenali apa itu cita-cita, dan saya berjaya untuk bermimpi. Saya mencoretkan setiap cita-cita di dalam diari. Cita-cita yang penuh dengan harapan. Cita-cita yang mungkin menjangkaui mimpi-mimpi yang ada dalam diri rakan-rakan saya ketika itu. Saya menjadi ketagih untuk bermimpi, bermimpi untuk menggapai cita-cita.

Anak bongsu yang dahulunya tidak pernah kenal erti cita-cita, mula mengorak langkah mencipta mimpi-mimpinya menjadi nyata. Saya berkerja keras untuk menyempurkan cita-cita saya. Bermula mahu menjadi pelajar terbaik untuk setiap tahun, sedikit demi sedikit saya berjaya menjadi terbaik. Di dalam kelas saya tidak pernah mendapat nombor bawah dari tiga. Sama ada nombor satu, dua atau tiga di dalam kelas.

Ya, kerja keras. Saya bersyukur kerana Allah tidak pernah mengurniakan perkataan “Genius” kepada saya. Tetapi saya bersyukur kerana Allah memberi saya kekentalan dan semangat untuk berkerja keras mencapai apa yang saya inginkan.

Setelah 8 tahun, banyak cita-cita saya sudah mula menampakkan hasil. Banyak mimpi-mimpi saya sudah menjadi realiti. Apa yang saya tahu Allah maha mendengar dan benar-benar mengabulkan doa para hamba-Nya yang berkerja keras.

Dahulu saya pernah bermimpi untuk mendapat tajaan biasiswa apabila berada di Universiti. Alhamdulilah, Allah merealisasikan mimpi itu. Manakala dalam konteks agama, saya pernah bermimpi untuk menjadi pendakwah dan keluar bertemu dan bercakap dengan umat manusia. Alhamdulilah, mimpi itu dimakbulkan oleh Allah berkat kerja keras dan cita-cita mahu menyebarkan Islam. Kini saya sukarelawan di IIS (Islamic information and Service Foudation) sebagai penceramah dan pembantu, dan juga baru dilantik sebagai Ketua Team Dakwah Kepada Bukan Islam di ILUVISLAM.

Menjadi pemimpin di sekolah, di Matrikulasi, dan seterusnya di Universiti juga sudah saya rasai. Semasa di tingkatan 4, saya berjaya mendapat tempat ke dua keseluruhan peperiksaan untuk tingkatan 4. Mendapat pelajar cemerlang subjek Ekonomi untuk SPM dan berjaya ke peringkat kebangsaan kuiz Pengguna dua tahun berturut-turut dan permodalan Nasional. Dan banyak lagi mimpi-mimpi yang pernah saya lakarkan dalam diari, boleh dikatakan hampir separuh telah direalisasikan.

Mimpi saya terus berkembang dan bertambah seiring peningkatan usia. Mimpi-mimpi itu saya lakar dan sematkan baik-baik dalam simpanan saya. Kalau dahulu mimpi-mimpi itu tidak terancang, kini mimpi-mimpi saya dirancang dengan baik. Antara mimpi besar yang sudah 3 tahun saya lakarkan ialah ingin menjadi CEO ketika umur saya mencecah 30 tahun.

Gelak? Saya tidak kisah, kerana setiap mimpi orang-orang besar sentiasa sukar dipercayai tetapi mereka benar-benar menggapainya. Sebutkan sahaja tokoh-tokoh besar yang sudah mencapai kedudukannya sekarang. Semuanya bermula dengan mimpi yang sukar dipercayai orang lain. Tetapi dengan itulah mereka berusaha dan bermotivasi untuk menggapainya. Saya juga begitu.

Semakin banyak kita bermimpi, sebenarnya semakin banyak kita memaksimumkan potensi diri kita. Semakin banyak itu juga barulah kita kenal dan memahami potensi diri kita sebagai makluk terbaik yang Allah ciptakan sebagai khalifah.

Sehingga hari ini saya terus bermimpi. Bermimpi bersungguh-sungguh, kemudian mencatat dan merancang mimpi-mimpi saya itu agar tidak terkeluar dari landasan yang betul. Tidak ada yang mudah untuk berada di puncak. Pengalaman saya berada di puncak Gunung Kinabalu memberitahu kepada saya bahawa terlalu banyak pengorbanan yang terpaksa kita lakukan untuk berada di tahap itu. Begitu jugalah untuk mencapai puncak kejayaan dalam kehidupan. Terlalu banyak pancaroba yang akan terpaksa kita hadapi. Antara ya atau ya, kita harus laluinya.


MY NAME IS KHAN MEMBUKA DIMENSI BARU MIMPI

Apabila saya menonton filem My Name Is Khan lakonan Shah Rukh Khan, ia semakin kuat memberikan momentum untuk saya bergerak lebih laju untuk apa yang saya percaya. Rizwan Khan mempunyai mimpi yang besar untuk bertemu dengan Presiden Amerika. Dia percaya dengan mimpinya, dia berusaha keras untuk menyempurnakan cita-citanya. Banyak perkara yang dia lalui, sehinggakan banyak hal yang terpaksa beliau korbankan.

Tetapi yang penting dia percaya bahawa mimpinya itu boleh digapai. Kerana mimpi besar sentiasa difikir pelik dan luar biasa, tetapi sebenarnya mimpi pelik dan luarbiasalah yang pasti boleh direalisasikan. Semuanya kerana kita PERCAYA bahawa MIMPI itu boleh direalisasikan.

Kerana apa percaya itu wujud? Kerana Khan percaya bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya menjadi pengganas. Ya, semuanya kerana Khan mahu nyatakan bahawa beliau bukanlah Pengganas. Dan beliau percaya bahawa Islam memang benar-benar tidak mengajar umatnya tentang keganasan. Akhirnya beliau berjaya bertemu dengan Presiden Amerika, dan beliau nyatakan, “My Name Is Khan, I’m not a Terorist”


MARI BERMIMPI BESAR

Saya tidak pernah bermimpi kecil. Saya percaya bahawa bermimpi besar, ia akan mencipta suatu tarikan positif yang akan membawa saya kearah apa yang ingin saya capai. Ya bukan mudah, tetapi dengan perancangan yang rapi, dan sentiasa menjadikan Allah sebagai tempat meminta, semuanya bukan lagi mustahil. Kerana saya PERCAYA bahawa MIMPI saya akan dikabulkan oleh ALLAH.

Firman Allah dalam surah ar-Raad 13:11, “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

Sesungguhnya mimpi itu menjadi realiti dari perancangan yang rapi, kerja keras, dan meminta kepada Illahi. Kerana MIMPI itu milik Illahi. Kanak-kanak yang dahulu tidak pernah bermimpi, kini sedang menggapai mimpi-mimpinya dan akan sentiasa bermimpi sehingga akhir hayatnya.

Kerana saya percaya kuasa mimpi dan anda bagaimana?





___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Baca Artikel Penuh>>

Thursday, December 31, 2009

KAHWINLAH TERANG-TERANGAN


“Aku nak kahwin sembunyi-sembunyi.” Fathul suarakan hasratnya kepada saya. Mukanya tidak ada tanda rasa bersalah, malah berseri-seri pula.

Saya pula yang agak terkejut dengan tindakan ‘berani mati’ beliau. Saya katakana berani mati, kerana tindakan beliau yang membelakangi keluarga adalah suatu tindakan biadap dan tidak menepati sunnah. Sedangkan beliau yang saya kenali adalah seorang pemuda yang sangat menghormati keluarga dan kuat mengikuti sunnah.


“Kenapa nak sembunyi-sembunyi?” Soal saya menginginkan jawapan.

“Sebab kedua orang tua sebelah perempuan tak mengizinkan aku mengahwini anaknya.” Jawapan beliau selamba.

“Mak bapa dia tak izinkan mesti ada sebab.” Saya cuba menduga.

“Memang pun, sebabnya ialah aku tak berkerja lagi. Mak bapa dia suruh aku berkerja dulu baru aku boleh masuk meminang.”

“Ha, betullah itu. Alasan mak bapa dia memang rasional. Kalau kau berkahwin dengan anak perempuannya, apa yang kau boleh beri? Kau pun tak berkerja lagi.” Ujar saya membenarkan alasan mak bapa sebelah perempuan.

“Adakah kerana wang menjadi alasan sesebuah perkahwinan itu harus dihalang? Adakah ini ada dinyatakan dalam syariat bahawa wang menjadi syarat sahnya perkahwinan? Bukankah ini yang dinamakan seabgai adhuul, iaitu melarang anak menikah tanpa alasan syari’e.” Fathul membalas hujah saya bertubi-tubi.

“Pertama, aku merasakan alasan kedua orang tua bakal isteri kau masih lagi selari dengan syariat…”

“Mana ada selari dengan syariat. Sedangkan semasa zaman Rasulullah pun sudah ada sahabat baginda yang bernikah hanya membacakan al-Quran sebagai mahar perkahwinannya. Sedangkan ketika tu sahabat ini tidak ada se-sen pun.” Fathul memotong cakap saya.

“Cuba dengar dulu perjalasan aku,” Saya memujuk beliau.

“Alasan kedua orang tua bakal isteri kau tak melanggar syariat. Dalam masa yang sama aku tak cakap bahawa seorang lelaki yang tidak ada perkerjaan tetap tak boleh berkahwin. Tetapi dalam hal ini, aku nak tanyakan kepada kau, bersalahkah ibubapa melarang anaknya bernikah dengan orang yang tidak ada pekerjaan tetap lagi? Larangan ini hanyalah disebabkan kekhuatiran mereka yang anak mereka tidak terbela dan terjaga bila berkahwin nanti.

Dari mana kau nak dapatkan duit untuk membelikan pakaian, makanan dan tempat tinggal untuk isteri kau bila berkahwin nanti? Kau ingat kisah Muawiyah bn Haidah al-Qusyairi bertanyakan hak isteri kepada rasulullah?” Soal saya kepada Fathul.

“Tak.” Fathul jawab pendek.

“Dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Abu Daud bahawa Muawiyyah bin Haidah pernah bertanya pada Rasulullah. Kata beliau, “Wahai Rasulullah, sebenarnya apakah hak seorang isteri atas diri suaminya?” Kemudian Rasulullah menjawab, “Seorang isteri harus mendapatkan makanan sebagaimana yang si suami makan, mendapatkan pakaian sepertimana yang suami pakai. Jangan sesekali memukul wajahnya, jangan menghinanya, serta jangan memisahkan dirinya dengan kalian (para suami) kecuali hanya di dalam rumah sahaja.”

“Nah, semua alasan kedua orang tua bakal isteri kau selari dengan nas yang aku bacakan tadi.” Saya tegaskan lagi, sambil melihat wajahnya.

Wajahnya sunggul, tetapi saya tidak tahu adakah nasihat ini hanya sekadar masuk telinga kiri, keluar telinga kiri semula.

Fathul tak menjawab sedikit pun. Dia terus terduduk, kemudian bersandar ke dinding bilik. Saya merapatkan diri dengannya, kemudian menepuk-nepuk bahunya.

“Aku bukan tidak menyokong tindakan kau untuk mengikuti sunnah. Tetapi jalan kau untuk mengikuti sunnah tidak betul. Sedangkan taat kepada ibubapa selagi mana ia tidak menyalahi syariat adalah sebuah sunnah besar yang wajib kau ikuti.” Fathul menganggukkan kepala. Saya mengharapkan dia memahami apa yang saya katakan.


Saya sendiri berniat untuk berkahwin awal (tidaklah terlalu awal, awal bagi saya ialah 25 tahun dan ke atas), tanpa meminggirkan kedua ibubapa dipermudahkan. Mungkin kisah ini adalah kisah terpencil dari beribu kisah yang membuahkan rasa bahagian dan restu dari kedua belah pihak. Tetapi kisah-kisah terpencil inilah yang selalu digembar-gemburkan, dan sekaligus menjadikan agama sebagai alat dan alasan untuk kepentingan diri sendiri.

Betapa banyak para pemuda terutama mahasiswa yang semangatnya menyala-nyala ingin menegakkan sunnah. Akhirnya memilih jalan nikah segera dan sembunyi-sembunyi. Kahwin muda boleh, tetapi jika ia dilaksanakan dengan restu dan pertolongan ibubapa.

Ramai sahaja kawan-kawan saya yang berkahwin muda, mendapat restu dan pertolongan dari segi kewangan dari ibubapa masing-masing. Tetapi berapa ramai ibubapa yang memahami dan dapat membantu dari segi kewangan seperti itu?

Saya meminta izin untuk pulang. Kemudian saya terhenti seketika di pintu melihat Fathul yang sudah sedikit tenang dan menerima kenyataan. Namun, raut-raut wajahnya masih menunjukkan bahawa beliau runsing dan ragu-ragu untuk membuat keputusan.


“Fathul!” Saya memanggil namanya. Dia mendongak melihat saya di pintu.

“Imam Syafi’i ada berkata, “Sesungguhnya seorang remaja itu dinilai dengan ilmu dan ketaqwaannya,”. Kalau hal ini semakin mengusutkan kepala, habiskan belajar dulu kemudian kerja dan terus masuk meminang. Aku akan jadi orang pertama menyokong kau."

Saya mengakhiri perbualan saya dengan beliau.




____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Baca Artikel Penuh>>

Friday, April 24, 2009

ALLAH LEBIH MENGETAHUI


“Kenapa pula saya perlu bayar, sedangkan benda ini bukan salah saya.”

“Jangan banyak cerita, bayar saja kompaun ini.” Pekerja KTMB tersebut menunjukkan buku kompaunnya kepada saya.

“Kalau saya bayar, menunjukkan saya bersalah!” Titik. Saya tidak mahu bayar walau sesen pun kepada pihak KTMB. Semua ini gara-gara pekerja KTMB yang menjual tiket di stesyen Putra. Saya minta tiket ke Serdang, selepas membayar tiket yang berharga Rm3.10 saya terus berlalu menuju ke tempat menunggu. Keadaan petang itu sangat sibuk, kepadatan penumpang di dalam komuter juga meresahkan dan merimaskan. Tidak terfikir di kepala saya untuk menyemak tiket tersebut sama ada betul atau tidak.

Lebih kurang 9.10 malam komuter yang saya naiki tiba di stesyen Serdang. Seorang pekerja KTMB bersedia di hadapan pagar stesyen untuk mengambil tiket-tiket dari penumpang. Belum sampai 5 minit melepasi pagar stesyen Serdang, saya dipanggil dengan kasar. Seolah-olah saya melakukan kesalahan besar.

“Ada apa?” Saya bertanya, walaupun dalam hati sangat sakit hati dipanggil seolah-olah saya melakukan jenayah besar!

“Ini tiket engkau bukan ke Serdang tapi ke Rawang.”

“Ha!” Saya terkejut.

Setengah jam saya berada di bilik KTMB. Berdiri di depan pegawai yang sedang berborak di telefon, tanpa di pelawa untuk duduk yang kebetulan ada sebuah kerusi di situ. Pekerja yang ‘menangkap’ saya tadi memaksa saya untuk membuat pembayaran sebanyak Rm30 sebagai denda. Saya tetap berdegil, sebab kalau saya bayar ini bermakna saya mengaku yang saya membuat kesalahan tersebut, sedangkan saya tidak lakukan!

Pekerja tadi mengugut saya untuk dibawa ke balai polis. Dia kononnya mahu menggertak saya dengan mencari-cari nombor telefon polis bantuan.

“Abang kalau nak bawa saya ke balai sekarang pun tidak mengapa.” Dia mengangguk-anggukkan kepala, tidak tahu apa yang dia anggukkan kepala. Sudahlah tidak berbudi-bahasa, mahu menggertak saya dengan cara tersebut.

“Bapa saya pegawai polis yang diseganilah di Johor Bahru, nak takut apa!” Nak sahaja saya cakap begitu, nasib baiklah bapa saya sudah pencen!


PROVE BY EVIDENCE
Tidak berapa lama selepas penat menunggu dan berdiri di pejabat tersebut. Seorang pegawai di situ berjumpa dengan saya. Pada mulanya saya masih lagi berdegil, tetapi disebabkan budi bahasa pegawai tersebut yang cukup lunak dan pekerti. Saya mula mengkendurkan pendirian saya, lagi pula bukti sudah tertera di tiket tersebut. Walaupun saya benar sekalipun, jika dibawa ke muka pengadilan saya tetap bersalah kerana cuai untuk memastikan tiket yang saya beli.

Teringat saya kisah tentang Saidina Ali yang ketika itu sebagai Amirul Mukminin, beliau kalah dalam pengadilan mahkamah dalam menuntut hak baju besinya yang dicuri oleh seorang Yahudi. Walaupun Hakim Syuraikh tahu bahawa Saidina Ali tidak mungkin berdusta, tetapi disebabkan bukti yang ada, manakalah saksi pula hanyalah seorang iaitu anaknya - ada kemungkinan anak khalifah akan memihak kepada bapanya- maka kes tersebut dimenangi orang yang mencuri baju besi Saidina Ali. Ini membuktikan Islam mementingkan bukti yang jelas bukan sekadar kenyataan walaupun kenyataan tersebut datangnya dari seorang yang adil atau berjawatan tinggi.

Teringat kisah itu, saya mengalah. Tetapi mengalah saya tidak bererti saya mengaku saya melakukan kesalahan tersebut. Sebelum keluar dari pejabat tersebut, saya sempat menegur perbuatan pekerja tersebut yang bersikap kurang ajar dan tidak berbudi bahasa.

BERBUDI BAHASA-LAH
“Abang perlu belajar macam mana nak berbudi bahasa dengan pegawai abang ini. Hati keras boleh lembut bang kalau kita cakap baik-baik. Bukan nak keras-keras saja.” Kemudian pekerja tersebut menyalami saya, terukir senyuman dibibirnya. Saya menjangkakan sebuah hamburan kata-kata kesat, tetapi ternyata keikhlasan saya menegur dapat diterima dengan baik.

Masyarakat Malaysia penuh dengan budi bahasa dan sopan-santun terutama bangsa Melayu. Kenapa mahu ketepikan perkara mulia itu dalam kehidupan yang semakin mencabar sekarang? Kita perlukan itu untuk memujuk hati-hati manusia yang berpendirian. Kita perlukan budi bahasa untuk mengajar erti hidup bermasyarakat. Kita hidup dalam kota mahupun di kampung-kampung bukan sendirian, kita hidup persis sebuah keluarga yang besar. Islam mengajar kita untuk bercakap dengan baik dan mengajar kita untuk menjadi seorang muslim yang berakhlak.

Akhlak mencerminkan keimanan seseorang, kerana ia hasil dari keimanannya. Orang yang tidak beriman, tidak akan terpamer akhlaknya. Berhubung dengan hal inilah Rasulullah saw menyatakan, “Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan.” (Hadis riwayat Ad-Dailami).

Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlak (Husnul Khuluq). Apabila ditanya tentang apa itu kejahatan, baginda menjawab: Akhlak yang buruk (Su'ul Khuluq). Akhlak mulia yang dimiliki oleh seseorang hamba merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan di hari kiamat nanti. Oleh itu sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Rasulullah saw berkata, “Tidak ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan seorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Moga kita sama-sama menjaga akhlak dan sentiasa menambah-baik akhlak yang sedia ada. Walaupun seharian saya berasa ‘depress’ selepas kejadian tersebut, saya bersyukur kerana ini memberikan saya pengajaran dan saya mengharapkan ada hikmah di sebalik semua yang Allah tentukan ini. Tidak ada perkara yang sia-sia Allah ciptakan di muka bumi ini, kepercayaan itu terus tersemat di hati saya. Saya mendoakan agar ada perkara yang lebih baik akan mendatang selepas ini. Kekurang RM30 tersebut, moga Allah kurniakan yang lebih baik daripada itu.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui .” [al-Baqarah 2:216]

Baca Artikel Penuh>>

Tuesday, April 14, 2009

SEBUAH HARGA SIMPATI

“Terima kasih, terima kasih.” Berulang kali 6 orang warga Sri Lanka itu mengucapkan terima kasih kepada saya. Perasaan simpati saya terhadap mereka menguasai diri saya. Perasaan lega dan syukur juga saya panjatkan. Kalau tidak disebabkan saya mendapat aduan bahawa ada orang luar sedang tidur di surau, pasti saya membiarkan mereka melepaskan lelah semalam di situ. Tetapi keadaan memaksa saya, simpati itu saya letakkan tepi dahulu dan tanggungjawab di dahulukan.

“Ada berapa orang dalam surau itu?” Pekik suara pengawal yang bertugas malam itu dicorong telefon bimbit saya. Memekakkan telinga, tetapi memang itu perangai dia. Saya membalas lembut, malas mahu melayan kerenah orang-orang tua yang tidak beradab. “Ada 6 orang, semuanya bukan pelajar.” Selepas memberikan maklumat secara detail saya mematikan telefon. Saya dikhendaki menunggu mereka dan membuat tangkapan secara bersama. Aduh! Saya tidak mahu terlibat, tetapi terpaksa.

Selepas mengejutkan mereka, saya dan dua orang lagi pengawal mengiring mereka turun ke bawah dan terus ke van. Pada mulanya mereka teragak-agak untuk masuk ke dalam van, tetapi tidak beberapa lama, seorang daripada mereka menyuruh rakan-rakan yang lain akur. Saya kagumi sikap mereka, yang tidak melawan dan tidak banyak cakap. Mereka akur, mungkin mereka sedar yang perbuatan mereka ini adalah satu kesalahan yang besar.

Sampai sahaja di pejabat pengawal saya cuba berborak dengan mereka. Apa yang dijelaskan kepada saya, kontrak mereka bersama dengan majikan di sini sudah ditamatkan. Rumah sewa mereka pula perlu dikosongkan kerana tuan rumah mahu menyewakan kepada orang lain.

“Ini malam saja kami semua mahu tidur. Itu tadak lama, esok pagi kami keluar. Itu tadak buat kacau punya.” Seorang daripada mereka mengadu pada saya, saya sekadar mengangguk.

“Jangan hantar sama polis la incik.” Seorang lagi mengharapkan simpati dari saya. Gusar dibuatnya saya, pengawal tadi sedang menelefon pegawai atasannya di dalam bilik.

“Kamu semua Muslim?”

“Saya dan dia sahaja Muslim, yang semua itu bukan.” Lelaki pertama yang berborak dengan saya tadi bersuara sambil menunjukkan kawannya yang Muslim.

“Kamu semua tunggu dulu, saya mahu cakap dengan itu orang.” Tidak sanggup saya melihat mereka untuk dibawa ke balai polis. Mereka ada permit, cumanya mereka tersilap dengan memasuki kawasan hostel tanpa kebenaran.

“Kami semua cari makan saja incik. Tadak kacau itu orang.” Ah, memang benar-benar simpati menyelubungi seluruh jiwa saya.

Bulan 12 ini saya mahu berkelana ke negara orang berseorangan. Bagaimana jika kejadian ini tertimpa pada diri saya? Adakah dengan menolong melepaskan kesusahan saudara seakidah saya ini, dapat memberikan kebaikan pada saya pada masa-masa akan datang? Secara tidak langsung ingatan saya membawa kepada sebuah hadith yang pernah saya baca di kitab Bulughul maram:



''Barangsiapa melepaskan kesusahan seorang muslim dari kesusahan dunia, Allah SWT akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat; barangsiapa memudahkan seorang yang mendapat kesusahan, Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat; dan barangsiapa menutupi (aib) seorang Muslim, Allah SWT akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat; dan Allah SWT akan menolong hamba-Nya selama ia menolong saudaranya.'' (Hadis direkodkan Imam Muslim)

Setelah berbincang dengan pegawai yang ada dalam pejabat tersebut. Saya memberanikan diri menggunakan jawatan saya untuk bertanggungjawab terhadap mereka, dengan melepaskan mereka. Alhamdulilah, pegawai-pegawai yang berurusan dengan saya sangat memahami. Mereka turut bersimpati dengan pekerja-pekerja Sri Lanka tersebut. Menurut mereka, mereka memang berniat untuk melepaskan pekerja-pekerja tersebut atas budi-bicara dan simpati kemanusian. Syukur saya panjatkan.

Malam itu jam 4 pagi, saya dihantar pulang ke hostel oleh pihak pengawal. Perasaan saya berbaur, antara gembira dan terharu. Terharu apabila mereka tidak habis-habis mengucapkan terima kasih kepada saya, dan gembira kerana saya dapat melepaskan kesusahan saudara saya. Mungkin itu yang membezakan kita sebagai Muslim dengan orang-orang bukan Islam. Kita diikat dengan ikatan persaudaraan atas akidah yang sama. Mungkin akan ada orang yang mempersoalkan tindakan saya, tetapi insaflah, apabila anda berada di kedudukan saya ketika itu. Pasti anda juga akan membuat perkara yang sama.

“Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang hamba (dikatakan) beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.'' (Hadis Muttafaqun'alaih.)

Moga Allah mempermudahkan urusan saya selepas ini....

____________________________________________________________________________

PENGUMUMAN

1-InterfaithTalk : Modern Life Vs. Religion
Date : April,15th 2009 (Wednesday)
Time : 8.00 pm onwards
Venue : XR 1001

2- Friendly Comparetive Religion Intensive Course 2 day.
Date: April, 18&19th April (Saturday and Sunday)
Time : 8.00 am- 5pm
Venue : Islamic Information and Service Foundation (IIS) Setiawangsa.
Fees: Student RM100, Non-Student Rm120.

Baca Artikel Penuh>>

Monday, December 22, 2008

LANGIT DAN GUNUNG PUN TIDAK MAMPU


Suara riuh-rendah dan kelibat wanita-wanita yang berkerudung menghiasai mata dan pendengaran kami, tatkala kami sampai di Kem Rimba Ria Sungai Congkak. Deruan air yang deras, kawasan hijau yang sejuk dipandang, serta bunyi-bunyi derupan tapak kaki anak-anak kecil terus-terus mengasyikkan pendengaran dan penglihatan saya. Tidak ada yang layak untuk dipuji di atas semua ciptaan ini, hanya kepada Dia semua ini kembali dan segala puji dan syukur diucapkan kepada-Nya; Allah akbar!

Cuaca malam itu sedikit dingin, sesuai dengan kawasannya yang berdekatan dengan air terjun dan diselimuti dengan hutan tebal. Saya, Razak dan Fuad meninjau-ninjau lokasi yang akan dijadikan tempat program IU Induction Camp 2008. Alhamdulilah, tempatnya amat sesuai dan selamat untuk diadakan program. Selepas beberapa ketika kami mula memunggah barang-barang makanan dan keperluan lain di dapur yang telah disediakan oleh pihak kem. Sementara menunggu peserta dan komiti lain yang datang dengan sebuah bas dan sebuah van, kami masak air dan mengemas barang-barang dapur.

“Cuba kau tengok air itu dah masak belum?” Ujar Razak kepada saya. Saya melangkah pergi menuju ke arah air yang sedang dimasak.

“Er..macam mana nak tahu air itu dah masak belum. Aku selalu masak air guna Karen je.” Saya mula bingung, melihat-lihat kedalam air, untuk mendapat kepastian. Berderai ketawa dari Razak dan Fuad. Saya pun turut ketawa, memang dasar tidak pernah masuk ke dapur di rumah rasanya.

Di atas hanyalah secebis kenangan yang dapat saya gambarkan dan coretkan di sini. Tetapi bukan itu tujuannya saya menulis bagi artikel kali ini. Kenangan atau kronologi hanyalah sebuah catatan perjalanan, ia tidak lebih sebuah diari kembara. Tetapi saya pasti catatan-catatan itu akan ditulis oleh mereka yang datang bersama-sama tempoh hari. Saya tidak berniat untuk menjadi penambah catatan, tetapi saya mahu menyentuh beberapa perkara penting dan pengajaran yang harus kita kongsi dan rasakan. Bukan sekadar kenangan yang dihiasa dan diisi dalam kotak ingatakan kita, tetapi lebih daripada itu.



TANGUNGJAWAB
Tangungjawab mendewasakan diri dan juga pemikiran kita. Tangungjawab itu bukan sekadar nama tetapi ia membawa beban dan amanah yang digalas dan tergalas kepada diri manusia. Kerana tangungjawab, manusia akan berubah dan terus akan diubah. Sama ada tangungjawab itu dibebankan dengan kerelaan atau dipaksa-paksa keatas diri manusia, ia tetap menjadi agen perubahan kepada diri manusia.

Semua manusia dibebani dengan tanggungjawab, hatta kepada junjungan besar umat Islam iaitu Nabi Muhammad s.a.w, seorang Rasul dan juga kekasih Allah tetap Allah berikan dan galaskan tanggungjawab. Bukan ringan tanggungan yang dibawa oleh Rasulullah, tanggungjawab itu meliputi seluruh alam tidak ada yang terkecuali sedikit pun, iaitu menyampaikan risalah TAUHID ke seluruh alam tanpa dibatasi oleh Bangsa, rupa paras, perbezaan warna kulit dan lain-lain. HANYA, menyampaikan risalah Tauhid dengan terang dan nyata.

Sepertimana yang dikatakan Allah, “Katakanlah lagi (kepada mereka): Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kepada Rasul Allah. kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah Bahawa Sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu. dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata”.(24:54)


GUNUNG PUN MENOLAK
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”(33:72)

Lihatlah betapa besar dan sukarnya amanah ini untuk dipikul sehinggakan langit, gunung-ganang dan bumi menolak untuk dipertanggungjawabkan. Tanggungjawab itu sekadar retorik, tetapi ia adalah perlaksanaan, perlaksanaannya pula haruslah menepati risalah yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah melalui petunjuk Allah ta’ala.

Bila saya dicadangkan sebagai Camp Commandant oleh brother Fuad, pada mulanya saya teragak-agak untuk memikulnya, tetapi memandangkan saya pernah menjadi Timbalan Amir 1, maka saya merelakan diri untuk memikul tanggungjawab itu. Alhamdulilah, walaupun ada dua sessi saya tidak dapat menghadirkan diri semasa program berlangsung kerana terlalu penat dan sakit kepala, saya merasakan tanggungjawab saya sebagai Camp Commandant ketika itu dapat dijalankan dengan sempurna. Walaupun ada kekurangannya, tapi bagi pihak diri saya, saya sangat berpuas hati dengan kerja keras dan usaha yang saya curahkan selama 3 hari dua malam dalam program tersebut.

Bangun pagi seawal 3.30, ketika para peserta masih lagi dibuai mimpi, benar-benar melelahkan dan dicemburui. Mata memujuk-mujuk untuk terus ditutup dan nafsu pula merengek-rengek untuk dibuai dengan lena. Tetapi tanggungjawab menyegarkan diri saya, mengerakkan tubuh saya, iman pula berzikir-zikir memberi makanan kepada hati untuk terus istiqomah dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diberi. Syukur, kedua-dua pagi itu dapat saya gagahkan untuk mengejutkan mereka pada jam 4.30 pagi dan menyampaikan sedikit ilmu yang ada seawal jam 3.45 pagi berkenaan dengan berwuduk menggunakan khuf.


MARAH ITU ADALAH FITRAH
Ramai yang cuba menjadi hero dalam menasihatkan orang yang sedang marah(termasuk juga saya), ada yang menasihati dengan menggunakan hadith, dan ada juga menasihatkan dengan ayat-ayat Quran. Semua itu benar dan sama sekali tidak dinafikan, tetapi mereka juga lupa tentang fitrah yang dirai oleh agama, iaitu emosi. Manusia bukan hanya dikurniakan dengan akal, tetapi manusia juga dikurniakan emosi dalam menghadapi seharian-seharian kehidupan. Manusia yang tidak ada emosi sama sahaja dengan robot, yang diciptakan dengan kepelbagaian fungsi tetapi robot tidak ada perasaan yang menaikkan darjatnya sama dengan manusia.

Dalam sebuah hadits Sahih yang direkodkan oleh Imam Tirmidzi Rasulullah berkata, “Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia meletakan dirinya ke bumi.” Hadith ini sangat jelas menunjukkan bahawa marah adalah sebuah fitrah yang ada dalam diri manusia. Al-Imam Syafie’ pernah mengatakan, bahwa orang yang tidak memiliki rasa marah itu diibaratkan seperti khimar (keldai).

Walaubagaimanapun, marah itu harus dikawal dengan Iman. Kerana marah itu kadang-kala membawa diri ke lembah binasa. Hanya taqwa dan iman kepada Allah adalah solusi dalam menyelesaikan kemelut emosi marah dari terus menjadi sebati dalam kehidupan kita. Disebabkan itu, bagi mereka yang dapat menahan marahnya, dianggap sebagai seorang yang hebat oleh Rasulullah. Sepertimana yang disebutkan Rasulullah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim, “Abu Hurairah berkata, bahwa Rasulullah s.a.w berkata: Tidaklah seseorang itu dikatakan kuat disebabkan menang bergusti/berlawan, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.

Tidak cukup dengan menahan atau mengawal marah, tetapi menahan marah dan memaafkan, serta berbuat baik kepada mereka yang dimarahi dalah satu kesatuan nilai yang mendasari ketaqwaan kepada Allah. Menahan marah saja tanpa memaafkan, bukan ciri orang yang bertaqwa, melainkan ciri orang yang berdendam. Oleh itu, marilah kita meraikan fitrah emosi, namun dalam masa sama kita menghayati sunnah-sunnah Rasulullah yang sering menggalakkan umatnya menjadi seorang yang pemaaf dan menahan marah.


ILMU ITU IMAM, AMALAN ITU MAKMUM
Dalam program ini para peserta diajar pelbagai perkara termasuklah soal-soal yang berkaitan dengan ibadah berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan Hadith yang sahih. Antaranya ialah, mengambil wudhu’ menggunakan khuf, memasang sutrah, bersolat menggunakan kasut, cara solat tahajud, dan perlbagai lagi. Bukan sekadar mempelajarinya dengan mendengar taklimat tetapi ia terus dipraktikan selepas mendengar penjelasan dari fasilitator yang bertugas. Antaranya ialah penggunaan khuf , bersolat menggunakan kasut, dan memasang sutrah ketika bersolat.

Ilmu yang disampaikan bukan hanya didalam dewan atau surau, tetapi perlaksanaan terus dilakukan agar para peserta faham dan jelas dengan apa yang mereka dapat melalui penjelasan berdasarkan dalil-dalil yang stabit. Kerana Ilmu itu imam, amal itu adalah makmum. Setiap makmum harus mengikut imam, begitu jugalah amalan yang perlu dilakukan mengikut ilmu yang didapati. Saya dan beberapa fasi amat menekankan perlaksaan ibadah hanyalah boleh dilakukan jika ada dalil yang menjelaskannya. Alhamdulilah, sedikit sebanyak dapat dilihat kesedaran dan kefahaman tentang penggunaan dalil dalam setiap ibadah daripada reaksi para fasilitator sendiri. Kerana itulah yang diharapkan oleh Allah dan Rasul, setiap amalan ibadah haruslah didasari dengan dalil naqli yang jelas dan stabit dari Allah dan Rasul tanpa ada tokok tambah.


TERIMA KASIH DAUN KELADI
Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program IU Induction Camp ini. Moga Allah tautkan hati-hati kita semua dengan tautan Ukhwah kerana Allah, dan meleraikan perbezaan dan bibit perpecahan yang mula timbul dalam keluarga kita. Usrah itu bermaksud keluarga, moga keluarga yang kita sering sebut-sebutkan ini benar-benar terjadi, bukan hanya retorik dan bebelan di mulut sahaja. Usrah atau keluarga ini harus menjadi sebuah keluarga yang bahagia, sering nasihat-menasihati, dan akhir sekali menjadi syurga dunia dalam kehidupan berkeluarga di MMU Cyberjaya ini. Itulah yang dinamakan “Baiti Janati” Syurgaku Rumahku.

Saya lebih bahagia bersama persatuan dan kelab, dan bahagia bersama anda semua. Mungkin itu menyebabkan saya lebih dikenali sebagai orang Usrah atau orang UPG. Kerana saya lebih dihargai dan diperlukan didalam keluarga ini. Kerana ikatan kekeluargaan itu ada dan sentiasa dicambah dan dibumbui dalam USRAH ini. Terima kasih sahabat, kerana memberikan erti keluarga dalam KELUARGA ini.

Baca Artikel Penuh>>

Sunday, December 14, 2008

SEHARI DI PERDANA LEADERSHIP FOUNDATION

“To know whether the person is good or not to be a leader, we only can identified after he/she became a leader.”

Kesempatan dan peluang menghadiri seminar ‘Leadership and Intercultural Relationship and Understanding’ di Perdana Leadership Foundation sesuatu yang amat berharga bagi saya. Selain dapat mendengar secara langsung idea yang dilontarkan oleh seorang Pemikir dan juga Negarawan yang saya kagumi iaitu Tun Dr. Mahathir, seminar ini juga memberi peluang kepada saya untuk berkongsi ideologi dan pandangan bersama para pemimpin dari pelbagai persatuan dan kelab di MMU. Bukan calang-calang pelajar yang datang ke seminar ini, kerana boleh saya katakan semuanya yang datang mempunyai kepandaian, bakat dan kebolehan sebagai seorang pemimpin. Jika tidak, mengapa mereka memimpin dan menjadi ketua di persatuan atau kelab-kelab di MMU.

Bertemakan Integration ataupun dalam bahasa Melayunya Integrasi antara Negara dan bangsa yang pelbagai, menjadikan seminar ini bertambah menarik. Selepas mendengar ucapan dari Tun, kami dipecahkan kepada 11 kumpulan dan setiap kumpulan terdiri dari 10-12 orang pelajar dari pelbagai bangsa dan negara. Saya diletakkan dalam kumpulan 4 yang mempunyai 12 orang pelajar. Melayu, Cina dan India dicampurkan, Malaysia, Sudan, Arab Saudi, dan Indonesia digabungkan dan kemudian disatukan dalam kumpulan yang dinamakan sebagai 1+2 >3.


NAMA KUMUPULAN 1+2>3
Itulah nama kumpulan kami yang mempunyai maksud tersendiri dan unik. Nama kumpulan itu diperolehi dari perbincangan antara kami semua yang rata-ratanya menyatakan bahawa nama itu mewakili integrasi yang berlaku di antara kami semua.

Kenapa 1+2>3? Kerana ia membawa maksud, idea atau pandangan dari dua belah pihak pasti akan berbeza dan tidak akan mempunyai persamaan di antara satu sama lain. Tetapi setelah di ‘integrasi’kan antara kedua belah pihak, ia akan menghasilkan sebuah idea dan hasil yang berlainan dari gabungan kedua-duanya dan menjadi lebih baik dari sebelumnya. Secara total, ia akan berbeza dari kedua-dua idea, kerana intergrasi itu telah menghapuskan perbezaan dan menjadikan perbezaan itu sebagai satu bentuk persamaan.

LEARNING  TOLERANTING  UNITING = INTEGRATING

Integrasi hanya akan berlaku apabila berlakunya kesedaran pada semua bangsa, dan negara untuk mempelajari kepelbagaian yang ada pada mereka. Masing-masing mempelajari budaya, adat-resam, agama dan ciri-ciri yang ada pada bangsa lain atau negara lain. Apabila masing-masing memahami antara satu sama lain, ia akan menghasilkan toleransi antara bangsa/kaum dan negara. Toleransi dalam semua aspek, selagi ia tidak melangkaui batas-batas yang telah ditetapkan secara natural. Kesudahannya, erti kebersamaan ataupun keanggotaan antara satu lain akan dirasai. Perbezaan itu akan diletak tepi, dan ia akan menghasilkan kehidupan yang bersatu-padu sesuai dengan jata Negara Malaysia iaitu “Bersatu bertambah Mutu”.


MUDAH ATAU SUKAR MELANTIK PEMIMPIN
Awal-awal lagi kami sudah diberi tugasan untuk melantik ketua di kalangan kami. Tanpa ketua, sesuatu kumpulan itu akan menjadi seperti kapal tanpa jurumudi. Kami melakukan beberapa diskusi dan ‘lempar-suara’ antara satu sama lain. Akhirnya, 5 orang antara kami dipilih untuk dicalonkan dan dipilih mengikuti suara majoriti iaitu UNDI. Mereka ialah, Saudara Abbas Presiden International Student Society dari Indonesia, Saudara Kang Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar dari Melaka, Bryan Christian Fellowship Society dari Cyberjaya, Mohammad dari Sudan, dan saya juga tersenarai dalam pencalonan tersebut.

Setelah beberapa minit proses pengundian dijalankan, akhirnya saya terpilih menjadi ketua dalam kumpulan tersebut. “I’m not alone, this team will be a greater team if we stick together and be together, without follower leader is not a leader.” Saya ucapkan semasa proses ‘lempar-suara’ dilakukan sebelum proses undian dilakukan. Melantik seorang ketua sama ada mudah atau susah bergantung kepada kebijaksaan dan kerjasama antara kumpulan. Saya sangat yakin dan tidak pernah berasa sedikit pun ragu-ragu memimpin kumpulan ini, kerana kumpulan ini terdiri dari kalangan pemimpin yang sangat berbakat dan ia sudah terbukti di persatuan dan juga kelab-kelab yang mereka ketuai. Sudah semestinya menjadi seorang ketua bukan perkara mudah. Ya, walaupun ia hanya sebuah kumpulan yang terdiri dari 12 orang. Kerana memimpin itu ada tangungjawabnya, ada amanahnya dan harus pandai dan cepat membuat keputusan. Bukan mudah mengawal dan memimpin di kalangan para pemimpin. Perlu pandai bermain bahasa, perlu pandai mengawal suasana, dan perlu fikir kehadapan sebelum daripada mereka. Alhamdulilah, kumpulan 1+2>3 ini menghasilkan kerja yang bermutu dan berjaya menyiapkan tugasan tepat pada masanya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua!


MEMAHAMI DAN DIFAHAMI
“Leader must understand their follower feeling, and their group objective.”
“Without follower, leader is not a leader.”
“Leader who is not faces the challengers and danger will make a mistake and carelessness.”

Itu hanyalah sekelumit pandangan dan juga nasihat dari Tun Mahathir, tetapi ia sangat-sangat berharga kepada saya dan juga para peserta yang lain. Kata-kata beliau terbukti melalui sepanjang perjalanan dan kehidupan beliau seorang Perdana Menteri selama 22 tahun. Walaupun terdapat perlbagai konflik dan kes yang berlaku sepanjang itu, tetapi tidak bermakna jasa dan bakti yang telah beliau berikan kepada Malaysia harus dipadam dan disingkirkan begitu sahaja. Seorang pemimpin itu tidak akan terlepas dari pelbagai kesalahan, tidak terlepas dari kebejatan, kerana pemimpin itu tetap sahaja seorang MANUSIA. Manusia yang tidak boleh lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan.

Apabila kita memahami orang lain pasti orang lain juga akan memahami diri kita. Kuasa tarikan atau boleh sahaja dikatakan sebagai kuasa natural yang terdapat dalam proses kehidupan ini. Boleh juga dikaitkan dengan prasangka yang ada dalam diri manusia kalau ditinjau dari kacamata Islam. Islam menggalakan umatnya bersangka baik, hatta kepada Allah sendiri. Sepertimana yang dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadis riwayat Abu Musa r.a yang direkodkan oleh Imam Muslim, "Nabi s.a.w bersabda: Barang siapa yang menyukai pertemuan dengan Allah, maka Allah menyukai pertemuan dengannya. Dan barang siapa yang tidak menyukai pertemuan dengan Allah, maka Allah tidak akan menyukai pertemuan dengannya.”

Kalau dilihat dari hadith di atas, kita dapat fahami bahawa kuasa tarikan itu memang berlaku dan terjadi, hatta antara hamba dan Tuhan. Inikan pula di antara manusia yang lemah dan dhaif disisi-Nya. Jadinya, fahamilah orang lain pasti orang lain juga berusaha untuk mehami diri kira.



SOALAN YANG SAYA TANYAKAN KEPADA TUN DR MAHATHIR SEMASA SESSI DIALOG TERSIAR DI THESTAR:

Mahathir: Format of schools makes unity difficult

PUTRAJAYA: The present format of vernacular school makes racial unity hard to achieve, said Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sharing the views of his son, Umno Youth chief aspirant Datuk Mukhriz Mahathir, the former prime minister said: “Basically, what he (Mukhriz) said is true and this is not an effort to eradicate the culture and customs of other races. His suggestion for an integrated national-based school system is conducive to achieving national unity.”

Dr Mahathir said this in response to a question during a dialogue session at a forum on Leadership, Inter-culture relations and Understanding at the Perdana Leadership Foundation here yesterday.

Mukhriz had reportedly called for the Government to abolish the vernacular school system to enhance unity among the people and to check racial polarisation.

Mukhriz later said he had been misquoted, adding that he had merely called for vernacular schools to be integrated into the national school system.

Dr Mahathir said the concept of Vision Schools was to group Malay, Chinese and Indian students in one area and enhance unity.

“The idea was that the students share the same sports and recreation facilities, and the same assembly area but this was not accepted in entirety,” he said.

Dr Mahathir said a leader should also be sensitive towards the needs and demands of the majority in the community he represented because any failure to do so would result in his dismissal.

Baca Artikel Penuh>>