Showing posts with label PEMIKIRAN. Show all posts
Showing posts with label PEMIKIRAN. Show all posts

Saturday, July 4, 2009

HERMENEUTIKA OTORITER


Sistem Authoritarian pernah saya sentuh beberapa ketika dahulu. Khaled Abou El Fadl menjelaskan bahawa Authoritarian bermaksud, “Authoritarianism is the act of “locking” or captivating the Will of Divine or the will of the tex into the spesific determination, and then presenting this determination as inevitable, final, and conclusive.” (Otoritarianisme adalah tindakan “mengunci” atau mengurung Kehendak Tuhan atau kehendak teks, dalam sebuah penetapan tertentu, dan kemudian menyajikan penutupan tersebut sebagai sesuatu yang pasti, absolut dan menentukan).

Saya menyentuh dan mengkritik sistem ini kerana, ia membantutkan potensi intelektual dari terus berkembang. Sistem ini semacam satu kuasa diktatorian dalam membataskan manusia untuk mempelbagaikan pandangan. Dengan cuba menguasai satu-satu pandangan sahaja, tanpa memberi ruang dan peluang kepada pandangan lain.



Cita-rasa Authoritarian ini melalui pandangan mata kasar saya, banyak yang terjerumus ialah mereka yang memiliki ilmu pengatahuan agama. Saya tidak mengatakan bahawa mereka yang mempunyai ilmu pengatahuan agama sentiasa bersikap begitu. Tidak. Tapi kebanyakkan mereka Ya.

Mereka menjadi Authoritarian dalam agama tanpa disedari. Misalannya mudah, iaitu apabila mereka hanya membaca dan memahami agama melalui penulisan-penulisan Ulama’-ulama’ yang mereka persetujui sahaja. Kemudian, tanpa menoleh dan meninjau pandangan-pandangan agama dari kelompok Orientalis dan liberalis atau sesiapa dan kelompok pemikir yang lain –yang sentiasa mengkritik dan berhujah melalui sudut pandangan baru mereka- kita terus mengharamkan minda kita dan orang lain, dari memahami apa yang cuba mereka sampaikan.

Kita tidak boleh selamanya membaca pandangan-pandangan agama dari pandangan yang membenarkan apa yang kita sudah rasa ia benar. Tetapi minda harus menjadi kritikal dalam proses membina intelektual di dalam kepelbagaian pandangan. Kita tidak kata harus mengambil 100% pandangan mereka, tetapi kita menilai dan mempertimbangkan mengapa dan bagaimana pandangan mereka itu dapat memperkuatkan pandangan benar kita.

Ya, slogan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah itu adalah slogan yang harus diperjuangkan sehingga akhir hayat sebagai seorang Muslim. Namun, jika bahan bacaan kita tidak dipelbagaikan dan minda kita tertutup kepada pandangan-pandangan liar lain. Kita akan ketinggalan dalam proses menjadi matang dalam dunia intelektual.

Lihat sahaja, forum-forum perbincangan agama di laman sesawang mana-mana pun. Perbincangan leleh dan lelah seperti bagaimana mahu menjadi Salafi, Adakah Wahabi ini benar atau salah, Adakah Yassin itu bid’ah atau tidak dan pelbagai lagi, tidak pernah kunjung padam. Dari pihak yang mempertahankan, dan juga pihak yang menghentam tanpa pengetahuan, dua-duanya lebih fokus kepada inteletual dalaman yang tidak akan membawa lonjakan intelektual yang bermanfaat untuk umat.

Pertelingkahan demi pertelingakahan di atas nama “perbincangan ilmiah” yang penuh emosi dari lebih ilmiahnya, semakin menjelikkan. Penganut agama lain khususnya Kristian, telah jauh dari penganut agama lain dalam membina institut intelektual dalam masa yang sama bergiat cergas meramaikan penganut mereka. Bermula di England pada tahun 1791, persengkataan antara Katolik dan Protestan dan sekta-sekta Kristian yang lain cuba dipadamkan. Demi satu agenda besar dunia Kristian untuk mengkristiankan seluruh manusia, khususnya Umat Islam. Pada masa yang sama, dunia inteletual mereka terus berkembang, tanpa berkisar hal-hal yang kecil.

Umat Islam pula, terus hanyut dibuai kemewahan dan hiburan yang melampau. Dunia intelektual Islam layu dan sembam. Umat Islam tidak menggunakan kelebihannya sebagai umat yang terpilih untuk menjadi orang yang terpilih di kalangan manusia. Umat Islam terus di dalam dilema dan pertelingakahan yang tidak kesudahan. Intelektualism terus ditinggalkan, manakala sikap Authoritarian semakin menjadi-menjadi dalam kehidupan beragama. Penafsiran sesuatu dari satu kelompok, menjadi kata pemutus untuk setiap masalah yang muncul dalam agama. Pandangan lain yang tidak selari atau tidak seiring dan sekata, dilihat sebagai pandangan radikal dan sesat.

Sikap Authoritarian ini seharusnya hanya diletakkan pada dua tempat sahaja. Iaitu Quran dan Sunnah. Tetapi penafsiran terhadap kedua-dua ini, tidak harus menjadi tempat orang lain membina Authoritarian yang sama taraf dengan kedua-duanya ini.

Kita menjadi Authoritarian apabila kita membataskan ruang lingkup tajuk pembacaan kita. Hanya buku-buku yang sama manhaj atau metod kita sahaja kita baca. Yang lain, semacam “sampah”. Pemikiran sebegini, adalah pemikiran bejat yang harus dibuang. Kita tidak boleh membina instititut intelektual di dalam minda kita jika hanya membataskan kepada satu pemikiran sahaja. Kerana ia akhirnya akan membina sikap Authoritarian dalam semua perkara. Sehinggakan kita akan dilabel sebagai “Penjumud Keintelektualan Minda” atau lebih sesuai dengan nama “hermeneutika otoriter”

____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Baca Artikel Penuh>>

Tuesday, December 23, 2008

Imam Ibnu Taimiyah VS Imam Al-Ghazali

Merenung Imam al-Ghazali saya termenung dengan hadith-hadith yang banyak tidak jelas dalam Ihya’. Merenung Ibnu Taimiyah, saya termenung melihat betapa keras dan lantangnya dalam membela akidah umat Islam daripada tercemar. Tetapi kedua-dua tokoh ini mempunyai satu persamaan yang sangat mendebarkan, iaitu mereka mempelajari Falsafah. Kalau Imam Ghazali mempelajari Falsafah kerana mahu mencari kebenaran, Ibnu Taimiyah pula mempelajari Falsafah untuk mencari kelemahan Falsafah dan kemudian bercita-cita untuk menghancurkannya. Ilmu yang sama, tapi tujuan yang berlainan. Itu yang membuatkan pandangan dan kritikan dari kedua tokoh tentang Falsafah sehingga kini dibicarakan oleh orang ramai.

Saya terdetik untuk menulis tentang kedua tokoh ini apabila Saudara Rausyan menulis sebuah artikel “Tentang al-Ghazali dan Ibn Taimiyah”, dan bagi saya ada beberapa perkara tentang Ibnu Taimiyah yang harus kita perhalusi. Jika Saudara Rausyan mengajak manusia untuk memahami Imam Ghazali dengan cara membaca karyanya secara total, maka saya pula menyeru semua manusia menilai dan mengkaji pemikiran Ibnu Taimiyah secara kaffah pula. Mungkin itu lebih adil dan saksama dalam menilai pemikiran kedua-dua tokoh ini.

Bukan semua yang ditulis oleh Saudara Rausyan saya menolak, banyak poin yang dicerna dan ditulis baik oleh beliau saya bersetuju. Namun dalam persetujuan itu, terselit beberapa penafian yang harus saya jelaskan dalam artikel kali ini. Artikel ini bukan mahu menyebelahi mana-mana tokoh, tetapi sekadar membersihkan dan menjelaskan pandangan atau tulisan yang kurang tepat yang telah dilontarkan.


Saudara Rausyan menulis:
“Begitu juga dengan tassawuf. Ibn Taimiyah menyerang kesuluruhan institusi tassawuf manakala Imam al-Ghazali tidak melihat begitu!”


Jawapan saya:
Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam fatwanya berkenaan dengan Tasawuf mengambil jawapan dari Imam Ibnu Taimiyah tentang perkara ini. Kata Imam Ibnu Taimiyah:

“Pandangan aku dalam masalah tasawuf ada dua, iaitu, sebahagian termasuk ahli fiqih dan ilmu kalam mencela dan menganggap para sufi itu ahli bid'ah dan di luar Sunnah Nabi saw. Manakala sebahagian lagi terlalu berlebih-lebihan dalam memberikan pujian dan menganggap mereka paling baik dan sempurna di antara manusia setelah Nabi saw. Kedua-duanya tidak benar. Yang benar ialah bahawa mereka ini sedang dalam usaha melakukan pengabdian kepada Allah, sebagaimana usaha orang-orang lain untuk menaati Allah swt. Dalam keadaan yang pertama di antara mereka, ada yang cepat sampai dan dekat kepada Allah, orang-orang ini dinamakan Minal muqarrabiin (orang-orang yang paling dekat dengan Allah), sesuai dengan ijtihadnya; ada pula yang intensitas ketaatannya sedang-sedang saja. Orang ini termasuk bahagian kanan: Min ashhaabilyamiin (orang-orang yang berada di antara kedua sikap tadi). Di antara golongan itu ada yang salah, ada yang berdosa, melakukan taubat, dan ada pula yang tetap tidak bertaubat. Yang lebih sesat lagi adalah orang-orang yang melakukan kezaliman dan kemaksiatan, tetapi menganggap dirinya orang-orang sufi. Masih banyak lagi dari ahli bid'ah dan golongan fasik yang menganggap dirinya golongan tasawuf, yang ditolak dan tidak diakui oleh tokoh-tokoh sufi yang benar dan terkenal. Sebagaimana Al-Junaid dan lain-lainnya.”


Dalam kenyataan di atas, Imam Ibnu Taimiyah tidak pernah sama sekali menolak Tasawuf secara total. Malahan beliau memperakui tokoh Sufi yang besar iaitu Al-Junaid. Apa yang jelas, selagi golongan tasawuf ini menjalankan aktiviti mereka berdasarkan al-Quran dan Assunah, selagi itu kita memperakuinya. Sepertimana yang dijelaskan oleh tokoh mereka sendiri iaitu Al-Junaid, “Barangsiapa yang tidak hafal Al-Quran dan menulis hadith-hadith Nabi saw. Maka tidak boleh dijadikan ikutan dan ditiru, kerana ilmu kita (tasawuf) terikat pada kitab Al-Qur'an dan As-Sunnah.”


Hanya itu sahaja yang saya mahu jelaskan? Ya memang benar, hanya satu perkara sahaja yang saya mahu jelaskan, kerana kebenaran tetap kebenaran. Menjadi masalah apabila mereka yang menulis tidak Quote betul-betul apa yang diperkatakan oleh orang yang berkata tersebut. Itu juga boleh dikenali sebagai jenayah Ilmiyah kerana ia bakal menjadi fitnah dan tuduhan yang tidak berasas kepada seseorang tokoh. Moga kita sama-sama menjaga displin ilmu dalam memetik atau memanjang-manjangkan sesuatu perkataan yang dikeluarkan oleh mana-mana tokoh.

Akhir kata, saya memetik sebuah konklusi yang jelas dan padat dari sebuah buku yang saya baca bertajuk, “Ibnu Taimiyah Versus Para Ahli Falsafah, sebuah polemik logika” : Jika kita membebaskan diri daripada sikap mengkafirkan orang lain, kedua teori ini iaitu Logika Rasional Aristoteles dan Teori Empirisisme yang dicanangkan oleh Imam Ibnu Taimiyah, maka kita dapat lihat kedua-dua teori ini amat diperlukan dalam perkembangan Epistemologi dalam Islam. Kedua-duanya dapat dikembangkan sesuai dengan objek atau lapangan kajian yang tersendiri. Ataupun, kedua-dua teori ini dapat dikembangkan secara pergabungan menjadi satu teori yang padu. Menyedari kekuatan dan kelemahan kedua-dua teori yang dimiliki, maka jika penerapan dapat dilakukan secara mendalam pasti ia akan dapat menghasilkan satu pemikiran dan sikap wacana yang eksklusif.

Sekian...

Baca Artikel Penuh>>