Thursday, November 20, 2008

Terima Kasih Allah

Benarlah Allah lebih mengetahui segala-galanya. Dia yang mengambil dari kita, dan dia juga akan memberi yang lebih baik kepada kita. Kedua handphone saya yang hilang semasa pulang dari Indonesia, kini sudah diganti oleh Allah dengan sebuah Handphone idaman saya; HTC P3300.

Sebuah handphone yang berfungsi penuh sebagai sebuah komputer peribadi saya. Terima kasih Allah. Oh tidak lupa juga, Allah menggantikan cermin mata saya yang pecah dengan sebuah cermin mata baharu. Sangat bersyukur kerana saya dapat melihat dengan sempurna dan boleh belajar dengan senang hati. Terima kasih sekali lagi Allah.

Baca Artikel Penuh>>

Sunday, November 16, 2008

IKHLASKAN DIRI PASTI DIHARGAI


Usah dipinta untuk dikenang, kerana insan yang dipinta untuk dikenang pasti tidak akan tercatat dalam sejarah untuk dibuat renungan. Berapa ramai insan yang melakukan kebaikan dengan harapan kebaikan tersebut dikenang dan sentiasa dipuji, tetapi akhirnya tidak ada seorang pun mengenang mereka. Tetapi insan yang melakukan kebaikan, menghapuskan kebatilan dan membenarkan keadilan dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa, manusia keseluruhan akan mengenang mereka.

Lihat sahaja tokoh serta sarjana-sarjana Islam, sekadar yang saya boleh sebut seperti Saidina Umar al-Khatab, Khalifah Umar Abdul Aziz, Imam Ibnu Taimiyah, Imam Syafie, dan Imam Yusuf al-Qardhawi yang sehingga kini nama mereka terpahat dan tersimpan rapi dalam hati sanubari kita. Mereka tidak pernah meminta untuk dikenang dan disanjung, tetapi manusia tahu menilai mana yang kaca mana yang berlian.

Ketokohan mereka dapat dilihat dan diteladani dari semua aspek, kehidupan, kepimpinan, ketaqwaan dan lain-lain. Kehidupan mereka dididik dengan Islam, al-Quran dan Sunnah menjadi panduan mereka, kefahaman para sahabat, tabien, dan tabi’ut tabien menjadi penjelas kepada panduan mereka. Akhlak mereka disulami dengan akhlak Rasulullah, tutur kata mereka disulami dengan kata-kata hikmah, dan peribadi mereka disulami dengan ketaqwaan kepada Allah.

Mereka berjalan di atas jalan kebenaran walaupun seribu tribulasi dan mehnah mengekang mereka. Mereka tidak gentar melawan kebatilan, mereka tidak gusar membetulkan keadaan, mereka tidak tunduk kepada pemerintahan, dan mereka sangat ikhlas dalam perjuangan.

Sekali lagi saya katakan, mereka tidak pernah meminta untuk dikenang dan diingati, tetapi manusia berasa rugi jika tidak merakamkan jasa dan bakti mereka dalam lipatan sejarah. Itulah insan-insan besar yang mewarnai dunia Islam dan seluruhnya, dan menjadi ikon perubahan dalam semua aspek. Fikrah mereka merentasi jamaah, minda mereka merentasi sempadan, perjuangan mereka bertaut kukuh atas ukhwah Islam, dan kelahiran mereka adalah kurnia dari Allah. Mereka mendapat penghormatan kerana mereka tidak pernah meminta untuk dikenang dan disanjung.

Bagaima kita? Adakah kita sudah bersedia untuk berada dijalan sepertimana yang mereka lalui? Kalau sudah bersedia, sediakan dirimu dengan tribulasi, mehnah dan cabaran besar yang akan ditempuhi sepanjang perjalanan ini. Kerana itulah harga yang perlu dibayar bagi seorang insan besar yang akan dikenang dan disanjung kelak.

Ikhlaskan diri, pasti dirimu dihargai.

Baca Artikel Penuh>>

Friday, November 14, 2008

MENCABAR FATWA

“Saya harap saudara dapat membatalkan jawapan saudara dalam hal ini.” Beritahu saya pada seorang sahabat di sebuah laman Islamik.

“Mengapa?” Dia terkejut.

“Kerana jawapan saudara itu tidak selari dengan hadith Rasulullah.” Jawab saya.

“Tetapi itulah hujah dalam Mazhab Syafie.”

“Tetapi ada hadith yang menolak pandangan tersebut.”


Dialog yang bermula dengan semangat persaudaraan dan harmoni bertukar keruh. Saya berkeras mahu dia menarik pandangannya dan dia pula bertahan dengan pandangannya. Saya berpegang pada hadith yang sahih, dia pula berpegang pada fatwa Imam Syafie yang dikenali sebagai Pembela Sunnah. Jika dilihat sekali imbas dalam pandangan Salafinya, saya benar. Dilihat dari segi bukan Salafinya, saudara saya itu benar.


ADA APA PADA NAMA
Besar sangatkah Salafi ini? Apa itu Salafi?
Dulu saya sangat keras dalam hal-hal yang berkaitan dengan Salaf atau tidak. Sekarang ini saya bertanya kembali kepada diri saya dan juga rakan-rakan saya, “ada apa atas nama?” Ya, ada apa atas nama jika kita tidak bertindak atau berkelakuan seperti yang dilakukan oleh para Salafusoleh.

Kita berbangga kerana kita mengaku kita mengikut jalan/manhaj Salafusoleh. Jalan yang diredhai dan diakui oleh Rasulullah. Berdasarkan sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, “Sebaik-baik orang adalah di zamanku (sahabat), kemudian orang sesudah mereka (tabi’in) dan kemudian orang sesudah mereka (tabi’ut tabi’in).”

Tetapi kenapa dalam kelompok kita ada membahagi-bahagi Salaf ini kepada Salaf jalur keras, Salaf jalur sederhana, dan Salaf jalur bermudah-mudah? Saya bertanya kerana saya berfikir, dan tidak bermakna saya menolak manhaj ini. Saya masih berada di Manhaj ini tetapi saya menyoal tentang lompang-lompang dan kerosakan yang mula menular dalam manhaj yang dibawa kita. Manhaj itu tidak ada cacat celanya, tetapi pembawa manhaj ini yang memberi kesan buruk kepadanya.


SINDIRAN KERAS
Sepanjang bercuti semester saya tidak membazirkan masa saya dengan tidur atau bersenang-senang yang melampau. Enam buah buku telah saya baca dan hadam dengan keras. Kaifa Nata’mal Ma’at-Turats wat-tamzahab wa ikhtilaf (Bagaimana beramal dengan khazanah Klasik, Mazhab dan Ikhtilaf (perbezaan di kalangan Ulama’) karya Imam Yusuf al-Qardhawi adalah salah satu buku yang saya baca dan hadam. Membaca buku ini seperti mendengar sendiri nasihat dari beliau. Buku ini banyak menyedarkan saya tentang sikap dan kelakuan Salaf yang saya bawa.

Antara bait-bait yang ditulis oleh beliau dalam buku ini yang benar-benar menyentak dan menyedarkan saya ialah, “Benar bahawa kamu berpegang kepada Quran dan Sunnah, tetapi kamu harus menyedari bahawa pemahaman kamu terhadap nas tersebut bukanlah sebuah wahyu dan tidak terjaga dari kesalahan. Mungkin dalam memahami nas tersebut kamu hanya melihat zahirnya sahaja tanpa menyelami maksud sebenar dari nas tersebut. Sama seperti yang dilakukan oleh sebahagian sahabat yang tidak melakukan solat Asar di tengah perjalanan dan mereka melakukannya dengan qadha’ setelah mereka sampai di Bani Quraizah. Para sahabat tersebut sebenarnya salah dalam memahami nas walaupun Nabi s.a.w tidak menegurnya, kerana mereka dimaafkan.”

Ayat ini seperti menyindir diri saya, dan serta-merta saya teringat dialog di atas antara saya dan sahabat saya yang terjadi tidak lama dahulu dalam sebuah laman. Mengapa saya mahu menolak pandangan Imam Syafie atas dasar saya tahu sebuah hadith, kenapa saya tidak sahaja membenarkan hujah tersebut, dan dalam masa yang sama menghargai kedua-dua pandangan.


BEZA TAPI BENAR
Mungkin peristiwa di bawah ini akan menyedarkan kita bahawa Manhaj Salaf yang dibawa oleh Imam Ahmad adalah Manhaj Salaf yang harus kita tiru dan selami. Bukan sekadar atas nama dan atas kritikan-kritikan kita terhadap para Imam dengan disulami perkataan ‘Kritikan Ilmiah’. Membawa Manhaj Salaf itu bukanlah sekadar berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, tetapi menghormati para Imam juga adalah salah satu ciri orang-orang yang membawa Manhaj Salaf.

Seorang sahabat kepada Imam Ahmad bin Hanbal pernah bertanya kepada beliau tentang seseorang yang menjadi imam solat, sedangkan ketika itu dia memakai kulit serigala atau kulit yang diambil dari binatang mati yang sudah disamak. Kemudian Imam Ahmad menjawab, “jika dia memakainya, maka dia telah mentakwilkan hadith ini : Jika kulit binatang disamak, maka ia menjadi suci (HR Ahmad, Tirmidzi, an-Nasa’i, dan ibnu Majah). Maka hukumnya, tidak mengapa engkau solat di belakangnya.”
[penulis : maksud menakwilkan bahawa hadith ini merangkumi semua kulit binatang sehingga kulit binatang bangkai pun kalau disamak dibolehkan untuk dipakai] .

Orang itu bertanya lagi, “bererti engkau berpendapat bahawa hal itu dibolehkan?” Imam Ahmad menjawab kembali, “Tidak, kami tidak berpendapat bahawa hal itu dibolehkan, berdasarkan sebuah hadith Nabi, “Janganlah kalian menggunakan kulit binatang yang mati, sama sudah disamak, atau dikeringkan.” (HR An-Nasa’i).

Imam Ahmad ditanya lagi, “bagaimana hal itu boleh berlaku. Sedangkan orang itu telah salah dalam mentakwilkan hadith tersebut.” Imam Ahmad berkata, “semua orang yang menakwilkan sesuatu yang datang dari Nabi Muhammad s.a.w, dan dari sahabat baginda, atau dari salah satunya, kemudian ia menjalankan hasil takwil tersebut, maka tidak mengapa jika kita solat di belakangnya, meskipun kita berbeza pandangan dengan mereka.” (Peristiwa ini dinukilkan dari kitab Kaifa Nata’mal Ma’at-Turats wat-tamzahab wa ikhtilaf , dan terdapat dalam Fathul Bari fi tartib al-fiqhi li tahmid, karya Ibnu Bar)



Baca Artikel Penuh>>

Badoeng (Paris Van Java)

Semasa di Bandung, Indonesia, pemikiran saya sentiasa berputar memikirkan tentang masyarakat di sana dan kehidupan beragama mereka. Kehidupan yang serba-serbi dhaif, dan lokasi perumahan mereka juga terlalu padat. Selain, jurang perbezaan antara orang kaya dan miskin juga terlalu besar, sehinggakan sukar untuk mencari mereka yang berada pada kedudukan di tengah-tengah. Malahan pemegang ijazah amat sukar untuk mempunyai pekerjaan.


Pada mereka yang bijak berniaga sendiri peluang itu amat besar berbanding mereka yang hanya bergantung pada kertas Ijazah itu sahaja, jaminan anda untuk kebuluran sangat besar.

Rasuah amat berleluasa di sana. Sehinggakan anggota Polis di sana tidak lagi dihormati dan mereka tidak lebih sekadar nama sahaja. Saya sendiri berhadapan dengan kejadian MEMINTA rasuah. Tanpa segan silu, tanpa ada sebarang perasaan bertanggungjawab, pegawai imigresen di lapangan terbang meminta sejumlah wang kepada saya.
“Saya sudah gunakan semua wang saya , dan tidak ada tersisa pun.” Jawab saya dengan perasaan yang sangat geram.

Ganguan seksual juga menjadi trend di sana bagi pegawai-pegawai kerajaan. Kalau tidak percaya, silakan pergi dan merasai kebejatan tersebut. Perkara ini juga berlaku didepan mata saya sendiri. Malu dan geram! Tetapi apakah daya saya, jika berbuat tidak molek dengan pegawai tersebut pasti tangan ini akan digari dan disumbat di jeriji besi.

Buatlah aduan! Saya sendiri tidak yakin dengan sistem kepolisian mereka, apatah lagi sistem kehakiman, inikan pula mahu saya membuat aduan. Lebih malang lagi, saya pula dituduh melakukan penipuan. Semua itu boleh terjadi!


BUAT APA SAHAJA
Masyarakat di sana amat kreatif , kreatif dalam mencari sesuap nasi. Kita di Malaysia tidak pernah terfikir untuk menjadikan motor speda (motorsikal) sebagai pengangkutan awam seperti Teksi dan bas. Tetapi di sana, tidak mustahil dan pengangkutan itu mempunyai permintaan yang sangat tinggi. Oh lupa, di sana pengangkutan ini dikenali dengan nama OJEK. Kalau anda mahu mencuba, silalah pergi ke Bandung.

Memerhati dan melihat kesusahan mereka saya tersedar, betapa untung dan bersyukurnya saya berada di Malaysia. Ya! Tanah airku yang tercinta. Allah sangat adil, dan Dia tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Itu saya amat pasti, kerana masih ada golongan kaya yang terdiri daripada mereka yang taat kepada Allah. Bukan sekadar mentaati Allah, tetapi usaha dan iktiar mereka untuk menjadi orang yang MEMBERI terlihat dari kesungguhan mereka mengubah nasib diri dan orang-orang sekitar mereka.



KUNFAYAKUN DAN SANG MURABI
Kunfayakun dan Sang Murabi adalah dua buah filem Indonesia yang banyak memberi kesan dan pengaruh ke atas diri saya untuk mencari Tuhan. Kedua-duanya memaparkan tentang PERCAYA kepada Allah dan ISTIQOMAH terhadap apa yang kita lakukan. Percaya bahawa Allah mendengar apa yang kita pohonkan, dan sentiasa Istiqomah dalam bermohon kepada-Nya. Kenapa saya kebelakangan ini banyak cerita tentang Mencari Tuhan? Kerana saya suka untuk mengajak para pembaca mencari Tuhan. Kerana saya sudah merasai manisnya ‘bertemu’ dengan tuhan, dan saya mahu berkongsi kemanisan itu bersama anda semua.

“Tidak ada satupun hamba-Ku yang ikhlas Kuambil harta yang Kuberikan padanya, kecuali Kuganti dengan yang lebih baik. Tidak ada satupun hamba-Ku yang redha dengan bala yang Kutimpakan padanya, kecuali Kunaikkan derajatnya. Dan tidak satupun hambaKu yang bersyukur, kecuali Kutambah nikmatKu padanya” (Hadith Qudsi).

Hadith Qudsi di atas juga salah satu pemangkin kepercayaan saya terhadap Allah. Saya juga percaya bahawa kemanisan menjadi hamba, dan kemanisan menjadi manusia yang mempunyai tanggungjawab di muka bumi ini adalah sebuah ganti yang Allah beri pada saya.

BERSANGKA BAIK KEPADA ALLAH
“Perancangan Allah lebih baik daripada perancangan manusia.” Itu adalah ayat yang biasa kita ucapkan apabila sesuatu perkara yang kita rancang tidak menjadi. Tetapi adakah ucapan kita selari dengan hati kita? Atau hanya manis di mulut, tetapi di hati kita meratap dan menyalahkan Allah! Mengapa kita tidak melihat di balik sesuatu yang kita tidak inginkan itu ada kebaikan yang menanti.

Mengapa apabila keburukan yang menimpa, kita tidak berdoa agar perkara yang lebih baik Allah gantikan untuk kita? Semua persoalan itu harus ditanya kepada diri kita. Adakah kita hanya Muslim dimulut, tetapi hati kita tidak pernah mengaku akan segala ‘jalan cerita’ yang telah Allah arahkan ini. Bersangka baiklah pada Allah, kerana apabila kita bersangka baik padanya, Allah akan bersangka baik pula kepada kita.

“Barangsiapa yang tidak bersyukur atas nikmatKu, tidak bersabar atas bala yang Kutimpakan, dan redho terhadap keputusanKu, keluarlah dari langitKu dan carilah Tuhan selain diriKu". (Hadith Qudsi)

Ya Allah, tiada tempat lagi yang layak aku duduk selain dari tempat yang telah Engkau tetapkan untukku. Tiada tuhan lain yang dapat aku serahkan jiwa ragaku, selain kepada Engkau Sang Maha Kuasa.


Baca Artikel Penuh>>

Friday, November 7, 2008

Berdiam diri atau Membisu

Berdiam diri atau membisu? Mengapa dan apakah wajar tindakan tersebut?

Bagi para pembaca Paradigma yang mengikuti perkembangan saya, pasti ada yang menjawab bahawa saya tidak mendiamkan diri. Malahan saya terus bergerak ke sana-sini dan masih menulis. Tetapi persoalan tetap akan muncul iaitu di mana? Sepanjang proses mendiamkan diri selama sebulan lebih ini, saya banyak mempelajari perkara baru. Antaranya menulis dalam bahasa Inggeris dalam sebuah blog baru, mempelajari Adobe Photoshop, mengunjungi Indonesia, dan memerhati serta memahami diri saya sendiri.



MASIH MENULIS

Sepanjang mendiamkan sebentar Paradigma dari terisi apa-apa bahan, saya sebenarnya masih mengikuti perkembangannya dengan membaca komen-komen yang dihantar oleh para pembaca. Ada yang menyokong tindakan saya untuk mendiamkan diri sebentar, dan ada juga yang membantah tindakan tersebut. Walaubagaimanapun, saya sedar bahawa para pembaca mempunyai niat yang baik dengan menghantar komen-komen tersebut, dan saya amat menghargainya.

Kesedihan dan kegembiraan mengisi diri saya sepanjang saya mencari diri sebenar. Lebih-lebih lagi apabila saya berkunjung ke Bandung, Indonesia. Melihat dan memerhatikan sendiri keadaan masyarakat di sana, dan ia amat menginsafkan diri saya. Banyak perkara yang saya perolehi apabila berada di sana. Cahaya kegembiraan juga terisi di sana, tetapi kegembiraan itu sebenarnya masih dalam samar-samar, sama ada kegembiraan itu akan berterusan atau akan terhenti, saya masih ragu.

Kesedihan seringkali dikaitkan dengan kegagalan dalam diri manusia. Begitu juga dengan saya. Falsafah saya, “jatuh dua kali dalam dua lubang yang sama amat perit, tetapi jika jatuh dua kali ke dalam dua lubang yang berbeza , itu lebih bahagia.” Mengapa? Kerana bagi saya, sesiapa yang jatuh ke dalam lubang yang sama lebih sekali, bererti mereka tidak berjalan dari kesilapan lepas. Tetapi jika seseorang itu jatuh ke dalam lubang yang berbeza meskipun sudah dua kali terjatuh, orang itu beruntung kerana belajar dari kesilapan lepas untuk tidak melalui di lubang yang sama.


GAGAL SEBUAH KEJAYAAN
Dua kali gagal dalam situasi yang berbeza, bererti sudah menaiki dua tangga menuju kejayaan. Jangan takut, tetapi rancang dan fikirkan apa cara untuk kita terus mendaki mencapai kejayaan di puncak sana. Sebentar tadi saya mendengar sebuah rancangan di radio. Seorang pendengar telah menelefon DJ yang bertugas, dan apa yang menarik beliau mengatakan, umur 21 tahun adalah umur di mana seseorang itu sudah mulai memikirkan masa depan, tidak kiralah sama ada keluarga, pekerjaan, kehidupan dan pelbagai lagi.

Apa yang saya boleh katakan, saya lebih awal daripada itu, walaubagaimanapun saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Usia seawal 20-an seharusnya digunakan untuk memikirkan apa yang harus digapai dan dicapai pada masa hadapan. Ukirkan gambaran di minda dan catatkan di kertas segala apa yang kita fikirkan boleh diusahakan dan yakin untuk memperolehinya. Berikan solusi-solusi segala tribulasi di minda kita, agar minda kita dapat menyelesaikannya dengan segera. Bukan menambah masalah, tetapi cuba mencari formula untuk menyelesaikan masalah dan cara untuk kita berjaya pada masa hadapan.

Sejak 4 tahun lalu saya telah merancang dan menulis misi dan visi saya, sama ada dalam kotak ingatan dan juga di buku catatan. Walaupun sepanjang mengisi perancangan tersebut ada yang gagal, tetapi tidak merasakan kegagalan itu jalan mati. Tetapi lebih kepada motivasi dan peringatan dari Allah bahawa ada banyak perkara lagi saya harus usahakan untuk mencapai cita-cita saya.

Banyak perkara lagi yang saya akan isi, dan ceritakan. Insya Allah saya akan ceritakan pengalaman saya berkunjung ke Indonesia, dan segala kebaikan yang saya dapat di sana. Kebaikan itu diperolehi dari proses memerhati, menyelami, menilai dan menimbang segala apa yang saya lihat dan berbual bersama orang di sana. Banyak perkara! Kunjungan saya di sana tidak sia-sia, banyak yang saya perolehi...


TERIMA KASIH
Saya ucapkan terima kasih kepada para pembaca yang sentiasa menyokong saya dengan menghantar email dan juga memberi komen dalam Paradigma semasa saya mendiamkan diri untuk seketika. Khususnya kepada Mentor-mentor saya yang banyak memberi idea dan sumbang-saran kepada saya agar lebih matang dalam menjalani kehidupan. Saya sekarang bermotivasi dan bersedia untuk menyumbang kembali idea-idea dan juga ingin menjadi sebahagian dari "erti hidup pada memberi".




Baca Artikel Penuh>>

BUKAN SEKADAR BERKUNJUNG




MENCARI TUHAN

Perjalanan menuju pencak Tangkuban Parahu amat mengasyikkan. Suhunya yang dingin dan permandangan bukit-bakau yang menghijau amat menyenangkan. Pemandu di sebelah saya khusyuk memandu , sukar untuk melihat dia leka atau menoleh sana-sini.

“Kenapa ke Bandung?” Pak Salim pemandu kereta yang dinaiki saya bersuara perlahan.

Saya menoleh ke arah beliau, kemudian tersenyum pahit.
“Saya mencari tuhan.” Pak Salim menoleh ke arah saya pula. Ada riak-riak tidak puas atau terkejut dengan jawapan yang diberi oleh saya.

“Kamu Muslim?”

“Alhamdulilah, saya Muslim yang taat.”

“Kalau sudah Muslim, mengapa harus mencari Tuhan pula?”

Sesekali Pak Salim memutar-mutarkan sterengnya untuk mengelak lubang-lubang yang ada merata di jalan raya. Keadaan jalan raya di Bandung tidak sebaik atau terurus seperti di Malaysia. Sudah ada jalan raya pun sudah memadai, daripada tidak ada langsung. Pak Salim masih menunggu jawapan dari saya. Saya memandang keluar tingkap, Pak Salim pula masih tekun memandu.

“Sudah menjadi Muslim tidak semestinya kita mengenal Tuhan kita. Di tempat saya, ramai yang mengaku Muslim tetapi mereka tidak pernah menjalankan tangunggjawab sebagai Muslim. Mereka kata mereka kenal Tuhan, tetapi kehidupan mereka tidak ubah seperti orang yang tidak bertuhan. Begitu juga dengan saya. Walaupun saya Muslim, saya masih mencari makna sebenar bertuhan.”

Pak Salim kelihatan terkejut dengan penjelasan saya. Keja-kejap dia menoleh saya, kemudian terus memandang ke hadapan. Dia tidak berkata apa-apa, seakan-akan sedang mencari buah bicara untuk menuturkan kepada saya. Kami diam seketika, saya melayan keasyikan melihat permandangan dan dia tekun memandang ke hadapan memandu kereta.


MAKNA KAFFAH

“Saya ingin menjadi Muslim secara kaffah.” Saya meneruskan bicara.

“Kaffah?”

“Pak Salim tahu apa itu Kaffah?” Saya menyoal Pak Salim. Pak Salim menggeleng, tapi dalam masa dia menunjukkan minat yang tinggi untuk mengetahui makna Kaffah.

“Kaffah bererti menyeluruh. Menjadi Muslim haruslah seluruhnya mengikuti apa yang telah diajarkan oleh Allah dan Rasul, bukan sekerat-kerat. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan..” Pak Salim mengangguk-anggukkan kepalanya. Saya sendiri tidak tahu, adakah dia memahami penjelasan saya atau tidak. Tetapi sekurang-kurangnya saya dapat menerangkan kepadanya.

“Jadinya sekarang, kamu mahu mencari Tuhan atau mencari Kaffah.” Saya tergelak. Memang benar telahan saya, Pak Salim tidak memahami apa yang saya terangkan kepadanya. Dalam masa yang sama saya sedih, kerana saya belum berupaya menerangkan Islam kepada beliau. Betapa agungnya Nabi Muhammad kerana baginda berupaya dan berkebolehan menerangkan Islam kepada seluruh manusia, hatta masyarakat Arab Badwi yang terkenal dengan kedunguan. Selawat dan salam ke atas baginda serta ahli keluarga dan para sahabat baginda.

“Saya mencari kedua-duanya Pak.” Saya menamatkan bicara. Saya memandang Pak Salim dengan beribu persoalan dan simpati. Seorang lelaki yang sudah separuh usia masih berkerja keras mencari rezeki untuk keluarga di rumah. Beliau seorang yang peramah walaupun pada mulanya saya sangka beliau seorang pendiam. Beliau suka berjenaka tetapi tidak pernah ketawa, kadang-kala saya sendiri tidak mengerti adakah dia membuat lawak atau sekadar bercerita. Lucu!

Indonesia sebuah negara Islam, sebuah negara yang penuh dengan sejarah. Tidak kurang juga dengan kelahiran para ulama’ dan cendikiawan Islam. Sebut sahaja HAMKA, KH Rahmat Abdullah, Wali Songo, Syeikh Ali Audah, Prof Dr Hasbi As-shidiqie dan ramai lagi. Mengapa saya memilih Indonesia sebagai tempat untuk saya mencari Tuhan? Banyak sebabnya, dan saya pasti sebab-sebab itu sukar untuk saya senaraikan satu persatu.

“Kita sudah sampai.” Ujar Pak Salim pendek.

“Saya memandang sekeliling. Padat!” Ramai pelancong pada hari itu. Begitu juga dengan para penjual yang mengusung barang-barang mereka untuk dijual. Pak Salim menginngatkan saya agar jangan cepat membeli barang-barang di situ. Harus tawar-menawar, kata Pak Salim. Katanya lagi, kadang-kadang satu barangan itu baru 30 Ribu Rupiah, tetapi mereka jual dengan harga 150 Ribu Rupiah, jadinya harus berhati-hati dan jangan tertipu, pesan Pak Salim lagi kepada saya.


sekitar di atas puncak Tangkuban Parahu


Saya keluar dari kereta, angin-angin dingin menyapa dan menyambut kedatangan saya. Saya memeluk tubuh, kesejukannya mencucuk kulit luar epedermis saya. Walaupun tidak mencengkam hingga ke tulang sunsum, tetapi kedinginannya amat terasa. Saya menuju ke arah papan tanda yang tertulis, “Tangkuban Parahu”. Saya tersenyum gembira, akhirnya saya sampai juga di sini.

Baca Artikel Penuh>>

Perhatian





Pemberitahuan:

Kedua-dua telefon bimbit saya hilang / keciciran / dicuri semasa diletakkan di dalam bagasi kapal terbang Air Asia. Jadi kepada rakan-rakan sila email atau YM saya untuk sebarang update / pemberitahuan / kecemasan / dan sebagainya untuk sebulan ini sebelum saya membeli telefon bimbit baru.


Kepada rakan sekolah lama saya : An-nur dan SMKA Pedas, saya mengharapkan anda semua emailkan kepada saya nombor telefon anda. Sila gunakan link 'HUBUNGI' yang ada di atas untuk menghantar email kepada saya. Harap kerjasama dari anda semua.

Saya masih belum bersedia untuk mengisi apa-apa di dalam Paradigma. Banyak perkara di dalam kepala saya untuk diberikan kepada para pembaca. Tetapi...Sabar, kerana saya masih menyusun, mengatur dan menilai segala isi kandungan dalam kepala ini.


Baca Artikel Penuh>>

Thursday, September 25, 2008

Aidilfitri



Baca Artikel Penuh>>

Tuesday, September 9, 2008

BERHENTI PERKHIDMATANNYA



Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya


Blog ini berhenti seketika perkhidmatannya, kerana saya tidak mampu untuk menulis lagi. Tidak mampu untuk memberi dengan fikiran yang waras, dan kritis.

Saya berpenyakit, penyakit jiwa yang sukar diubati dengan ubat-ubat yang wujud di farmasi. Mungkin ubat itu akan terzahir dengan cara mendekatkan diri dengan-Nya. Jiwa saya rungsing, resah dan kecewa dengan kehidupan dunia ini. Sedih dikecewakan, dan sedih diperhambakan oleh dunia yang kadang-kala saya melihat terlalu memperkudakan saya.

Wanita dan harta menjadikan mata gelap memandang akhirat, menjadi penyumbang gelapnya hati. Bila tersedar, cepat-cepat merangkak, cepat-cepat berjalan dan cepat-cepat berlari menuju sang Pencipta. Dia yang menciptakan cinta, dia juga menciptakan harta, dia menciptakan keresahana dan dia juga menciptakan kebahgiaan.

Jari-jemari, akal dan hati yang diberi-Nya sejak 21 tahun tidak digunakan sepenuhnya untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Namun kesedaran untuk memberi dengan menulis di alam maya sejak dua tahun lalu, banyak mematangkan dan memberi saya pelbagai pengalaman dan pengajaran. Namun, menulis dan mengamalkannya bukan perkara yang mudah. Kita akan kecewa bila kita menulis tetapi kita sukar untuk sama-sama menghayatinya.

Jiwa saya kacau! Kacau kerana saya belum memahami agama secara kaffah. Memahami agama perlu juga memahami bagaimana Agama itu membentuk diri saya sebagai Muslim. Jiwa saya kacau, jiwa saya kacau, jiwa saya kacau!


Mohon maaf kepada semua pembaca paradigma. Paradigma harus memuhasabah dirinya. Melihat kedalam hati dan melihat kedalam akal insani. Harus rehat, harus berfikir dan harus dekatkan diri kepada-Nya. PARADIGMA akan berehat hingga pada satu masa yang akan tiba. Insya Allah, kerana saya mencari apa yang perlu saya cari, agar jiwa saya tidak terus kacau.

Maafkan saya! Saya mencari Tuhan, agar jiwa saya berasa sebagai hamb

Baca Artikel Penuh>>

Monday, September 8, 2008

saudara baru, saudara lama?



Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
Sahur dan subuh
9/10/2008





“Alhamdulilah, kita hari ini mendapat saudara baru.” Beritahu Pak Kasim kepada hadirin di masjid selepas mengislamkan seorang lelaki yang beragama Hindu sebelumnya.


“Saudara baru”. Sejak dari dahulu saya tertanya-tanya, betul ke jika seseorang sebelum ini bukan beragama Islam kemudian menganut agama Islam digelar saudara baru?


Pernah saya terfikir jika ‘saudara baru’ itu sudah menjadi Muslim selama 20 tahun adakah gelaran saudara baru itu masih releven? Walaubagaimanapun, mengasingkan atau membeza-bezakan Muslim kepada baru dan lama bukanlah sesuatu yang datangnya pengamalan Rasulullah dan juga para sahabat.


Muslim adalah bersaudara
Muslim adalah bersaudara, tidak ada yang membezakan kita semua. Hanya iman dan takwa yang membezakan kita, namun perbezaan itu tidak terzahir pada kaca mata kita. Hanya Allah yang mengetahui, sepertimana yang dikhabarkan Rasulullah dalam sebuah hadith yang sahih, “Bahawasanya Allah tidak memandang akan lahir (rupa dan harta) kamu, tetapi memandang hati dan amalan kamu.”


Muslim bersaudara, apabila kita sembah tuhan yang satu, dan mengikut Nabi dan Rasul yang sama, maka kita adalah bersaudara. Kerana Muslim adalah orang yang beriman, iman kita bahawa Tiada Tuhan yang layak disembah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Allah berkata dalam surah al-Hujarat ayat 10, “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.”

Tiada beza, antara saudara dan saudara lama. Kerana kadang-kala saudara baru itu lebih islamnya dari saudara lama yang sudah lama islam warisannya. Jadi, soal siapa baru dan siapa lama tidak timbul. Yang menjadi soalnya sekarang ialah, adakah kita benar-benar mengenali Islam dengan pemahaman atau sekadar warisan nenek-moyang kita. Tepuk dada, ketuk kepala tanya iman!






Baca Artikel Penuh>>

Saturday, September 6, 2008

Pemimpin adalah memimpin


Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
7 September 2008
3.00 pagi

Saya pernah menulis tentang bagaimana seorang pemimpin yang harus dipilih oleh orang ramai. Saya meletakkan beberapa asas dan perkara yang harus ada pada seorang pemimpin, antaranya ialah mengutamakan Agama dalam semua aspek. Kini asas dan perkara-perkara yang saya sarankan dan canangkan itu, harus dilihat dan diteliti kembali oleh saya. Bukan kerana poin-poin yang saya senaraikan itu tidak releven, tetapi ia adalah peringatan bahawa kini saya pula harus mempraktikan dan mengaplikasi segala apa yang saya coretkan dahulu.


Tanggal 3 September lepas, saya secara rasmi diamanahkan sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Multimedia Universiti. Amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh pelajar kepada saya dan amanah yang harus dibawa kehadapan Allah kelak. Bukan kemegahan dan kebanggaan memiliki sebuah jawatan, jawatan hanya wasilah dan jawatan ini juga akan ditanya di akhirat kelak.


Sebelum membuat keputusan untuk berada didalam organisasi ini, banyak perkara yang saya fikirkan dan pertimbangkan. Hadith dibawah ini jugalah antara perkara yang banyak memberi peringatan dan motivasi kepada saya.


Nabi s.a.w berkata, “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim)



Bukan sekadar tahu

Menjadi pemimpin bukan hanya sekadar tahu dan mahu, tetapi mampu iaitu kemampuan seseorang pemimpin untuk memimpin harus ada didalam diri seseorang. Abu Zar bukanlah seorang insan biasa di sisi Rasulullah, para sahabat mengetahui bahawa beliau seorang yang zuhud dan soleh, tetapi Rasulullah tidak pernah memilih beliau untuk menjadi pemimpin.


Tidak terpilihnya beliau bukan disebabkan beliau tidak baik, tetapi kerana ketidakmampuan beliau untuk memimpin umat Islam ketika itu. Memilih pemimpin tidak semudah memilih ikan di pasar. Kerana amanah yang harus dipertangungjawab amat besar dan kesilapan memilih akan mengundang mudarat yang besar. Tidak hairanlah apabila Rasulullah mengibaratkan pemberian amanah kepada orang yang tidak selayaknya, adalah tanda kepada tibanya hari Kiamat.


Kata Nabi s.a.w, "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Jawab baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat" (HR Bukhari)




Pemimpin tidak sempurna

Walaubagaimanapun, seorang pemimpin bukanlah seorang insan yang sempurna. Saling melengkapi didalam sebuah organisasi antara isi penting dalam menjayakan organisasi tersebut. Saya bukanlah seorang insan yang sempurna, banyak cacat celanya dan kelemahan yang saya miliki. Namun untuk berpatah kembali ke belakang, atau mengalah bila dilambung ombak dan dilanda badai, tidak sama sekali wujud dalam diri saya.


Biar setinggi manapun ombak itu merempuh, akan saya harungi dengan semangat yang kental. Mencari solusi di sebalik kekusutan antara jalan terbaik bagi menghadapi masalah, jangan lari, tapi cari jalan. Itu langkah seorang pemimpin.


Kepada rakan-rakan yang sentiasa menyokong dan sentiasa berada di belakang, depan dan di sisi saya, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan. Jika saya jatuh, tolong bangunkan, jika bengkok jalan yang saya lalui, tolong tunjukkan jalan lurus yang harus saya lalui, jika saya keseorang dekatilah saya, dan bila saya mati kafankan dan solatkanlah saya.


Akhir kata, saya mahukan seorang lelaki atau perempuan yang melihat kesalahan yang dilakukan oleh saya untuk menegur dan menasihati saya. Moga peristiwa dibawah ini menjadi alasan untuk anda menegur saya!


Seorang lelaki berkata kepada Saidina Umar, yang ketika itu adalah seorang Khalifah umat Islam, kata beliau, “ Jika engkau bengkok, aku akan luruskan engkau dengan mata pedang aku ini”. Lalu Saidina Umar menjawab “Alhamdullillah, kerana ada orang yang sudi memperbetulkan Umar dengan mata pedangnya”..

Baca Artikel Penuh>>

Friday, September 5, 2008

Aib dan Malu


Oleh: Yussamir Yusof
cyberjaya



Saya berbuka puasa di Masjid Putrajaya maghrib tadi bersama rakan-rakan. Saya tidak pasti sama ada rakan saya perasan atau tidak, tapi saya menjadi saksi kepada satu kejadian yang amat mengaibkan. Dua orang non-Muslim, seorang lelaki dan seorang perempuan memasuki perkarangan masjid. Yang perempuannya tidak bertudung (sudah pasti), dan yang lelakinya berseluar pendek. Bagi pandangan mata kita, tidak sopanlah masuk ke masjid dengan berpakaian begitu, tapi cara memberitahu haruslah behikmah. Yang menyedihkan, mak guard yang bertugas di depan pintu masjid, dengan lancangnya menghalau mereka. Tanpa ada belas dan adab yang dituntut dalam Islam.

Betapa malu dan aibnya saya bila mak guard tersebut berkelakuan seperti tidak beragama. Saya tidak kisah kalau aib dan malu itu hanya dipikul oleh dia, tapi aib dan malu itu ditanggung oleh ISLAM. Saya pasti pasangan bukan Islam itu akan berperasangka buruk dan mempunyai tanggapan negatif terhadap agama Islam yang suci ini. Semuanya atas sikap atau akhlak yang tidak senonoh yang dipamerkan oleh mak guard tersebut.

Kalau kita beriya-iya benar menghebahkan bagaimana Bangsa Israil memandang manusia lain sebagai anjing dan halal dibunuh. Maka tidak jauh ideologi tersebut dengan perangai dan adab kita terhadap non-Muslim yang datang ke masjid tersebut. Sungguh Aib!

Saya tidak pasti mengapa sampai sebegitu sekali perlakuan kita secara umumnya terhadap non-Muslim yang hadir ke tempat ibadat kita. Mereka tidak najis, mereka dilindungi oleh Agama kerana mereka ahli kafir yang tidak menentang. Mengapa kita bersikap demikian? Malu sungguh!



Dalil dibenarkan memasuki Masjid bagi Non-Muslim

Banyak dalil yang membenarkan non-Muslim masuk ke Masjid. Begitu juga dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama. Di dalam sebuah Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa tetap fatwa menjelaskan bahawa Nabi saw pernah menahan seorang banduan, Thamaamah ibn Athaal al-Hanafi didalam masjid sebelum dia memasuki Islam. Begitu juga dengan delegasi Thaqeef dan Kristian Najraan pernah tinggal didalam masjid [Fatawaa al-Lajnah al-Daa'imah, 6/276].

Saya merayu, tolonglah jangan memalukan dan mengaibkan Islam! Saya sangat malu dan terasa hina sebentar tadi, maafkan kami wahai kamu berdua!

Baca Artikel Penuh>>

Wednesday, September 3, 2008

Amanah Allah




Hadith ini benar-benar menyentakkan hati saya! Betapa berat untuk memiliki insan yang bernama Isteri. Moga Hadith ini memberi peringatan kepada sahabat-sahabat saya yang sudah berkeinginan untuk berumahtangga.

TAKUTLAH KAMU SEMUA KEPADA ALLAH MENGENAI WANITA (ISTERI) KERANA KAMU TELAH MENGAMBIL MEREKA DENGAN AMANAH ALLAH
[Hadith riwayat Muslim]


Baca Artikel Penuh>>

Saturday, August 30, 2008

Merdeka apakah ertinya kini?


Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
30 Ogos 2008





Adik Asilah : Salam Abang Yussamir pe khabar?Semoga sihat selalu ye..Selamat menyambut hari Merdeka, dan selamat menjalani ibadah puasa....

Saya : Wasalam..Sihat..Jadikan Merdeka ini satu wadah pemikiran dalam memahami erti kemerdekaan yang sebenar, bukan sekadar bebas dari penjajahan (bentuk fizikal,ketenteraan,dan lain-lain yang sedia maklum), tetapi bebas dari minda yang terjajah.


Adik Asilah : Wah kata-kata orang sastera (saya bersastera ke? entah saya pun tak pasti..hehehe). Tak nak tulis blog pasal Merdeka ke? Takde la saja je..Lama dah tak tgk PARADIGMA (kenapa dah lama tak tgk,kena tgk selalu tau..)

Di atas adalah antara apa yang saya dan adik Asilah borakkan melalui sms. Saya tidak ada mood untuk menulis tentang Merdeka, kerana bagi saya Merdeka Malaysia tidak menyerapi semangat patriotisma saya sekarang ini. Entah mengapa saya tidak mengerti. Bagi saya sambutan kemerdekaan hanya palsu, tidak dapat membangkitkan semangat 'Merdeka' itu sendiri. Dilambakan pelbagai hiburan sana-sini, dan rakyat terus tidur dan menongkat dagu di meja kopi.


Remaja pula? Saya pasti, kalau Soekarno adalah pemimpin Malaysia sekarang, tidak mungkin dia akan mengakui kehebatan pemuda dan pemudi Malaysia. Sepertimana dia pernah ucapkan "bawakan aku 10 orang pemuda, pasti aku akan mengoncangkan dunia."


Entah, Merdeka apakah ini!!

Tapi saya dengan bangga mengakui bahawa Malaysia ini adalah Tanah Airku,di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung! (kena ke pepatah ini? Masih entah!)





Baca Artikel Penuh>>

Friday, August 29, 2008

Luar biasa, bukan biasa-biasa



Oleh: Yussamir Yusof
29 Ogos 2008
www.yussamir.com
cyberjaya




Menjadi pelajar luar biasa atau biasa-biasa? Saya bersoal-jawab dengan diri saya, selepas soalan ini dilontarkan oleh Mentor saya Ustaz Hasrizal. Ya, menjadi pelajar yang biasa-biasa atau luar biasa penentunya ada di tangan saya. Saya yang bakal memilihnya, jika mahu menjadi pelajar yang biasa-biasa silakan. Tetapi kalau mahu jadi pelajar yang luar biasa harus ada banyak perkara yang harus difikirkan dan dihadapi.


Bila mahu jadi luar biasa, pasti akan ada halangan dan cabaran luar biasa yang harus saya hadapi. Jatuh bangun dalam kehidupan adalah perkara lumrah. Tetapi jangan jatuh dua kali dalam lubang atau lopak yang sama, kerana orang yang jatuh pada lubang yang sama adalah orang bodoh. Tidak pernah menjadikan sejarah sebagai ibrah, ataupun pengajaran kepada dirinya.


“Tidaklah seorang mukmin akan disengat dua kali dari satu lubang (sarang binatang) yang sama.” (Sahih:Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim)



Saya bukan seorang genius atau dilahirkan bijak, tetapi lumrah ingin menjadi terbaik di kalangan terbaik sentiasa ada dalam diri saya. Akur bahawa menjadi luar biasa memerlukan usaha yang luar biasa dari biasa-biasa. Keluar dari kebiasaan yang biasa-biasa harus dimulai dengan tabiat malas kepada rajin yang luar biasa. Bersama-sama dalam lingkungan orang yang luar biasa, dari segi ibadah, pembelajaran dan pergaulan juga harus dilakukan.



Luar biasa tetapi tetap tidak sempurna

Namun dalam usaha menjadi luar biasa, manusia tetap tidak akan terlepas dari kesilapan dan kelemahan diri. Perkara ini saya akui selepas saya bersama dengan rakan-rakan seperjuangan di dalam Majlis Perwakilan Pelajar MMU. Menjadi luar biasa kerana ada jawatan yang tidak biasa-biasa di kalangan pelajar juga adalah perkara luar biasa yang saya rakamkan dalam perancangan kehidupan saya. Bukan gilakan jawatan, tetapi gilakan menjadi insan yang luar biasa, yang dapat membantu insan-insan yang mahu melangkah menjadi insan luar biasa juga. Bukan setakat memimpin dan menuntun pelajar-pelajar MMU ke jalan yang luar biasa, tetapi kebajikan serta keperluan mereka dipenuhi dari semasa ke semasa.


Tidak mudah menjadi seorang pemimpin, lagi-lagi bila kita tidak berada dalam lingkungan kebiasaan kita. Kalau dahulu saya berada dalam persatuan Islam yang rata-ratanya rakan-rakan saya ialah Muslim. Tetapi sekarang saya perlu berkerja bersama-sama rakan-rakan yang bukan Muslim, lebih-lebih lagi saya diberi amanah menjaga dua buah biro yang diketuai oleh rakan berbangsa Cina. Memang sedikit janggal dan tidak biasa. Saya tidak mengenali mereka, begitu juga mereka tidak mengenali saya. Cara berkerja yang berbeza juga kadang-kadang memberi ketidakselesaan antara kami.


Ketidakselesaan itu tidak lama berpanjangan, bersikap profesional dan mempunyai objektif yang sama iaitu memperjuangkan hak pelajar serta menjaga kebajikan pelajar membawa kami kepada titik persamaan. Keinginan menjadi pelajar yang luar biasa juga penyumbang utama kepada pembentukan sebuah organisasi yang mantap di kalangan kami. Luar biasa, semuanya luar biasa tidak ada yang biasa-biasa.



Selepas ini cabaran dan halangan luar biasa akan terus mendatang. Kekuatan iman dan takwa serta keberkatan datangnya Ramadhan tidak lama lagi, diharapkan membawa sesuatu kepada saya. Bau-bauan haruman Ramdhan sudah terhidu-hidu, mekar kembangnya harumanan Ramadhan seringkali memabukkan diri.



Allah sang pencipta, sang Agung, moga Ramadhan kali ini memberi kekuatan kepada diri ini, seterusnya dapat menikmati ramadhan yang akan datang dan yang seterusnya. Moga keinginan luar biasa menjadi insan dan pelajar yang luar biasa diizinkan oleh-Mu. Luar biasa dari Akademik, aktiviti, kehidupan beragama, dan semuanya yang dilibatkan, biarlah menjadi luar biasa.



Mengatakan yang benar walaupun pahit juga adalah luar biasa. Menjadi asing di kalangan manusia yang tidak mengetahui juga, adalah asing yang luar biasa. Moga semuanya luar biasa, tetapi luar biasa yang sentiasa berada di jalan Allah dan Rasul.

Baca Artikel Penuh>>

Wednesday, August 27, 2008

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan al-Mubarak



Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
26 Ogos 2008
www.yussamir.com



Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”


Ramadhan bulan yang penuh berkat mula mendekati kita. Bila dicongak-congak, kira-kira lagi seminggu semua umat islam di Malaysia akan menyambut kedatangan Bulan Ramadhan yang mulia. Kedantangannya memberi bahagia dan kegembiraan kepada seluruh umat Islam. Walaupun tidak dinafikan ada juga insan-insan yang mengeluh dengan kedatangan bulan ini. Keluhan dan kegembiraan itu tergambar melalui kesanggupan atau tidak untuk berpuasa pada bulan tersebut. Berpuasa satu bulan berturut-turut bukanlah perkara mudah, hanya mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah dapat melaksanakannya dengan sempurna.

Disebabkan itu Allah menjanjikan Syurga kepada mereka yang berpuasa dengan sempurna pada bulan tersebut. Perkara ini dinyatakan melalui kalam Rasulullah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhar, “" Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, dan berpuasa di bulan ramadhan, maka telah layak baginya untuk dimasukkan oleh Allah ke dalam syuga "Memang benar, ada juga daripada kita yang dapat berpuasa sebulan penuh, tetapi puasanya itu hanyalah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga. Tidak lebih daripada itu, sehingga perkara ini pernah di sebut oleh Rasulullah dalam sebuah hadith yang bermaksud, “Berapa banyak orang yang berpuasa, tiada apa dari puasanya melainkan menahan dari makan dan minum"( Shahih Attarghib : 1076,1077). Namun persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk mengharungi ujian dan cubaan pada bulan Ramadhan?


Kita tinggalkan persoalan tersebut kepada diri kita sendiri. Tanyalah iman anda, tanyalah diri anda. Adakah anda gembira dengan kedatangannya atau anda risau dan resah akan kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini. Keberkatan dan kemulian bulan ini banyak Allah perlihatkan melalui beberapa peristiwa penting dalam keimanan umat Islam.

Antaranya ialah pada bulan ini Allah telah menurunkan Al-Quran, sepertimana yang dijelaskan oleh-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 185, “Bulan ramadhan, bulan yang diturunkan padanya (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara haq dan batil), barang siapa antara kamu yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu.."


Selain daripada itu, Allah mengurniakan pada bulan ini dengan Lailatul Qadr, iaitu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Kata Allah dalam surah al-Qadr ayat 1-3, “Sesungguhnya, kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada lailatul qadr. Dan tahukah kamu apakah lailatul qadr itu? Lailatul Qadr itu adalah lebih baik dari seribu bulan "


Selain daripada kelebihan-kelebihan dan keistimewaan yang Allah kurniakan pada bulan Ramadhan. Allah tidak pernah melupakan ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang sabar dan sentiasa tunduk kepada-Nya dalam meniti bulan Ramadhan. Allah telah menjanjikan ganjaran setiap kebaikan hambanya dengan 10 kali ganda pahala berbanding pada bulan-bulan yang lain. Selain itu Allah memuji-muji hambanya yang berpuasa semata-mata untuk Dia dengan mengatakan bahawa bau mulut-mulut hamba-Nya yang berpuasa sama dengan bau minyak Kasturi (HR. Ahmad).


Antara keistimewaan lain pada bulan Ramadhan adalah:

1. Pada bulan Ramadhan diturunkan Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi umat manusia dan berisi keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pembeza antara yang haq dan yang bathil.

2. Pada bulan ini disunatkan solat tarawih, yakni solat malam pada bulan Ramadhan, untuk mengikuti jejak Rasulullah, para sahabat dan Khulafa’ Rasyidin. Ini berdasarkan Sabda Nabi s.a.w, "Barangsiapa mendirikan solat malam Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala (dari Allah) niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."

3. Pada bulan ini terdapat Lailatul Qadar (malam mulia), iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, atau sama dengan 83 tahun 4 bulan. Malam di mana pintu-pintu langit dibukakan, do'a dikabulkan, dan segala takdir yang terjadi pada tahun itu ditentukan.Berdasarkan Sabda Nabi s.a.w, “Barangsiapa mendirikan shalat pada Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala, dari Allah niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."

4. Pada bulan ini pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup dan para syaitan diikat. Sepertimana hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, " Apabila tiba Ramadhan; telah dibuka pintu-pintu syurga, telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan".



Perkara yang membatalkan

Disamping mengejar keutamaan-keutamaan tersebut, kita juga perlu menjaga beberapa perkara agar puasa kita tidak terbatal dengan sia-sia. Antara perkara yang telah jelas di dalam Quran adalah tidak boleh bersetubuh di siang hari, makan dan minum dari terbit sehingga terbenamnya matahari. Selain daripada 3 perkara tersebut para Ulama telah meluaskan perbahasannya kepada beberapa lagi perkara yang dapat membatalkan puasa,antaranya:

Mengeluarkan mani dalam keadaan terjaga kerana onani, bersentuhan, ciuman atau sebab lainnya dengan sengaja. Adapun keluar mani kerana mimpi tidak membatalkan puasa kerana keluarya tanpa sengaja.

Keluarya darah haid dan nifas. Apabila seorang wanita mendapati darah haid, atau nifas batallah puasanya, baik pada pagi hari atau petang hari sebelum terbenam matahari. Berdasarkan sebuah hadith yang direkodkan oleh Muslim, “Adakah wanita yang datang haidh tidak perlu solat dan puasa? Kami berkata Ya! Maka Rasulullah menjawab : Itulah kekurangan agama mereka”.

Sengaja muntah. Kata Nabi, “Barangsiapa yang terpaksa muntah, maka dia tidak perlu mengqadha, dan barangsiapa yang muntah dengan sengaja, maka dia perlu mengqadha.”( HR Ibnu Majah : 1676)
• Murtad dari Islam (semoga Allah melindungi kita darinya,perbuatan ini menghapuskan segala amal kebaikan ). Ini berdasarkan Firman Allah, “Seandainya mereka mempersekutukan Allah(murtad), niscaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan.”






Akhir sekali penulis memetik kata-kata Syeikh Abdul Aziz Bin Baaz(mantan Mufti Arab Saudi), “Di dalam bulan puasa seorang Islam dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, seperti mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Mengawal diri juga memiliki banyak faedah baik dari aspek kesihatan mahupun ke arah kerohanian. Di antara faedahnya adalah seorang Muslim akan merasai kelaparan yang dilalui oleh seorang Muslim lain yang tidak memiliki makan atau minum yang mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Afrika.”
WaAllah Alam..

Baca Artikel Penuh>>

Thursday, August 21, 2008

Yang hak itu adalah hak


Oleh: Yussamir Yusof

Cyberjaya
21 Ogos 2008/alQuds day

www.yussamir.com



Kebangkitan Mahasiswa UITM dalam mempertahankan hak mereka dalam satu demonstrasi baru-baru ini seharusnya dipandang dengan adil oleh semua pihak. Kebebasan bersuara harus dijadikan sebagai satu amalam Demokrasi tulin bagi membentuk sebuah negara yang mantap dalam memperjuangkan keadilan secara saksama.


Dalam menangani isu yang berkaitan dengan tindakan Mahasiswa yang dirasakan tidak kena dengan selera pentadbiran terutama pihak kerajaan, pihak Universiti harus menyediakan sebuah platform untuk Mahasiwa menjelaskan dan mempertahankan tindakan mereka, bukan mengenakan tindakan dengan terburu-buru.


Menyentuh isu ini, saya berasa tindakan displin yang akan dikenakan kepada Mahasiswa UITM yang berdemonstrasi sepertimana yang diarahkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron adalah sesuatu yang tidak wajar. Tindakan terburu-buru sebegini sebenarnya mendatangkan kemudaratan yang lebih besar berbanding kebaikan.


Berhimpun dan berdemonstrasi secara aman sebenarnya menepati piawaian Antarabangsa, berdasarkan kepada Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat[1] ataupun dikenali dengan nama singkatannya UHDR di bawah artikel 20, dinyatakan bahawa, “Hak untuk kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan adalah dibenarkan.


Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) telah diisytihar dan diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada 10 Disember 1948. Ianya berasaskan empat tunggak - kebebasan daripada ketakutan dan kemahuan dan kebebasan bersuara dan kepercayaan. Ia menyenaraikan pelbagai hak asasi manusia, daripada hak sivil dan politik sehinggalah hak ekonomi, social dan kebudayaan.


Dengan erti kata yang lain, mengenakan tindakan displin kepada Mahasiswa yang berhimpun secara aman tersebut melanggari Hak Asasi Manusia yang telah dipersetujui oleh PBB mahupun perlembagaan Malaysia yang memperuntukan kebebasan bersuara, berkumpul dan berpersatuan sepertimana yang tercatat dalam perlembagaaan perseketuan di bawah artikel 10[2].




Sehubungan itu, Akta Hasutan dan Akta Kolej dan Universiti (AUKU), terutama seksyen 15 yang menjadi penghalang kepada kebebasan suara seharusnya dirombak kembali dan memberi kebebesan yang sewajarnya kepada Mahasiswa terutama dalam memperjuangkan hak-hak mereka.


Mana mungkin kempen memperkasakan Mahasiswa dapat dilaksanakan, jika kita mengongkong keadilan dan memenjarakan pemikiran Mahasiswa di bawah Akta yang sudah tidak releven. Tema yang digunakan oleh surat khabar Berita Harian iaitu “Dunia sudah maju, zaman sudah berubah” , seharusnya dijadikan peringatan kepada semua lapisan masyarakat, terutama pihak kerajaan yang mengenakan Akta AUKU terhadap Mahasiswa selama ini; sejak 1971.


Kembali kepada isu Demonstrasi yang diadakan oleh Mahasiswa UITM, ia hanyalah satu tindakan mempertahankan hak yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Bukan takut untuk bersaing atau resah tempat tidak ada bagi bumiputera di UITM, tetapi mempertahankan hak yang sepatutnya tidak perlu lagi dipersoalkan. Isu ini langsung tidak mengaitkan isu perkauman yang difikirkan oleh yang tidak mengetahui. Hak tersebut dengan jelas telah dinyatakan dalam objektif penubuhan MARA itu sendiri.


Objektif MARA: Menggalak, membimbing, melatih dan membantu Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai dengan aktif dalam kegiatan perdagangan dan perusahaan ke arah membentuk masyarakat usahawan Bumiputera yang berdaya tahan, profesional dan kukuh[3].


Jelasnya, MARA ditubuhkan untuk Bumiputera, dan sepatutnya isu untuk membuka UITM kepada bukan Bumiputera tidak perlu dibangkitkan, kerana ia mencanggahi objektif MARA. Cadangan-cadangan yang membelakangkan perjanjian yang telah dibuat dalam perlimen sejak dulu lagi dan dipersetujui oleh semua pemimpin yang terdiri daripada pelbagai kaum, seharusnya dilihat sebagai satu tindakan yang berbahaya kepada keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia.


Akhir kata, sebagai Mahasiswa dan pemimpin pelajar, saya melihat tindakan yang akan dikenakan terhadap mereka adalah tidak adil dan tidak wajar, dan langkah membuka UITM kepada bukan Bumiputera adalah sebuah tindakan gila dan tidak masuk akal sepertimana yang diperkatakan oleh Professor diraja Ungku Aziz.







[1] (http://www.suhakam.org.my/bm/hakasasi_apa_itu.asp)

[2] (http://www.suhakam.org.my/bm/akta_persekutuan.asp).

[3] (http://www.mara.gov.my/mkorporat.htm)

Baca Artikel Penuh>>

Tuesday, August 19, 2008

CEMBURUKU PADA JIHADMU


Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
20 Ogos 2008
www.yussamir.com

Titis air mata terus mengalir melihat sang Mujahid, sedang aku bersenang di bangku menghadap komputer. Cintaku dan kasihku padamu sang Mujahid.



Palestin kembali ke halaman selepas lama menunggu

Oleh YUSSAMIR YUSOF

GAZA 21 Ogos- Pihak Hamas telah berjaya mengebom Israil dan menewaskan tentera Israil dengan bantuan dari beberapa Negara Islam. Setakat ini daripada sumber al-Jazira, Menteri pertahanan Israil Ehud Mubarak mengakui kekuatan para pejuang Hamas, dan beliau telah bersemuka dengan Perdana Menteri Israil, Ehud Olmert untuk mengundurkan tenteranya di sebarang tebing Gaza dengan segera.

Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya telah mengumumkan bahawa kejayaan menawan Israil adalah puncak kepada jihad yang telah lama dilaksanakan. Walaubagaimanapun, beliau menasihatkan kepada para pejuang Hammas agar sentiasa mengikuti landasan Syariat apabila memasuki wilayah Israil. Antara perkara yang diingatkan ialah, jangan membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua, ahli ibadat yang berada di tempat ibadat, memotong pokok-pokok, menghancurkan rumah dan bangunan ibadat dan sentiasa membuat baik kepada warga Israil. Selepas selesai membuat ucapan, beliau dan semua warga Palestin beramai-ramai memasuki wilayah Israil yang sudah lama dirampas dari mereka. Mereka semua beramai-ramai melaungkan kesyukuran dengan takbir dan tahmid sepanjang perjalanan. - BERNAMA


Redha seorang ibu kepada syahidnya si anak


Hati Al-Quds

Darah merah pekat terus mengalir,

Jeritan, pekikan dan tangisan terus hadir,

Merintih di tempat lahir sendiri,

Tapi iman tetap kukuh di hati.


Jihad disalah erti,

Biar sahaja usah peduli,

Kita ini Muslim sejati,

Syurga menjadi idaman hati.


Bila lagi soal hati,

Nabi kata jangan ragui,

Halaman yang didambai,

Bakal menjelma nanti.


Peristiwa al-Quds menjadi ingatan,

Ummah menangisi kejadian,

Membawa kebangkitan kekuatan,

Palestin syahid menjadi idaman.


Al-Quds itu janji bersama,

Diikat kukuh dalam saudara,

Ukhwah itu indah bersama,

Moga kekal selama-lama.


-Yussamir Yusof-



Mujahid kecil yang besar imannya


Moga berita di atas yang direka oleh saya, menjadi kenyataan dan sajak di atas menjadi ingatan untuk kita bersama. Umat Islam yang beriman sentiasa memikirkan saudaranya, dan sentiasa berusaha untuk menolong saudaranya. Moga hadith di bawah ini menjadi ingatan dan muhasabah kepada kita semua.

“seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniya dan janganlah menghinanya. Taqwa tempatnya disini! Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali. Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama muslim, setiap muslim haram menumpahkan darah saudara sesama muslim. Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya”[1]


Indah sungguh jihadmu sang Mujahid


Beruntunglah para muhajid dan mujahidan Palestin, moga ucapan dari Sang Agung ini menjadi hiburan kepada mereka. “Hai kaumku, masuklah ke tanah suci (PALESTIN) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang(kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang rugi.” (al-Maidah ayat 21)

Moga peristiwa al-Quds pada setiap 21 Ogos menjadi peristiwa yang membawa makna dan ingatan kepada kita semua. Allah Akbar!





[1] HR Muslim

Baca Artikel Penuh>>

Sunday, August 17, 2008

Rakaman Forum Remaja Sudah boleh ditonton

Perhatian: Berita

Rakaman Forum remaja "ikhtilhat: Tabiat Tak-Pa, Mahasiswa Binasa" yang baru diadakan pada selasa lepas, sudah boleh ditonton di Youtube.

Kepada pelajar MMU yang berada di dalam MMU boleh download di Cyber tracker.

Baca Artikel Penuh>>

Saturday, August 16, 2008

Solat Sunat Gerhana Sunnah yang dilupakan




Oleh: Yussamir Yusof

Cyberjaya
16 Ogos 2008
www.yussamir.com




“Lihat!” Tunjuk Kassim kepada Razali ke arah langit. Kelihatan Gerhana Bulan di atas sana. Mereka berdua terkesima melihat kejadian tersebut.

“Mungkin sekarang ini ada orang yang meninggal atau ada kelahiran baru malam ini.” Razali bersuara, kepalanya masih mendongak ke arah langit.

Perbualan mereka malam itu didengari Salman yang sejak dari tadi memerhati gelagat dua orang sahabatnya itu. Salman menggelengkan kepala, seakan tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Razali tadi.

“Gerhana Bulan dan Matahari terjadi bukan disebabkan ada kematian atau kelahiran baru di dunia ini. Tetapi itu hanyalah sebuah tanda kekuasaan Allah yang diperlihatkan kepada hamba-hambanya.”


Mungkin dialog sebegini yang terjadi ketika hadith yang akan dinyatakan selepas ini dirakamkan. Peristiwa gerhana ini ada dirakamkan dalam sebuah hadith dari A’isyah dalam Sahih Bukhari, di mana ada segolongan manusia mengatakan bahawa kejadian gerhana ini disebabkan kematian Ibrahim Bin Muhammad s.a.w iaitu anak Rasulullah. Kemudian Rasulullah membantah kenyataan mereka.


“Dari hadits Abu Mas’ud Al Anshari berkata, “Terjadi gerhana matahari pada hari meninggalnya Ibrahim Bin Muhammad s.a.w, maka manusia mengatakan, "Terjadi gerhana matahari karana kematian Ibrahim". Maka Rasulullah Sholallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, "Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah, keduanya tidak disebabkan gerhana karana kematian atau kehidupan seseorang, jika kalian melihat yang demikian itu, maka bersegeralah untuk ingat kepada Allah dang mengerjakan Solat"[1]

Sebahagian ulama berpendapat bahawa gerhana yang berlaku semasa hadith ini dirakamkan adalah solat sunat gerhana pertama yang dilakukan oleh Rasulullah.



Bagaimana Gerhana boleh berlaku?


Gerhana berlaku kerana sifat pergerakan orbit bulan, bumi dan matahari yang memungkinkannya berlaku. Secara mudah, gerhana matahari terjadi kerana bulan melindungi cahaya matahari daripada sampai ke bumi. Gerhana bulan pula terjadi kerana bulan memasuki kawasan bayang-bayang bumi. Mengikut pergerakan dalam sistem bumi-bulan mengelilingi matahari, sebahagian daripada jasad bulan dan bumi yang disinari cahaya matahari akan mewujudkan zon bayangan masing-masing. Setiap kali berlaku oposisi (istiqbal) ketika bulan purnama, bulan akan berada pada arah yang sama dengan zon bayangan bumi.

Tetapi disebabkan satah bulan-bumi berbeza sebanyak lima darjah dengan satah ekliptik matahari, zon bayangan bumi ini tidak sentiasa bertepatan dengan kedudukan bulan. Sebaliknya bulan akan berada di sebelah atas atau bawah dari zon bayangan bumi. Apabila orbit bulan ketika oposisi berada hampir atau memasuki zon bayangan ini, gerhana bulan terjadi. Jenis gerhana bulan bergantung kepada kedudukan bulan berbanding kawasan bayangan bumi, sama ada daripada jenis gerhana bulan penuh, gerhana bulan separa atau gerhana warna saja.

Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia yang bertarikh 7 Ogos 2008, bahawa pada 17 Ogos 2008 bersamaan dengan hari Ahad ini, dikhabarkan bahawa akan berlaku gerhana bulan.


Di bawah ini petikan dari laman web kementerian tersebut:

KUALA LUMPUR, Aug 7 -- Astronomy enthusiasts in Malaysia will have the opportunity to witness a partial lunar eclipse on Aug 17. According to the National Space Agency (Angkasa) in a statement here, people in the peninsular could see the eclipse from 2.25am to 6.44am while those in Sabah and Sarawak from 2.25am to 5.10am.

The phenomenon could also be seen live at Angkasa's website, www.angkasa.gov.my/planetarium.

In conjunction with the eclipse, Angkasa would host a special programme at the National Planetarium from Aug 12 to 17.

Among the activities were a drawing contest, quiz and lecture.



Apakah pandangan Islam mengenai kejadian ini?

Islam melihat kejadian ini sebagai satu tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah yang diperlihatkan kepada manusia. Para ulama bersepakat bahawa disunatkan untuk mendirikan solat sunat yang dinamakan solat sunat Khusuf ataupun dengan nama lain solat sunat Gerhana.



Menurut Syeikh Muhammad bin Umar bin Salim Bazmul , Solat Gerhana Bulan merupakan sunnat mua'kkad. Disunatkan bagi orang muslim untuk mengerjakannya. Perkara ini disandarkan melalui sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam sahihnya yang bermaksud:

“Dari Aisyah dia bercerita bahwa pada zaman Rasulullah terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengerjakan solat bersama orang ramai. Maka baginda berdiri dan memanjangkan waktu berdiri, lalu beliau ruku’ dan memanjangkannya. Kemudian beliau berdiri dan memanjangkannya (berdiri yang kedua ini tidak selama berdiri pertama). Setelah itu, beliau ruku’ dan memanjangkan ruku’, ruku’nya pada kali ini lebih pendek dari ruku’ pertama. Seterusnya, baginda sujud dan memanjangkannya. Kemudian baginda mengerjakan pada rakaat kedua seperti apa yang baginda lakukan pada rakaat pertama. Setelah itu, baginda balik ketika matahari telah muncul. Lalu baginda memberikan khutbah kepada orang ramai. Baginda memanjatkan pujian dan sanjungan kepada Allah. Dan setelah itu, baginda bersabda:

"Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua (tanda) dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana karana kematian seseorang dan tidak juga karana kehidupan seseorang. Oleh karana itu, jika kalian melihat hal tersebut maka hendaklah kalian berdo'a kepada Allah, bertakbir, solat dan bersedekah". Setelah itu, beliau bersabda : "Wahai umat Muhammad, demi Allah, tidak ada seorang yang lebih cemburu dari Allah jika hambaNya, laki-laki atau perempuan berzina. Wahai umat Muhammad, seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, niscaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis"



Hikmah dan sebab Gerhana

Terdapat beberapa sebab dan hikmah mengapa Allah menciptakan kejadian ini. Antaranya yang dijelaskan oleh para Ulama ialah, Allah mahu menakut-nakutkan hambanya dan membuktikan bahawa Bulan dan Matahari tidak lebih dari kekuasaan-Nya. Abu Musa ada menyebut bahawa tanda-tanda ini ialah disebabkan Allah mahu menakutkan para hamba-Nya. Kata beliau, "Tanda-tanda yang Allah kirimkan ini bukanlah karena kematian atau kehidupan seseorang, tetapi Allah sedang manakut-nakutkan hamba-hamba-Nya dengannya, maka jika kalian melihat sesuatu yang demikian itu, bersegeralah untuk mengingat Allah, berdo’a dan meminta ampun kepada-Nya"[2].


Selain daripada menakutkan para hamba-Nya, menurut Imam Ibrahim al-Baijuri, antara hikmah berlakunya fenomena gerhana ialah sebagai peringatan kepada golongan penyembah matahari dan bulan bahawa kedua-dua matahari dan bulan adalah makhluk yang tunduk dan patuh pada kekuasaan Allah. Jika kedua-duanya adalah tuhan sebagaimana dakwaan mereka, nescaya akan menjaga dirinya daripada kekurangan, lalu mengapakah cahayanya boleh hilang seketika?



Tata-cara solat Sunat Gerhana:

1. Tidak ada Azan atau Iqomat.

Hujahnya: Para ulama telah bersepakat untuk tidak mengumandangkan azan dan iqomah bagi solat gerhana[3]. Apa yang disunnahkan[4] ialah dengan bersuara kuat menyeru dengan seruan " Ash-Shalaatu Jaami'ah". Yang menjadi dalil bagi hal tersebut adalah apa yang ditegaskan dari Abdullah bin Amr ,dia berkata : "Ketika terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullahs.a.w diserukan : Innash Shalaata Jaami'ah" Diriwayatkan oleh Asy-Syaikhani.[5]


2. Jumlah Rakaat adalah dua.

Solat sunat ini dilakukan sebanyak dua rakaat. Ada dua kali sujud dan dua kali ruku’ pada setiap rakaat. Jadinya ada empat sujud dan empat ruku’ bagi solat sunar gerhana dua rakaat ini.

Cara: Semasa rakaat pertama selepas selesai membaca surah al-fatihah dan apa-apa surah dari Quran berdiri lama kejap sebelum ruku, kemudian barulah ruku. Bacaan semasa ruku macam biasa, semasa ruku ini juga perlu ruku dengan lama. Kemudian berdiri semula, dan baca al-Fatihah lagi dan apa-apa surah dari Quran (yang sunnahnya jika pada berdiri pertama itu membaca surah yang panjang, dan berdiri yang kedua itu dibaca surah yang pendek sedikit dari yang pertama).Berdiri yang kedua ini tidak lama seperti berdirinya yang pertama, kemudian ruku, dan ruku ini juga tidak lama seperti lamanya ruku pertama tadi. Bacaan tetap seperti biasa yang dibaca semasa solat fardhu.

Kemudian sujud seperti biasa iaitu dua kali sujud, cumanya disunnahkan memanjangkan sujud pertama dari sujud kedua. Setelah sujud, kemudian naik seperti mana rakaat pertama. Dan ulang kembali sepertimana yang dilakukan semasa rakaat pertama. Sehingga selesai solat sunat Gerhana.


Dalilnya:

Hadith dari Ibnu Abbas, dia berkata:

"Pernah terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullah s.a.w. Maka baginda pun berdiri dengan waktu yang panjang sepanjang bacaan surah Al-Baqarah. Kemudian beliau ruku dengan ruku yang cukup panjang, lalu beliau bangkit dan berdiri dalam waktu yang lama juga (tetapi lebih pendek dari berdiri pertama). Kemudian beliau ruku dengan ruku yang lama (ruku yang lebih pendek dari ruku pertama).

Setelah itu, beliau sujud. Kemudian beliau berdiri dalam waktu yang lama (tetapi lebih pendek dari berdiri pertama). Seterusnya, beliau ruku dengan ruku yang lama ( ruku yang lebih pendek dari ruku pertama). Setelah itu, beliau sujud. Kemudian beliau berpusing, sedang matahari telah muncul. Maka beliau bersabda. "Artinya : Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana karena kematian seseorang dan tidak juga karena kehidupan seseorang. Oleh karena itu, jika kalian melihat hal tersebut, maka berdzikirlah kepada Allah"

Para sahabat bertanya : "Wahai Rasulullah, kami melihatmu mengambil sesuatu di tempat berdirimu, kemudian kami melihatmu mundur ke belakang". Beliau bersabda. "Artinya : Sesungguhnya aku melihat Syurga, maka aku berusaha mengambil setandan (buah-buahan). Seandainya aku berhasil meraihnya, niscaya kalian akan dapat memakannya selama dunia ini masih ada. Dan aku juga melihat Neraka, aku sama sekali tidak pernah melihat pemandangan yang lebih menyeramkan dari pemandangan hari ini. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita".

Para sahabat bertanya, "Karana apa, wahai Rasulullah?" Beliau menjawab, "Karena kekufuran mereka". Ada yang bertanya "Apakah mereka kufur kepada Allah?". Beliau menjawab. "Ertinya : Mereka kufur kepada keluarganya (suaminya), dan kufur terhadap kebaikan (tidak berterima kasih). Seandainya engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka sepanjang waktu, lalu dia melihat sesuatu (kesalahan) darimu, niscaya dia akan mengatakan : "Aku tidak pernah melihat kebaikan sedikitpun darimu"[6]


3. Mengeraskan suara semasa solat sunat Gerhana.

Dalilnya: Dari Aisyah ra: Nabi s.a.w menjaharkan(mengeraskan) bacaannya dalam solat Gerhana. Jika selesai dari bacaannya, beliau pun bertakbir dan ruku. Dan jika dia bangkit ruku, maka beliau berucap : "Sami Allaahu liman Hamidah. Rabbana lakal hamdu". Kemudian beliau kembali mengulang bacaan dalam solat gerhana. Empat ruku dalam dua rakaat dan empat sujud." [7]


4. Solat Sunat Gerhana ini dilakukan secara Jamaah di Masjid

Dalilnya: sebuah riwayat hadith dari Aisyah, dia berkata, "Pada masa hidup Rasulullah pernah terjadi gerhana matahari, lalu beliau pergi ke masjid, kemudian beliau berdiri dan bertakbir, dan
orang-orang pun membuat barisan di belakang beliau.[8]



Berita terkini: Saya dan beberapa rakan yang menunggu di Surau tidak dapat melihat gerhana bulan, dan kami membuat keputusan untuk tidak menunggu selepas tazkirah dan penerangan tentang Solat Sunat Gerhana disampaikan. Walaubagaimanapun, jam 5.50 pagi tadi sahabat saya di UIA sms, mengatakan mereka baharu sahaja selesai menunaikan solat Khusuf di Masjid UIA. Rezeki mereka kerana mereka bersama Syeikh yang mahir dalam menentukan dan memastikan gerhana berbanding kami di MMU. Khabarnya juga, mereka di sana diimamkan oleh Syeikh Ibrahim yang akan membaca penuh Surah al-Baqarah dan al-Imran dalam solat sunat tersebut.

Lagi terkini: Saya sempat solat Khusuf di masjid selepas solat subuh berjamaah tadi. Terima kasih Allah sebab memberi kesempatan untuk saya merasai solat sunat ini, yang jarang sekali dapat didirikan..




[1] Dikeluarkan oleh al-Bukhari ( Nombor 1041, 1057, 3204) dan Muslim (Nombor 911)

[2] Dikeluarkan oleh al-Bukhari (1059) [2/704] Al Kusuf 14; dan Muslim (912)

[3] Fathul Baari (II/533) dan Masuu'atul Ijmaa (I/696)

[4] Syarhul Umdah, karya Ibnu Daqiqil Ied (II/135-136). Dan juga kitab Fathul Baari (II/533).

[5] Hadits shahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, yang diantaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab An-Nidaa bish Shalaati Jaami'ah fil Kusuuf (hadits no. 1045). Dan lafazh di atas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Dzikrun Nidaa bi Shalaatil Kusuuf : Ash-Shalaatu Jaami'ah, (hadits no. 910). Lihat Jaami'ul Ushuul (VI/178)

[6] Hadits shahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, yang diantaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Shalaatil Kusuuf Jama'atan, (hadits no. 1052), dan lafazh di atas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Maa 'Aradha Alan Nabi صلی الله عليه وسلم fii Shalaatil Kusuuf min Amril Jannah wan Naar, (hadits no. 907). Dan lihat kitab. Jaami'ul Ushuul (VI/173).

[7] Hadits shahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di beberapa tempat, di antaranya di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Al-Jahr bil Qiraa'ah fil Kusuuf, (hadits no. 1065) dan lafazh diatas adalah miliknya. Dan juga diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitaabul Kusuuf, bab Shalaatul Kusuuf, (hadits no. 901). Lihat Jaami'ul Ushuul (VI/156). Takhrij hadits ini telah diberikan sebelumnya, tanpa memberi isyarat kepada riwayat ini.

[8] Al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya : Bab : Shalatul Kusuuf fil Masjid. Di dalamnya dsiebutkan hadits Aisyah رضي الله عنها di atas dengan riwayat yang didalamnya terdapat ucapannya : "Kemudian pada suatu pagi Rasulullah صلی الله عليه وسلم menaiki kendaraan, lalu terjadilah gerhana matahari. Kemudian beliau pulang kembali pada waktu Dhuha, maka beliau pun berjalan di antara rumah-rumah isteri beliau . (hadits no. 1056).

Baca Artikel Penuh>>