Monday, August 11, 2008

Dahulukan Quran dan Sunnah dalam Khilaf



Oleh: Yussamir Yusof
N.Sembilan
11.39 malam/ 8 Ogos 2008

(Versi tambahan maklumat dan rujukan)


Suatu ketika dahulu, saya ‘berbincang’ hebat dengan beberapa orang lepasan Universiti Islam di timur tengah berkenaan dengan kenajisan bulu kucing. Isu yang ditimbulkan ialah, sah atau tidak solat yang didirikan jika ada bulu-bulu kucing yang terlekat di pakaian orang yang bersolat. Saya bertekad dan bertegas, bahawa solat masih sah walaupun ada helaian-helaian bulu kucing masih melekat di pakaian orang yang bersolat. Namun pandangan saya yang berdasarkan hadith yang sahih dan pandangan para ulama di tolak mentah-mentah.


Apa yang menghairankan saya, mereka menolak hadith yang dibawa dengan membawa fatwa Imam Syafie. Hujah mereka mudah, Imam Syafie atau lebih mudah untuk difahami iaitu mazhab Syafie mengatakan bahawa apa-apa yang putus dari binatang maka najis. Maka dalam isu ini, bulu kucing yang terlekat tersebut adalah najis, dan solat orang tersebut adalah tidak sah. Saya memohon dalil dari mereka, namun tidak dapat didatangkan dengan jelas dan tepat.


Saya katakan bahawa saya menghormati al-Imam Syafie r.a, dan saya sendiri bermazhab Syafie. Tetapi apabila sesuatu perkara ada dalil yang jelas diputuskan, maka apa sahaja pandangan harus ditolak. Saya berpandangan, bahawa Imam Syafie terlepas pandang atau tidak sampai kepadanya hadith tersebut. Tetapi malangnya, mereka menuduh saya sebagai seorang yang menolak para ulama’ seperti Mujtahid mutlak al-Imam Syafie.



Wahai saudaraku, Saidina Abu Bakr as-Siddiq seorang sahabat, dan insan yang dijanjikan masuk ke syurga juga pernah ada hadith yang beliau tidak riwayatkan, inikan pula al-Imam Syafie yang telah jauh zamannya dari Rasulullah. Peristiwa ini dengan jelas dicatatkan dalam perbincangan para fuqaha’ berkenaan dengan ketidaktahuan Saidina Abu Bakr tentang pembahagian harta 1/6 harta pusaka untuk nenek. Sehinggalah seorang sahabat lagi menjelaskan kepada beliau tentang hal ini, iaitu Muhammad bin Maslamah yang tahu tentang pembahagian ini daripada hadith yang diriwayatkannya.

Ibnu Taimiyah mengulas peristiwa ini dengan memuatkannya didalam Raf’ul malag ana a’imatul a’lam, “Kalaulah orang yang sehebat Saidina Abu Bakr ada hadith yang terlepas daripadanya, tidak mustahillah bagi orang alim yang lain ada hadith yang mereka tidak tahu.”


Hal ini langsung tidak menjatuhkan darjat Imam Syafie sebagai ulama besar malahan, ia adalah satu kelangsungan beliau sebagai seorang insan yang serba kekurangan, tidak seperti Nabi yang maksum. Perkara ini terjadi disebabkan masih ada hadith-hadith belum dijumpai dan proses pencarian hadith masih lagi dilakukan oleh para ulama. Zaman itu dikenali dengan zaman pengembaraan mencari hadith. Ketika zaman Imam Syafie,dan Imam Abu Hanifah kitab-kitab hadith seperti Sahih Bukhari, Muslim dan kitab-kitab sunan masih belum wujud.


Atas dasar inilah, seorang ulama besar iaitu Muhammad Hassan as-Syaibani ketika melihat Muwatta’ Imam Malik, beliau berkata, “Jikalau sahabatku Abu Hanifah dan Muhammad bin Yusuf melihat kitab Muwatta’ tentu mereka berdua menarik pandangan mereka sepertimana aku tarik.”


Khilaf katanya

Selepas tidak dapat membawakan dalil yang jelas dari Quran ataupun hadith, mereka mengatakan bahawa perkara ini adalah khilaf. Kata mereka, sesuatu yang khilaf boleh diambil mana yang disukai atau diguna-pakai. Kalau begitu kata saya, daging anjing pun boleh dimakan? Kerana daging anjing ini juga khilaf, dalam mazhab Imam Malik, memakan daging anjing dibenarkan. Selepas ini jika ada orang memakan satay anjing ataupun burger anjing, maka kita tidak boleh melarang, kerana ini adalah khilaf. Adakah perkara ini boleh diterima? Hanya atas dasar khilaf?


Mendepani perkara ini, saya suka menukilkan kata-kata dari Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam Kaifa Nata’malu ma’ as-Sunnah Nabawiah. Kata beliau, “Memastikan kedudukan nas-nas hadith yang bertentangan(antara yang menyebabkan berlakunya khilaf) dengan nas yang lebih kuat daripadanya sama ada dengan nas al-Quran ataupun hadith-hadith lain. Caranya ialah, dengan mengemukan sebanyak mungkin dalil as-Sunnah atau mentsabitkan ia dengan lebih sahih atau lebih menepati al-Usul dan lebih sesuai dengan hikmah(tujuan) tasyri’ atau lebih menepati objektif syariat yang umum dan menyeluruh.”


Melalui kaedah yang dibawa oleh al-Imam Yusuf al-Qardhawi, dapatlah kita fahami bahawa apabila berlakunya khilaf kita perlu kembali kepada dalil yang jelas dan lebih mendekati kepada kebenaran. Lebih-lebih lagi isu bulu kucing ini, mengambil pandangan yang membenarkan dan mensahkan solat adalah sesuatu yang lebih dekat kepada kebenaran dan lebih jelas kerana disokong oleh sebuah hadith yang sahih.

Diriwayatkan dari Abu Qatadah, di mana RasuluLlah s.a.w bersabda, ” Kucing itu tidak najis, ia termasuk haiwan yang berkeliling dalam lingkunganmu.” (HR yang berlima. Kata Tirmudzi:hadith ini hasan lagi sahih. Juga dinyatakan sahih oleh al-Bukhari)


Masakan sesuatu binatang yang sentiasa berada disekeliling kita, kita dapat mengelak dari terkena dengan putusan-putusan bulunya. Dengan jelas hadith ini memberitahu bahawa kucing itu tidak najis. Bagi mengelakkan salah faham, perlu dijelaskan bahawa najis dan haram adalah dua perkara yang berbeza. Kucing tidak najis tetapi haram untuk dimakan.


Tambahan lagi, menurut Prof Dr Wahbah Zuhaily didalam kitabnya yang terkenal al-Fiqh al-Islami wa adillatuh beliau berkata, “bahawa terdapat pandangan yang menyebut bahawa jika bulu tersebut tidak lebih dari dua, maka ia dimaafkan. Namun demikian, jumhur ulama berpendapat bahawa bulu kucing tidak najis, malah jika ia jatuh kedalam air sekalipun, maka air tersebut masih boleh diminum, sebagaimana Rasulullah melakukan wudhuk pada takungan air yang telah diminum oleh kucing, dan A'isyah juga makan makanan yang telah diusik oleh kucing.Kesemua ini menjadi dalil kesucian kucing.

Ketidaknajisan bulu kucing disokong lagi dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Fatwa tersebut boleh dibaca di link ini: JAKIM

*cara untuk membaca fatwa tersebut:

1-tekan link tersebut.

2- masuk ke bahagian taharah.

3- tekan ctrl+f

4- isikan di ruangan find tersebut dengan 'bulu kucing'

5- anda akan dapat membaca fatwa tersebut.

6- selamat beramal..


Dahulukan Quran dan Sunnah


Direkodkan bahawa Nabi s.a.w berkata, “Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas daripadaku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku, dan Sunnah para Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah kamu dengannya dan gigitlah ianya dengan garham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap yang diada-adakan itu bida’ah dan setiap bida’ah itu sesat.” (HR Abu Daud, dan Tirmidzi mengatakannya hadith ini hassan sahih, Ibnu Majah, al-Darimi. Al-Hakim dalam al-Mustadraknya mengatakan hadith ini sahih)


Kita sama-sama mengetahui bahawa sesuatu perkara yang diputuskan dalam Islam haruslah diambil dari Quran dan Sunnah. Apa sahaja datangnya dari Quran dan Sunnah kita tidak boleh membantah mahupun menolak, kita hanya diajar untuk berkata “kami dengar dan kami taat.” Walaupun sesuatu pandangan itu datangnya dari Ulama besar atau dari kitab Muktabar, tetapi jika ada pandangan yang lebih kuat berdasarkan Quran dan Sunnah yang sahih, maka pandangan itulah yang harus diikuti.


Perkara ini juga diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 1, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Justeru itu, al-Imam Sayuti ada menyebut dalam kitabnya Miftah al-Jannah fi Ihtijaj bi al-Sunnah, “ketahuilah, semoga Allah merahmati kamu. Barangsiapa yang membantah hadith Nabi s.a.w, sama ada perkataan ataupun perbuatan baginda dengan syarat-syaratnya yang diketahui dalam ilmu Usul, sebagai hujah maka dia telah menjadi kafir. Dia terkeluar dari daerah Islam dan dihimpunkan bersama Yahudi dan Kristian atau bersama sesiapa yang Allah mahu daripada puak-puak kafir.”

WaAllahualam...

Baca Artikel Penuh>>

Wednesday, August 6, 2008

Standard-lah


Oleh:Yussamir Yusof
Negeri Sembilan
1.10 pagi



“Wah! Janji jam 4, tapi datang jam 3.30. Hebat.” Puji Rizal kepada Ijam sambil menunjukkan tanda bagas kepadanya. Ijam hanya tersengih, kemudian menyalami Rizal.

“Ala, standard-lah.” Ijam bersuara.

Biasa tak kita dengar dialog sebegini? Tak biasa?


Owh, yang biasa kita dengar ialah begini:

“Janji datang jam 4, tapi jam 5 baru kau muncul. Buang masa aku betullah kau ini!” Marah Rizal pada Ijam. Ijam hanya tersengih, kemudian menyalami Rizal.

“Ala, standard-lah.” Ijam bersuara.


Budaya standard-lah ini semakin lama semakin berleluasa di kalangan remaja kita. Budaya lewat tidak menepati masa merupakan gejala yang boleh mendatangkan impak negatif kepada produktiviti, selain memberi gambaran buruk kepada remaja.

Islam memandang berat isu masa ini, sehinggakan Allah meletakkan sebuah surah di dalam Quran dengan nama ‘Demi Masa’. Kata Allah, “Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.” (Al-Asr : 1-3)


Budaya standard-lah yang tidak menetapi masa, haruslah ditukar kepada budaya standard-lah yang menepati masa. Seharusnya definisi standard-lah yang kita gunakan dan fahami sekarang ini harus didefinisikan dengan definisi yang positif. Bila sahaja kita datang menepati masa, dan orang bertanya mengapa kita menepati masa. Maka jawapan yang harus keluar ialah, “standard-lah.”

Selain daripada itu, gelaja tidak menepati masa ini juga menggambarkan betapa kita tidak pandai menggunakan dan mengurus masa. Perkara ini berbeza dengan generasi para sahabat. Sejarah menceritakan bahawa mereka sangat menghargai masa, mereka tidak suka melewatkan masa, atau menangguhkan masa.


Keunggulan mereka menggunakan masa-masa mereka tergambar melalui ucapan ibnu mas’ud yang bermaksud, “Belum pernah saya menyesal, melainkan penyesalan saya di setiap hari apabila terbenamnya matahari. Semakin singkat umur saya ini, sedangkan saya takut jika amalam saya tidak bertambah”.

Setiap jam, setiap saat, dan setiap detik masa akan terus berlalu tanpa menoleh ke belakang. Sebagai remaja, menepati masa (menggunakan dan mengurus masa) adalah sesuatu yang dituntut agar menjadi insan yang cemerlang, sama ada di dunia dan di akhirat. Seorang penyair arab ada menyebutkan perihal masa melalui syairnya.

Kata beliau:

Kanak-kanak kian dewasa,

Orang tua akan ke pusara,

Pertukaran masa ke semasa,

Pagi bertukar malam dan seterusnya.

Malam mengensot tua,

Siang pula datang menjelma,

Setiap yang muda menjadi tua,

Akhirnya semua ke pusara juga.


Ingatlah masa akan terus berkisar. Malam silih berganti siang. Sepanjang masa dan waktu yang tersisa, seorang remaja Islam tidak harus membazir masa, tidak menepati masa, dan menangguhkan masa. Kerana setiap masa harus menjadi ibadah dan wadah untuk kita terus berfikir.

Kerana peredaran masa yang kita lalui ini ialah bahan kajian yang telah Allah sediakan. Hanya mereka yang berfikir akan merasainya.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang adalah merupakan bahan-bahan kajian bagi orang-orang yang berfikir.”

(surah al-Imran:190)

Baca Artikel Penuh>>

Friday, August 1, 2008

Tiga dalam satu


Oleh: Yussamir Yusof

Cyberjaya
31 Julai 2008
www.yussamir.com
http://tetasan.blogspot.com


Cerita 1: Yang lama itu terbaik


Yang lama itu antik, yang antik itu bernilai. Tidak ramai menghargai sesuatu yang lama, kerana menganggap yang lama itu sudah tidak berguna. Tetapi bagi mereka yang sedar dan perihatin mereka akan menghargai yang lama, kerana yang baru itu datangnya dari yang lama. Saya mula menyedari tetang hal ini apabila melihat keasyikan ayah saya dan Along saya mengumpul barang-barang lama. Televisyen lama, telefon lama, jam lama, meja kopi lama dan semuanya lama, menjadi barangan buruan Ayah dan Along saya. Kalau dirumah itu, sebut sahaja barangan antik yang anda mahu lihat pasti akan ada.

Di bilik saya terdapat satu radio lama yang boleh memainkan piring hitam. Pada mulanya alat itu diletakkan, saya langsung tidak teruja untuk menggunakkannya. Tetapi setelah 5 bulan, saya teringin untuk mendengarnya. Saya memilih piring hitam nyanyian M.Daud Kilau yang tertera harganya bernilai $ 5.00. Setelah mencuba beberapa kali untuk memainkannya, akhirnya saya berjaya.

Terkejut, teruja dan terkesima! Lagu yang dinyanyikan M.Daud Kilau itu masih kedengaran dan jelas. Tidak ada sebarang kerosakkan dan bunyinya TIP-TOP! Setiap piring hitam hanya boleh memuatkan 10 buah lagu. Tidak kedengaran seperti lagu yang dirakam sebelum saya lahir lagi. Cukup hebat, dan mengasyikan. Walaupun besar dan tebal, tapi bagi saya yang lama tetap hebat dan mantap.

Jadi, yang lama itulah yang bernilai, ada yang lama adalah yang baru.


Cerita 2 : Puji-pujian

sekadar gambar hiasan


Pujian adalah motivasi. Bukan hanya ia sekadar pujian, tetapi ia adalah sebuah cara untuk membuatkan seseorang itu lebih yakin dan fokus dalam segala pekerjaan yang dilakukan. Salah satu kaedah seseorang pengurus untuk menaikkan motivasi para pekerjanya, adalah dengan pujian. Didalam subjek Human Resource, pujian melambangkan level atau tahap kerja seseorang pekerja. Malahan, tidak dinafikan bahawa pujian memainkan peranan yang cukup besar dalam kehidupan yang serba persaingan di kalangan para pekerja. Tidak kiralah, sama ada seorang pekerja itu berpangkat besar atau kecil. Selagi ia bernama pujian, maka itu adalah sesuatu yang amat penting bagi mereka.

Namun, bentuk pujian bagaimanakah yang dibenarkan dalam Islam? Melihat daripada situasi dan keadaan sekarang, di mana pujian menjadi sumber inspiraasi manusia. Pujian tidak akan terlepas untuk di berikan kepada manusia, sebagai bentuk penghargaan kepada usaha-usaha yang telah dilaksanakan. Banyak pandangan dan ulasan telah diberikan oleh para sarjana Islam tentang perkara ini. Pandangan-pandangan ini, telah diterima dan diperbincangkan sehingga kini. Penulis melihat, perbincangan ini adalah sesuatu yang besar dan seharusnya dipandang berat oleh semua umat Islam. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang sentiasa bergelumang dengan pelbagai bentuk pujian.

Dalam isu ini, pernah terjadi sebuah peristiwa tentang bagaimana Rasulullah memarahi mereka yang memuji rakannya. Peristiwa ini dirakamkan dalam sebuah hadith sahih, yang diriwayatkan oleh Abu Bakr, dia berkata :Seorang lelaki memuji orang lain di hadapan Nabi صلی الله عليه وسلم maka baginda Rasullullah bersabda: Celaka kamu! Kamu telah memenggal leher temanmu, kamu telah memenggal leher temanmu! Baginda mengucapkannya berulang kali. Apabila seorang di antara kamu terpaksa harus memuji temannya, hendaklah dia berkata: Aku mengetahui kebaikan si Fulan namun Allah lebih mengetahui keadaannya, dan aku tidak memberikan kesaksian kepada siapa pun yang aku ketahui di hadapan Allah karena Allah lebih mengetahui keadaannya yang sebenarnya.

Para ulama telah menjelaskan hal ini dengan sebuah fatwa yang cukup jelas, antaranya fatwa dari Syaikh Ibnu Utsaimin[1].

Kata beliau, “Pujian terhadap diri sendiri, dengan memaksudkan untuk menyebutkan nikmat Allah سبحانه و تعالى atau agar kawan-kawannya mengikuti apa kebaikan yang dibuatnya, maka hal ini tidak menjadi masalah. Namun, jika orang ini bermaksud (dengan pujiannya) untuk mensucikan dirinya dan menunjukkan amal ibadahnya kepada Rabbnya (berbangga di hadapan Allah), maka perbuatan ini termasuk minnah, hukumnya tidak boleh (haram). Firman Allah "Mereka telah merasa memberi nikmat kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah, 'Janganlah kamu merasa telah memberi nikmat kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah, Dialah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar. “[2]



Cerita 3: Cerita tentang Nisfu Syaban


Saya berasa hairan dengan tindakan beberapa golongan yang mendakwa sebagai golongan agama yang mempromosi menghidupkan malam nissfu Syaban. Memang tidak syak, Syaban adalah bulan mulia dan Rasulullah sering berpuasa pada bulan tersebut. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Saiditina Aisyah dalam sebuah hadith katanya, “Rasulullah s.a.w. tidak pernah puasa mana-mana bulan lebih banyak daripada berpuasa pada bulan Sya’ban dan baginda berpuasa keseluruhannya atau kebanyakannya.”[3] Ketika menghuraikan hadith ini, Imam al-Nawawi berkata: Dalam hadith-hadith ini, disunnahkan supaya tidak ada satupun bulan yang tidak ada puasa padanya dan dalam hadis ini juga menyatakan puasa sunat itu tidak khusus dengan masa tertentu bahkan sepanjang tahun itu boleh berpuasa padanya kecuali bulan Ramadhan (kerana sudah wajib), hari raya dan hari-hari tasyriq.

Namun untuk menetapkan atau mengkhususkan hari-hari tertentu dan masa-masa tertentu, maka itu bukanlah satu sunnah. Sepertimana berlaku sekarang di mana ada golongan-golongan tertentu menetapkan satu hari Syaban dengan menamakannya Nisfu Syaban, dan didalamnya dilakukan pelbagai perkara bidah yang tidak pernah dilakukan atau disyariatkan oleh Rasulullah sendiri. Perkara ini disentuh dengan sangat jelas oleh Al-Imam Yusuf Al-Qardhawi dalam sebuah fatwanya.

Kata beliau, "Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi' tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya. Perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka."[4]


Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadith-hadith yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadith atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al- Suyuti: "Dan pada malam Nisfu Syaban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah" [5]





[1] Rujukan: Majmu’ Fatawa wa Rasa'il Syaikh Ibnu Utsaimin, jilid III hal 96-97. Disalin dari buku Fatwa-Fatwa Terkini Jilid 3, penerbit Darul Haq.

[2] Al-Hujurat :17

[3] HR Nasai’e

[4] Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut

[5] Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba' wa al-nahyu an al-ibtida' (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61

Baca Artikel Penuh>>

Monday, July 28, 2008

Sebuah Kejayaan






Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya


Alhamdulilah, pasukan MMU berjaya menggondol 3 pingat perak dan satu pingat gangsa bagi 4 kategori yang berbeza dalam Pertandingan Wajadiri Nasional Peringkat PL, IPT & Sekolah (WAJADIRI 2008) bertempat di UTM Skudai, Johor.

Saya sendiri berjaya membuat pencapaian peribadi dengan memenangi pingat perak dalam kategori Menangkis Serangan Tongkat. Bagi kejayaan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada Guru Utama, Tuan Guru Haji Md Radzi bin Hj Hanafi, Pasangan bersilat saya iaitu Ezwan, kepada penyelia, para jurulatih, para Alumni dan rakan-rakan persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi MMU Cyberjaya.

Kemenangan ini akan memangkin usaha dan semangat saya dan rakan untuk memenangi pingat emas pada kejohanan yang akan datang di Sarawak, insya Allah. Moga kejayaan ini mengiringi kejayaan yang akan datang dalam akademik dan kehidupan saya. Walaupun saya tidak dapat mencapai 2 daripada 3 cita-cita saya pada bulan ini, namun kejayaan ini sedikit sebanyak mengubatinya. Hidup Cekak Ustaz Hanafi!



Di bawah ini antara gambar yang sempat di rakam oleh Saudara Kassim semasa saya bersilat.

berdiri tegak adalah asas utama Silat Cekak,tanpa rasa takut.





dua tongkat pun selamba je tangkis..huhuhu



buah terlak antara buah kesukaan saya

sakit tu kena tendang..huhuhu..

duduk pun boleh bertahan..


Baca Artikel Penuh>>

Wednesday, July 23, 2008

Pencak Silat


Emas dalam genggaman

Oleh Yussamir Yusof


Saya akan ke Skudai pada hari Jumaat hingga Ahad ini, sempena Wajadiri yang akan diadakan di Universiti Teknologi Malaysia. Wajadiri (Pertandingan Pencak Silat) adalah sebuah platform kepada semua pesilat-pesilat dari Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi untuk bertanding sesama sendiri. Namun bagi saya objektif utama Wajadiri ini ialah, mengeratkan hubungan sesama ahli di seluruh Malaysia. Untuk tahun ini, saya mewakili MMU dalam kategori Sepasang Tongkat.

Bagi memberikan sedikit gambaran tentang keunikan dan kehebatan Seni Silat ini, maka saya mempersembahkan sebuah video dari Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi!



Baca Artikel Penuh>>

Monday, July 21, 2008

Maafkan saya



21 Julai 2008

Menulis setelah merancang untuk pilihanraya yang akan datang.
Doakan saya berjaya.




Saya sentiasa berdoa agar tidak tertimpa fitnah dunia kepada diri saya. Saya juga berdoa agar kesibukan saya tidak menjadi fitnah terhadap pembelajaran saya. Saya turut berdoa agar usaha yang tidak seberapa ini tidak menjadi fitnah juga kepada rakan-rakan saya yang terasa hati disebabkan saya tidak melayan YM,msg atau call.

Saya sangat-sangat berharap kesibukan saya dalam menjalani kehidupan yang lebih bermakna ini, tidak tergelincir dari jalan yang benar. Saya benar-benar takut dengan hati-hati orang yang saya sayang terasa dengan kesibukan ini. Janji yang diukir iaitu di malam Isnin, rabu dan jumaat terasa dimungkiri dengan sebegitu sahaja, walau hati kuat untuk memerhatikannya. Saya memohon maaf di atas ketidakpedulian ini, kerana saya masih mencari jalan untuk memperdulikan orang. Orang yang saya sayang, yang banyak memberi kekuatan kepada saya agar lebih realistik dengan dunia, yang sentiasa menjadikan saya tidak idealisme terlalu lama dan menyedarkan saya bahawa kehidupan kampus amat berbeza dengan kehidupan di luar kampus, sentiasa dihati dan kepala saya. Masakan saya mahu melupakan setelah apa yang saya lalui. Kehidupan saya lebih bermakna, kerana saya mencari untuk memberi. Boleh sahaja meminta kemudian memberi, tetapi itukah kehidupan yang akan saya rasai dan alami selama-lamanya. Biarlah kita merasa di atas usaha kita, kerana erti hidup ialah dengan memberi.

Jika tambak memisahkannya, jika umur memisahkannya, jika kehidupan berbeza kerana berada di dimensi kampus dan luar kampus memisahkannya, maka itulah menjadi motivasi dan semangat saya untuk lebih memberi dengan kehidupan lebih bermakna. Saya rela menunggu walau lama membisu, kerana membisu tidak bermakna kita menolak. Kerana orang-orang lama mengatakan diam itu tandanya setuju. Ya saya optimis walau orang kata mustahil. Semakin mustahil semakin bertambah keinginan saya untuk membuktikan bahawa ada didunia ini boleh diubah dengan usaha. Jika tidak Allah tidak menyatakan dengan tegas ayat ini, “sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hingga kaum itu merubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Saya yakin, anda bagaimana? Saya sentiasa mengingati anda, walau hati saya sentiasa resah dan runsing memikirkannya. Kepada yang terasa hati dengan saya, mohon maaf saya ucapkan.



ps: artikel yang saya katakan mahu tulis itu akan dipost setelah saya selesai dengan segala tugasan yang harus diselesaikan. Maafkan saya sekali lagi.

Baca Artikel Penuh>>

Sunday, July 20, 2008

Owh Durian


Interfaith Talk dan Durian

Interfaith Talk di KL, dan makan durian di dusun keluarga di Negeri Sembilan benar-benar memberi kepuasan. Saya pengemar durian, saya boleh makan 3 biji (bukan ulas) secara solo tanpa bergantian sampai habis. Saya juga memerlukan segelas air sejuk sahaja untuk memudahkan isi durian itu lancar masuk ke dalam perut. Mahu makan durian? Kalau kenalan saya, saya boleh bawa ke dusun keluarga saya. Makan sampai kembung ok! Hehehehe...

Saya ada cerita, tetapi nanti saya ceritakan. Mahu buat report dahulu, jumpa di lain artikel. Zaman dah berubah, dunia dah maju katanya!


Baca Artikel Penuh>>

Thursday, July 17, 2008

Minda Kritikal



oleh:Yussamir Yusof

www.yussamir.com
cyberjaya
18 Julai 2008



Membedah pemikiran Kassim Ahmad ataupun orang-orang yang semacam beliau adalah suatu keseronokan. Keseronakan bagi saya dalam mennyelami idea-idea dan gagasan pemikiran yang sama sekali berbeza dan kontradik dengan pemikiran semasa. Saya bukanlah seorang Sosialis pekat, ataupun pembawa ideologi Liberalis, tetapi seorang pengemar kepada kepelbagaian dan pemikiran kritikal orang-orang seperti Kassim Ahmad, Rashad Khalifah dan lain-lain.

Membaca karya terbaru Kassim Ahmad 'mencari jalan pulang' memberi saya sebuah gambaran bahawa perjalanan sebagai seorang insan sebenarnya bertahap. Tahap-tahap itu yang akan membawa manusia lebih mengenali diri sendiri dan sekaligus penciptanya. Didalam Knowledge Economy, pengetahuan terdiri daripada 2 komponen. Pertamanya Facit Knowledge iaitu, pengetahuan yang diperolehi melalui pengalaman. Keduanya Explicit knowledge, iaitu pengetahuan yang diperolehi melalui pembelajaran secara formal atau tidak formal. Jadinya, dalam kedua-dua pengetahuan ini, Kassim Ahmad dan orang-orang semacam beliau lebih terdedah kepada keintelektuan semulajadi yang dikembangluas melalui pengalaman yang mereka tempuhi. Pengalaman sebagai seorang pemimpin Mahasiswa, parti politik, debat, perbincangan serius di luar negara, perjumpaan bersama ahli-ahli akademik, asuhan ideologi-ideologi yang kontradik dari ideologi semasa, dan keghairahan dalam mencari jalan benar dalam kesamaran siang adalah faktor mereka menjadi seorang intelek. Pasti ada yang melihat saya seakan-akan menyokong gagasan pemikiran mereka ini. Tetapi percayalah, bahawa adanya orang-orang seperti mereka kita akan lebih menghargai ilmu pengetahuan. Apa yang membuat saya tertarik dalam buku terbaru beliau ini ialah, beliau acap kali menyatakan bahawa kita terlalu mendewakan ulama Muktabar, kitab muktabar dan segalanya muktabar. Sehinggakan sesuatu perkataan yang dikeluarkan oleh Imam-imam besar kita mengganggapnya lebih dari Quran!


Kassim Ahmad menolak Hadith.” Perkataan ini serasa saya pasti akan ditimbulkan oleh orang yang mengenali atau sudah lama mengikuti perkembangan beliau. Saya tidak boleh komen panjang lebar dalam hal ini, tetapi melalui pemahaman saya beliau adalah seorang yang kritikal. Beliau tidak boleh menerima sesuatu tanpa ada bukti dan penjelasan yang kukuh. Menyentuh mengenai keraguan ataupun penolakan beliau terhadap penyataan bahawa hadith yang dikumpulkan oleh Imam Bukhari dan Muslim sebagai sahih semuanya, adalah sebuah penyataan biasa. Kerana, ada sahaja ulama dari zaman muhadthin mutaqadimin sehingga sekarang sudah ada yang menyatakan bahawa dalam sahihain ini ada yang tidak sahih. Misalnya Imam Besar dan juga ketua ulama sedunia, al-Imam Yusuf al-Qardhawi. Beliau juga ada menolak ataupun tidak bersetuju dalam beberapa hadith yang terkandung dalam Sahihain. Namun itu tidak bermakna beliau adalah seorang anti hadith!


Pasti ada cacat cela dalam penulisan saya kali ini, tapi apa yang jelas pembacaan buku-buku yang dikarang oleh orang-orang semacam Kassim Ahmad membuka minda dan menjadikan pemikiran saya lebih kritikal. Yang jelas, saya seorang pemilkir yang sentiasa memvariasikan pemikiran saya berlandaskan pegangan kuat terhadap “Quran dan Sunnah”. Jadi tak timbul soal sesat atau tidak dalam menyelusuri pemikiran-pemikiran orang-orang semacam ini! Kepada Syiah, saya juga menyelusuri akidah anda, tetapi jelas apa yang dibawa tidak menguntungkan pemikiran saya malahan menyusutkan kepala saya!


Baca Artikel Penuh>>

Monday, July 14, 2008

Kita yang memilihnya



Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
15 Julai 2008/2:30 pagi
www.yussamir.com
http://tetasan.blogspot.com



Semua orang pasti merasai erti kehidupan, tetapi erti itu didapati dengan pelbagai makna. Erti kehidupan itu lebih bermakna apabila kita merasa pelbagai recam dan zaman yang berbeza-beza. Menjadi seorang insan yang luar biasa, harus merasai dan mengerti kehidupan dari pelbagai dimensi. Merasai dua zaman yang berbeza iaitu zaman sebelum Islam dan zaman selepas Islam, adalah suatu erti kehidupan yang sangat bernilai. Beruntunglah mereka yang merasai kehidupan itu. Tidak hairanlah apabila Rasulullah berkata, “Sebaik-baik umatku adalah yang hidup pada kurun sahabatku, kemudian setelah kurun mereka (tabiin), kemudian setelah kurun mereka (tabiit tabiin)”[1]

Erti kehidupan itu sudah lama dirasai oleh Rasulullah dan para sahabatnya, erti itu hanya mereka yang rasa. Bagi kita yang sudah jauh dari erti kehidupan itu, sudah pasti mempunyai dan mengalami erti kehidupan yang berbeza dan pasti memberi impak yang besar dalam kehidupan kita. Mengulas erti kehidupan ini tercetus apabila saya membaca dan menonton sendiri dokumentari “Cat steven become Yusuf Islam”.

Saya sebenarnya tidak terkejut dengan kembalinya Yusuf Islam kepada Islam, tetapi saya teruja melihat bagaimana dia memaknakan erti kehidupannya. Ramai kawan-kawan yang saya kenal termasuk diri saya sendiri, turut merasai erti kehidupan dengan cara berhijrah dari satu zaman kegelapan kepada zaman yang sentiasa disinari mentari keimanan. Zaman kegelapan itu kalau dilihat dari zahir ayatnya semacam suatu zaman yang benar-benar gelap. Tetapi bila ditinjau dari satu sudut yang lain, zaman itu adalah zaman muhasabah. Zaman peralihan dari satu dimensi ke satu dimensi yang lain. Sama ada beralih ke dimensi yang lebih teruk atau dimensi yang dikelilingi kebaikan dan keharmonian. Di sinilah, seorang insan itu harus memilih dan membuat keputusan untuk dirinya. Hanya ada dua, iaitu terus berada dalam kegelapan, atau berjalan menuju cahaya yang akan membawanya kejalan kebenaran.

Ramai rakan-rakan saya melihat penghirahan saya sebagai suatu yang sia-sia pada mulanya. Sia-sia kerana penghirahan saya tidak memperlihatkan apa kebaikan dan manfaat pada diri saya atau orang lain. Namun hati kuat mengatakan bahawa, saya perlu bertahap-tahap dalam proses penghijrahan. Kesukaran saya untuk berhijrah secara keseluruhan dalam proses ini, berlaku disebabkan keadaan persekitaran saya yang sukar untuk saya benar-benar konsisten. Walaupun berada di sekolah Agama[2], namun sebuah sekolah swasta yang boleh sesiapa sahaja memasukinya benar-benar mencabar penghijrahan saya. Pelbagai budaya kuning terus merebak menjadi virus di sekolah itu. Tidak dinafikan ada juga pelajar yang benar-benar mahu menuntut ilmu, tetapi dengan kapasiti pelajarnya yang ‘terbuang’ dan mempunyai wang menjadikan sekolah itu sebagai tempat lambakan virus untuk disebarkan. Syukur, kerana sekolah itu mempunyai guru-guru yang hebat dan mempunyai jati diri seorang guru yang berdidikasi dan benar-benar untuk mendidik. Terima kasih Tuhan kerana menemukan saya dengan Ustaz Hatta, seorang guru Tahfiz yang mengajar saya menjadi budak nakal yang baik. Itu cerita di sekolah.


di Masjid Qiblatain


Semasa proses penghijrahan itu berlaku, beberapa sahabat saya juga menunjukkan kecenderungan yang sama (alhamdulilah semuanya kini berada di menara gading). Proses itu tidak terhenti di situ sahaja, selepas keluar dari sekola swasta tersebut, saya terus menyambung pengajian di SMKA Pedas. Yang benar, perwatakan dan penampilan saya secara total berubah. Kemasukan saya di sekolah baru ini, dilihat sebagai seorang pelajar nerd dari sebuah sekolah arab yang kononnya melahirkan insan-insan rabbani. Proses itu berterusan sehinggalah saya pulang dari Makkah menunaikan fardhu haji. Pertemuan saya dengan Syeikh Al-mandili guru agama di Masjidil Haram benar-benar memberi satu impak yang besar dalam proses penghijrahan saya. Berbekalkan kemahiran berbahasa arab (ketika itu saya tidak tahu yang Syeikh Al-Mandili boleh berbahasa Melayu) saya banyak bersoal jawab dengan beliau. Saya diasuh supaya melihat Islam ini sebuah agama yang mudah dan benar-benar bersih dari perkara-perkara yang mengarut. Dari situ, proses penghijrahan saya semakin lancar dan semacam mendapat pertolongan yang besar dari Allah.

Peristiwa-peristiwa saya berjumpa dengan Mufti Turki, mengajar lelaki tua Iraq membaca Quran, dan pelbagai peristiwa memberi satu suntikan bahawa penghirahan saya ini benar-benar perlu! Pulang saya ke Malaysia, saya mula fokus kembali dengan ilmu-ilmu yang pernah saya pungut, saya mengulangkaji kembali ilmu-ilmu hadith, feqh, sirah, Nahu, Saraf dan lain-lain. Yang dahulunya saya hanya menghafal dan semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan.

Proses penghijrahan ini berterusan sehinggalah saya bertemu dengan rakan-rakan di MMU. Seorang sahabat, abang dan juga bekas rakan bilik saya, turut berkongsi pengalaman penghijrahan dari satu zaman ke satu zaman yang lain. Prosesnya sama, walaupun jalan ceritanya berlainan. Melalui beliau saya mula mengenali Syeikh Nasiruddin al-Albani, Syeikh Syuaib al-Arnouth, Syeikh Muhammad Salleh Ustaimin, Brother Shahkirit, Brother Lim, Syeikh Maulana Asri dan lain-lain. Minat membaca yang sama, minat mengkaji yang sama, dan minat menulis yang sama membawa kami kedalam zaman pembaikan dan penambahbaikkan. Berada di zaman penambahbaikan (islah) memberi saya cabaran yang lain. Di zaman ini, saya harus pula memberi dan sentiasa memberi, terutama mereka yang saya lihat kecenderung ke arah kebaikan.

*bersama abang yang dikatakan itu. Ketika baru masuk di MMU


Untuk apa saya menulis semua ini? Saya menulis semua ini kerana mahu menunjukkan bahawa KITALAH YANG AKAN MENENTUKAN JALAN HIDUP KITA. Benarlah kata Allah, “sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hingga kaum itu merubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri.”[3]

Dua orang Sarjana Islam telah menafsirkan ayat ini, iaitu Dr. M. Taqiud-Din & Dr. M. Khan dan Syeikh Yusuf Ali. Menurut Dr. M. Taqiud-Din, ayat ini menjelaskan bahawa “Allah will never change a grace which He has bestowed on a people until they change what is in their ownselves. And verily, Allah is All-Hearer, All-Knower. Manakala menurut Syeikh Yusuf Ali, “ Allah will never change the grace which He hath bestowed on a people until they change what is in their (own) souls: and verily Allah is He Who heareth and knoweth (all things)." Kedua-dua penjelasan dari dua orang tokoh ini sama, iaitu Insan berhak atau menjadi asbab menentukan jalan kehidupannya. Jadinya, sama ada kita mahu menjadi baik atau jahat kita yang akan menentukannya. Bukan Allah, bukan warisan, bukan juga keturunan. Tetapi diri kita sendiri!




Disclaimer: Penulisan ini sama sekali tidak menolak tentang konsep hidayah dan lain-lain. Tetapi sekadar memberitahu bahawa manusia ini bukan robot yang diciptakan oleh Allah. Manusia juga diberi hak untuk memilih jalan kehidupannya. Sekian..






[1] HR Muslim

[2] Al-madrasah al-arabiah Islamiah An-nur

[3] Surah al-Anfal ayat 53.

Baca Artikel Penuh>>