Catatan mencari ‘Cinta Fansuri’ dan ‘Aku Terima Nikahnya’
Oleh: Yussamir yusof
Cyberjaya
12 April 2008
12.44 malam
“Kau nak pergi PWTC ke yus?” Mak cik Limah menegur saya yang dari tadi memerhati dari celah jendela.
“Mak cik Musalmah lebar kau dah pergi pagi-pagi lagi. Kata dia nak jenguk jiran kesayangan dia, ala si Faisal Tehrani tu..”
“Kenapa terhendap-hendap dekat jendela itu? Saya ingatkan siapalah tadi,suara saja yang ada,orangnya tidak kelihatan. Nak pesan apa-apa tak Mak cik Limah? Atau kejap lagi Abang Murad nak bawa Mak cik Limah sekeluarga ke sana?” Saya cuba berbasa-basi di pagi hari. Tak pernah-pernah dia main sorok-sorok dengan saya. Selalunya main terkam sahaja, saya di bilik air pun nak bersembang. Tak fokus dibuatnya.
Pagi tadi telinga hingar-bingar bicara orang luar sana tentang Kursus Jenazah. Dipanggil juga untuk kesana,tapi biasalah bujang senang yang dihambat lewatnya tidur dan dibawa ke subuh dini. Memang susah nak aktif pagi-pagi, mahu tidak mahu selepas subuh pasti berdengkur lagi. Itu untung-untung bangun, kalau dibuatnya ‘membuta’ sehingga ke tengahari,memang naya.
PWTC sesak dengan manusia, manusia yang sedar tentang peri pentingnya akan budaya membaca. Tetapi bagi saya dengan rakan yang sejak dari mula ditimpa musibah kecil hingga sampai ke PWTC sedikit bengang dengan situasi itu. Keras! Sukar untuk ke sana-sini,nak berlama-lama di satu-satu tapak juga sesak nafas dibuatnya.
“Yus!” Tergedek-gedek Mak cik Limah berjalan laju menghampiri saya. Senyum lebar nampak, mesti ada sesuatu yang gembira dia nak gosipkan dengan saya.
“Assalamualaikom,bukan main terjah je Mak cik Limah.” Saja mengusik.
“Ala kau ini yus,nak main perli-perli pulak.Ni ha,aku dapat tandatangan A.Samad Said dengan Faisal Tehrani.” Mak cik Limah menunjukkan buku Cinta Fansuri karya A.Samad Said dengan buku Karbala hasil kerja tangan Syiah Faizal Musa.
“Buku Novelis Syiah ini juga yang Mak cik Limah beli ye.” Saja saya provokasi Mak cik Limah.
“Engkau ini pun satu.Aku beli nak buat rujukan,kalau kita nak tumpaskan musuh kita kena tahu juga apa yang musuh kita rancangkan.Bukan nak main redah sahaja. Nanti hasil-hasil kita kaget.”
“Wah bukan main guna bahasa Novel. Baru baca buku Faizal Musa dah berbelit-belit sastera pula lidah itu Mak cik Limah?Hahaha...” Mak cik Limah mencebirkan bibirnya.
“Dah la,malas aku nak layan kau.Eh mana pula laki aku ini..” Mengelabah Mak cik Limah,Abang Murad tinggalkan dia.
Saya dan rakan terus berjalan-jalan, banyak buku-buku baru tahun ini diterbitkan. Terasa janggal pula tahun ini tak beli buku dengan lahap. Tahun ini nak beli pun terhendap-hendap wang yang tak seberapa dalam dompet ini. Tapi mahu tidak mahu,kena beli juga sebuah atau dua kiranya. Kalau tidak membazir masa sahaja datang tanpa bawa sesuatu dari Pesta Buku yang bukan selalu dapat dirasa. Selepas dapat tahu Ustaz Hasrizal berada di booth 5,galeri ilmu di tingkat bawah,saya dan rakan terus menonong ke sana. Alhamdulilah, sampai-sampai sahaja ustaz Hasrizal ada. Berbasa-basi sebentar,kalau diikutkan hati mahu sahaja di bantai berborak selama sejam,tapi tak molek pula. Ramai lagi nak beramah mesra dan manja dengan penulisnya, setelah membeli dan ditandatangani buku ‘Aku terima nikahnya’ saya dan rakan terus beredar.
Menuju ke bahagian dua di seberang sungai, hasil-hasil setiba di sana kami terus berada di tapak tempat Pak Samad dan anak didiknya Faisal Musa berhimpit tapa. Ah,Pak Samad sudah lama diidam bertemu sejak di bangku darjah lagi. Usai membeli senaskah kitab bernama ‘Cinta Fansuri’ yang sama dengan Mak cik Limah beli, saya terus menjujung bawa kepada Pak Samad. Mahu tandatangan gamaknya.
“Siapa nama?” Lembut tutur Pak Samad dengan gaya rambut dan janggutnya ala-ala Leonardo Davinci, mencoret sesuatu di Cinta Fansuri. Faisal di sebelah terjeling-jeling matanya. Mungkin terasa di sebelah Pak Samad ada aura pak wahab, yang sakit sahaja hatinya bila disebut nama orang tua itu. Saya tersenyum simpul padanya. Dia main mata pula,ah sudah!
Selepas bergambar sekeping dua dengan Pak Samad dan Faisal, saya beredar
dengan rakan. Gembira bukan kepalang dapat bertemu dengan penulis Lantai T.Pinkie,yang di pentaskan sebagai teater di Istana Budaya - Kontraversi katanya poster yang disebar-sebar itu.
“Lapar!” Jerit perut dari tadi. Selepas makan dan solat kami terus pulang menaiki LRT menuju Tasik Selatan. Sampai-sampai di MMU jam sudah menunjukkan 8.45 malam. Untung sudah solat di Putrajaya sentral.
“Mak cik Limah!” Saya jerit didepan pintu rumahnya.
“Apa?” Sahut Mak cik Limah,sambil tangannya memegang Cinta Fansuri. Tiba-tiba sahaja dia menyambung, “langit keruh,aku terpengaruh?”
“Saya beli jugalah, Langit keruh,aku terpengaruh.” Saya mengulang-ngulang ayat tersebut.Sambil berlalu meninggalkan Mak cik Limah yang tak habis menyebut-nyebut ‘Langit keruh,aku terpengaruh’.
‘Langit keruh,aku terpengaruh’...’langit keru,aku terpengaruh...’
“udah-udahlah tu Mak cik Limah.Memekak sahaja malam-malam ini, kami nak tidur ini.Tidak habis-habis mengulang ‘langit keruh,aku terpengaruh. Pak Samad pun tak macam begitu.” Bengang!


















