Tuesday, November 20, 2007

TIDAK BOLEH MAKMUM MENDAHULUI IMAM


TIDAK BOLEH MAKMUM MENDAHULUI IMAM
KETIKA SOLAT DENGAN SENGAJA

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
http://www.yussamir.com

Solat berjamaah adalah lebih utama berbanding solat bersendirian.Allah telah menjanjikan pahala bagi mereka yang solat secara berjamaah sebanyak 27 kali ganda daripada solat bersendirian.[1]

Namun begitu, ada satu perkara perlu kita perhatikan,iaitu jangan mendahului Imam ketika solat (yang dimaksudkan mendahului di sini ialah Makmum melakukan perbuatan mengangkat takbir,ruku’,sujud, salam dan lain dalam solat lebih awal daripada Imam) Perbuatan ini dilarang di dalam Islam dan mendapat ancaman keras dari Nabi Muhammad SAW.Sepertimana yang diperkatakan Nabi SAW yang bermaksud:

“Apakah orang yang mengangkat kepalanya sebelum Imam tidak berasa takut,bahawa Allah akan mengubah kepalanya menjadi Keldai?”[2]

Muhammad Soleh Al-Munajid berkata:Tidak benar perbuatan sebahagian orang yang mencampur adukan antara perbuatan mendahului dan melambatkan dari mengikuti Imam.Ketahuilah bahawa para Fuqaha telah menjelaskan bahawa perbuatan yang terbaik dalam hal ini ialah:Para makmum sewajarnya bergerak ketika Imam selesai bertakbir.Misalnya begini,apabila Imam mengucapkan ALLAHU AKBAR ,selesainya sahaja huruf ‘R’ disebut maka para makmum barulah boleh bergerak.Dengan syarat tidak boleh mendahului atau terlambat,dengan melakukan cara sedemikian barulah masalah ini dapat diselesaikan.[3]


Para sahabat Nabi sangat perihatin dan berhati-hati agar tidak mendahului Nabi ketika solat berjamaah.Salah seorang sahabat Nabi iaitu Baraa bin Azib menceritakan perihal keberhatian ini dengan berkata :

“Sesungguhnya mereka(para sahabat) solat di belakang Nabi,maka bila baginda selesai mengangkat kepalanya dari ruku’,saya tidak melihat seorang pun yang membungkukkan pungungnya sehingga Nabi meletakkan keningnya di tanah(tempat sujud),kemudian barulah sahabat di belakang baginda sujud”[4]

Dikhabarkan juga,ketika Nabi SAW telah tua dan pergerakkannya mula lambat,baginda menasihati dan mengingatkan orang-orang yang solat dibelakangnya dengan Sabda yang bermaksud:

“Hai Manusia(para sahabat),sesungguhnya aku sudah lanjut usia(tua),maka janganlah kamu sekalian mendahuluiku dalam ruku’ dan sujud”[5]


Kedua-dua hadis di atas yang menunjukkan larangan mendahului Imam telah menjadi sumber Hukum bagi para Fuqaha untuk melarang para Makmum mendahului imam.Para Makmum wajib menekankan tata-tertib ini dalam solat,agar solat kita sempurna dan dterima oleh Allah Ta’ala.

Sebenarnya perbuatan ini berlaku di sebabkan sikap Makmum yang tergesa-gesa dan tidak tenang. Sepatutnya,apabila seseorang menuju tempat solat haruslah tenang dan tidak tergesa-gesa.Bertenang-tenang itu dari Allah dan tergesa-gesa itu dari Syaitan. Hal ini bertepatan dengan Sabda Nabi yang bermaksud:

Tenang dan berhati-hati adalah (nikmat) dari Allah,dan tergesa-gesa adalah dari Syaitan”[6]


InsyAllah,dengan adanya sikap tenang dan tidak tergesa-gesa, solat kita akan lebih sempurna dan lebih bermakna.Akhir kata,penulis berharap selepas ini kita lebih peka dan tertib dalam melakukan solat secara berjamaah.

WaAllahualam….


[1] .(Maksud hadith dari Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma, riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan).

[2] HR Muslim

[3] (Muhrimat Istihan Biha An-Nas Yajibu Hizru Minha-dengan sedikit suntingan bahasa,kerana komentar ini dijelaskan dalam bahasa arab)

[4] HR Muslim

[5] HR Al-Baihaqi.Dinilai Hassan dalam Irwa’ Al-Qhalil)

[6] HR Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra.Dinilai Sahih dalam As-Silsilah As-Sahihah

Baca Artikel Penuh>>

Monday, November 19, 2007

Selamat tinggal SAHABAT,moga kita bertemu di Syurga,InsyAllah.


Selamat tinggal SAHABAT,moga kita bertemu di Syurga,InsyAllah.

oleh:Yussamir yusof
cyberjaya
sebelum tidur 20/11/07


Kepada yang mengenali ##### bila m’baca sms ini dihrpkan byk2 b’sabar dan tng krn beliau telah pun meninggalkan kita pd 19 Nov 07 jam 6.30ptg…akbt dr pkara yg xdiingini blaku dihrpkn dpt memp’bnykkn doa kepdnya agar beliau dirahmati Allah atas pemergiannya sekali gus meninggalkn bumi tercnta,dari saat ini……

Begitulah bunyinya sms yang aku terima sebentar tadi.Benar-benar membuatkan aku terpana dan terkejut sekejap.Seperti kehilangan akal apabila mendapat berita ini dari sahabat aku.Sms ini mungkin dihantar oleh keluarga sahabat aku, aku benar-benar terkejut.Tidak mungkin hal ini boleh terjadi,dia sahabat aku!!!

Betul-betul menguji keimanan dan ketabahan aku.Rakan bilik aku hanya mampu memandang dan mengelengkan kepala apabila membaca sms yang tertera di hp aku.Air mata mula memenuhi ruang mata,menunggu untuk tumpah ke bumi.Aku benar-benar merasa kehilangan,kehilangan yang begitu bermakna.Selain dari keluargaku, kehilangan sahabat ini pasti amat memberi impak yang besar padaku.Aku redha ya Allah,aku redha..Semua ini ketentuan-Mu,tempatkanlah sahabatku itu dalam golongan yang Kau redhai dan kasihi..Amin..

Tiba-tiba aku terlihat sesuatu yang tidakku duga di hp ku.Terdapat baki sms yang belum ku baca.Aku scroll ke bawah lagi,dan sms ini tertera di hp ku :

Utk mnjd angkasawan ke-2 mwkli m’sia ke ISS slps Syeikh Muszafhar….TAHNIAH hehe….. :-p

YaAllah!!Aku tertipu!!!.....Kurang asam punya ##### mati-mati aku ingat betul-betul la...




Pasti ada yang gelak dan merasa geli hati dengan peristiwa yang terjadi pada saya sebentar tadi.Benar hal itu adalah rekaan semata-mata yang dilakukan oleh sahabat saya yang bernama #####,namun ada sesuatu yang saya mahu sampaikan di sini.

Saya mahu bertanya,adakah anda sudah bersedia untuk menghadapi situasi seperti di atas?Mungkin ada yang menjawab Ya dan ada yang mengatakan Tidak.Tetapi apa yang pasti,hal ini pasti terjadi pada kita suatu hari nanti.Sama ada keluarga atau sahabat baik kita,ia pasti akan terjadi.Janji Allah itu benar,dan Allah tidak akan sesekali lupa dengan apa yang Dia telah janjikan.Bahawa setiap insan aku merasai mati!!Hanya 3 perkara yang dibenarkan kita membawanya apabila mati nanti. 3 perkara tersebut ialah ;ilmu yang dimanfaatkan,harta yang digunakan pada jalan Allah dan doa dari anak yang soleh.

Ingatlah! Itu sahaja bekalan kita.Bila lagi mahu sediakan?Sama-samalah kita insafi..WaAllahualam..

Baca Artikel Penuh>>

Friday, November 16, 2007

terima kasih semua





Alhamdulilah..Jumlah pembaca sudah mencecah 10000...terima kasih kepada semua.Moga Blog ini dapat terus memberi sesuatu kepada anda semua.Syukran Jazilan..

Baca Artikel Penuh>>

Thursday, November 15, 2007

Cinta adalah Fitrah Manusia


Cinta adalah Fitrah Manusia


Artikel ini ditulis sahabat saya
#Artikel ini disiarkan bagi memenuhi pemintaan pembaca yang 'bernama' TETAMU.
Moga ada manfaatnya.


Mencintai seseorang atau jatuh hati terhadap lawan jenis merupakan perkara fitrah kerana Allah Ta’ala menciptakan manusia di dalam keadaan demikian sebagaimana firman-Nya,

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu : wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik” (QS. Ali Imran : 14)


Di dalam sebuah hadits shahih diceritakan kisah seseorang wanita yang bernama Barirah yang mana suaminya yang bernama Mughits selalu mengikutinya dari belakang setelah mereka bercerai, maka Rasulullah ShallallaHu ‘alaiHi wa sallam berkata kepada Abbas,

Wahai Abbas, tidakkah engkau takjub terhadap cintanya Mughits kepada Barirah dan kebencian Barirah kepada Mughits ?” (HR. al Bukhari).

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah kemudian menjelaskan dalam Mukhtashar Raudhatul Muhibbin (hal. 82) bahawa Rasulullah ShallallaHu ‘alayHi wa sallam tidak melarang tumbuhnya cinta Mughits yang membara di dalam keadaan seperti itu. Ini kerana, cinta merupakan sesuatu yang tidak boleh dibendung dan ia bukan merupakan inisiatif diri sendiri.


Seorang lelaki berkata kepada Umar bin Khaththab radhiyallaHu ‘anHu, “Wahai Amirul Mukminin, aku telah melihat seorang wanita lalu aku pun sangat cinta kepadanya”. Lalu Umar radhiyallaHu ‘anHu berkata, “Itu adalah sesuatu yang tidak mungkin untuk dibendung” (Mukhtashar Raudhatul Muhibbin hal. 81)


Penangan CINTA

Namun demikian cinta ini dapat menjadi bumerang bagi para pelakunya jika disertai dengan hawa nafsunya atau juga akibat godaan syaithan yang memang selalu ingin mengelincirkan manusia, sehingga pelakunya melakukan amal-amal yang buruk bergelumangan dengan dosa seperti zina dan lainnya.

Kerana cintanya dia menjadi hamba

Padahal sebelumnya dia raja


Allah Ta’ala berfirman:

Kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat Allah, lalu dia diikuti oleh syaithan, maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat”
(QS. Al A’raf : 175)


Dan tidak dapat dinafikan orang-orang yang mabuk cinta akan selalu merindukan orang-orang yang dicintainya. Seorang pemuda akan selalu merindui gadis yang dicintainya begitu pula si gadis akan selalu merindui pemuda yang dia dambakan.

Si pencinta mengadukan kerinduannya

Andaikata aku bisa menanggung kesendirian ini

Ada semua kenikmatan cinta di dalam hati

Yang tiada pernah dirasakan sesiapa


Maka dari itu Allah Ta’ala telah menciptakan ubat penyembuh akibat penyakit cinta yang berpotensi melanggar syariat yang telah Allah Ta’ala tetapkan dan memudahkan cara untuk mendapatkan ubat tersebut.

Barangsiapa yang berubat dengan sesuatu yang telah dilarang oleh Allah Ta’ala secara syariat, sekalipun dia mampu untuk melakukannya maka dia telah melakukan kesalahan di dalam proses pengubatan. Dia seperti orang yang hendak mengubati suatu penyakit dengan penyakit yang lebih berbahaya.


Dan ubat itu adalah pernikahan. Dari Ibnu Abbas radhiyallaHu ‘anHu, Rasulullah ShallallaHu ‘alayHi wa sallam bersabda,

لم نر ((ير)) للمتحابين مثل النكاح

yang ertinya “Tidak ada yang boleh dilihat (lebih indah) oleh orang-orang yang saling mencintai seperti halnya pernikahan” (HR. Ibnu Majah no. 1847 dan al Hakim dalam al Mustadrak 2/147, dishahihkan oleh al Hakim dan disepakati oleh adz Dzahabi. Al Bushiri dalam Mishbah az Zujajah 2/94 mengatakan bahwa isnad hadits ini shahih dan para perawinya tsiqat. Al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih Ibn Majah, hadith-1497)

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah membuat syair yang cukup indah berkaitan dengan permasalahan ini (Mukhtashar Raudhatul Muhibbin hal. 54):

Engkau penuhi keinginan hatimu yang bergelora

Dengan bersama kekasihmu, bila dia rela

Jika engkau lakukan itu dalam kehalalan, berbahagialah

Engkau dapatkan kasih sayang dan kerelaan

Jika engkau lakukan itu dalam keharaman

Sungguh itu adzab, yang menghinakan dan yang menyengsarakan


Ahli ilmu dan dari kalangan lainnya telah sepakat bahawa ubat daripada penyakit cinta ini adalah menyatunya dua ruh dan badan yang saling berdekatan. Dari Jabir radhiyallaHu ‘anHu bahawasannya Rasulullah ShallallaHu ‘alayHi wa sallam pernah melihat seorang wanita maka kemudian dia mendatangi isterinya Zainab, lalu bersabda:

Jika salah seorang kalian melihat wanita lalu tertarik kepadanya, maka hendaklah dia mendatangi isterinya, kerana yang demikian itu boleh menolak apa yang bergejolak di dalam dirinya” (HR. Imam Muslim)

Isma’il bin ‘Ayyasy menceritakan dari Syurahbil bin Muslim dari Abu Muslim al Khaulani rahimahullah, bahawasannya dia berkata:

Wahai seluruh penduduk Khaulan, nikahkanlah pemuda-pemudi kalian dan hamba-hamba kalian kerena gejolak yang berkobar adalah masalah yang serius. Maka buatlah persiapan untuk urusan itu dan ketahuilah bahawa tidak ada penolakan bagi sesiapa yang meminta izin untuk menikah” (Mukhtashar Raudhatul Muhibbin hal. 126)


Semoga Allah Ta’ala memudahkan para pemuda dan pemudi Islam yang saling mencintai dan merindui untuk mengambil jalan yang telah disyariatkan oleh agama dan semoga mereka dapat memperoleh buah dari ketaatan yang mereka kerjakan.

Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberi rezeki dari arah yang tiada yang disangka-sangkanya” (QS. Ath Thalaq : 2-3)






Sumber rujukan:

Mukhtashar Raudhatul Muhibbin li al Imam Ibn Qayyim al Jauziyyah, Abu Shuhaib al Karami, Pustaka Arafah, Solo, Cetakan Pertama, Juli 2005.

Semoga Bermanfaat

Baca Artikel Penuh>>

Wednesday, November 14, 2007

Bersaudara bukan bermusuh


Bersaudara bukan bermusuh

Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
14 November 2007

Memutuskan hubungan di kalangan Muslim adalah satu perkara yang tidak patut dilakukan oleh Umat Islam.Ramai yang melakukan hal sedemikian tanpa ada sebab-sebab yang syari’,dan kadang-kala hanya melibatkan hal yang remeh-temeh.Ini semua disebabkan tertipu dengan muslihat dan usaha-usaha Syaitan untuk memecah-belahkan perpaduan Umat Islam.

Tidak bertegur-sapa bertahun-tahun adalah perkara biasa,dan sehinggakan ada yang sanggup untuk bersumpah tidak akan bertegur atau bercakap dengan saudara yang dimarahinya itu.Sikap ini amatlah memalukan dan tidak berlandaskan aturan yang telah ditetapkan Islam.Perkara ini boleh menjadikan punca kepada perpecahan dan ketidaksatuan umat Islam.Oleh sebab itu Islam mengecam dengan sekeras-kerasnya akan perbuatan ini.Ia bertepatan dengan Sabda Nabi yang bermaksud:

“Seorang Muslim tidak boleh untuk tidak bertegur saudaranya lebih dari tiga hari.Maka barangsiapa yang tidak bertegur saudaranya lebih dari tiga hari dan mati dalam keadaan demikian,nescaya dia pasti masuk neraka”(HR Abu Daud,Sahih Al-Jami’)


Dikukuhkan lagi dengan sabda Nabi yang telah diriwayatkan oleh Abu Khirosi Al-Aslami :

“Barangsiapa yang tidak bertegur saudaranya selama setahun,maka dia seolah-olah telah menumpahkan darahnya”(HR Bukhari,dalam adabul-Mufrad,dinilai sahih dalam Sahih Al-Jami’)


Dua hadis diatas adalah amaran yang keras dari Nabi,dan menjadi kemurkaan Nabi apabila ada di kalangan umatnya melakukan hal sedemikian.Kemurkaan Nabi adalah kemurkaan Allah,kerana apa yang diperkatakan oleh Nabi adalah datangnya dari Allah Ta’ala.Sesuai dengan Firman Allah yang bermaksud:

“Dan dia tidak akan mengatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama) menurut kemahuan dan pandapatnya sendiri.Segala apa yang diperkatakan oleh dia adalah wahyu yang diwahyukan oleh Allah kepadanya.”(An-Najm:3-4)


Dan barangsiapa yang menderhakai apa yang telah diperkatan oleh Nabi,bermaksud juga telah menderhakai Allah.Sesiapa yang menderhakai Allah bererti telah sesat dari jalan kebenaran.Firman Allah yang bermaksud:

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.


Selain daripada mendapat kemurkaan daripada Allah,mereka yang memutuskan tali persaudaraan juga sukar mendapat keampunan daripada Allah.Selari dengan Sabda Nabi Muhammad yang bermaksud:

“Amalan manusia di bawa dua kali dalam seminggu,iaitu pada hari Isnin dan Khamis.Diampuni bagi setiap hamba yang Mu’min,kecuali hamba yang mempunyai permusuhan dengan saudara muslimnya yang lain.Maka dikatakan : “Tinggalkan atau kebelakangkan dua orang ini sehingga kedua-dua mereka kembali berbaik”.(HR Muslim)

[Maksudnya,mereka tidak diampunkan oleh Allah,sehinggalah mereka bermaafan antara satu sama lain-penulis]



JOM BERMAAF-MAAFAN

Sesiapa yang ingin bertaubat dari kesalahan ini,perlulah bermaafan antara satu sama lain,dan lupakan persengkataan yang lalu.Cukuplah sekadar bersalaman.Namun, jika salah seorang telah memohon maaf dan seorang lagi tidak mahu memaafkannya,maka orang yang mahu berbaik-baik itu telah lepas dari tanggungjawabnya.Dan berdosalah ke atas orang yang tidak mahu berbaik-baik itu.

Walaubagaimanapun,terdapat ruang didalam syara’ untuk memutuskan hubungan antara Muslim.Hal ini dibolehkan apabila seseorang itu meninggalkan solat atau terus menerus melakukan perbuatan yang tidak selari dengan ajaran Islam.Perbuatan ini dilakukan bagi mengembalikan seseorang itu kepada kebenaran dan menyedarkannya tentang kesalahan yang telah dilakukan.Namun begitu,jika tindakan memutuskan hubungan tersebut tidak berguna dan membuatkan seseorang itu terus berpaling dari Islam,maka HARAM melakukan hal sedemikian.Sebabnya,kebaikan yang dituju oleh Syara’ tidak tercapai,bahkan menambah kerosakan.Oleh itu,tindakan yang terbaik adalah berbuat baik kepadanya sambil terus memberi nasihat dan mengingatkannya.(Muhammad Bin Soleh Al-Munajid-dalam Muhrimat Istihan Biha An-Nas Yajibu Hizru Minha)

Komentar Muhammad Soleh Al-Munajid ini bersandarkan kepada peristiwa dimana Nabi tidak menegur Ka’ab Bin Malik dan kedua sahabatnya yang tidak turut serta dalam perang Tabuk.Ini disebabkan baginda melihat ada kebaikan untuk berbuat demikian terhadap mereka berdua yang juga Sahabat kepada baginda.Namun hal ini berlaku sebaliknya terhadap Abdullah Bin Ubay Bin Salul serta kaum munafik yang lain,kerana Nabi merasakan itu lebih baik.(Maksud Nabi ini,jika Nabi memulaukan mereka,hal ini akan menjadi pemberontakan dan menjadikan mereka terus dalam kemunafikan.Oleh itu,Nabi membuat keputusan untuk berbuat baik kepada mereka dan terus menerus menasihati mereka.)

Akhir sekali,penulis berharap kita sesama Umat Islam dapat menghindarkan perbuatan memutuskan hubungan ini.Seterusnya dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan kesatuan diantara kita.Sabda Nabi “Tidak sempurna Iman seseorang sehingga mereka mencintai saudaranya sepertimana mereka mencintai dirinya sendiri”(Sahih)

WaAllahualam..

Baca Artikel Penuh>>

Sunday, November 11, 2007

Tauladan di sebalik keburukan



Tauladan di sebalik keburukan
Oleh:Yussamir Yusof
Cyberjaya
12 November 2007

Munkin ramai akan bersetuju jika saya mengatakan bahawa ‘tiada kebaikan dalam keburukan’.Tapi bagaimana pula kalau saya katakan ‘ada tauladan di sebalik keburukan’?
Ya,tauladan disebalik keburukan.Ramai yang sangsi dengan ungkapan ini,mereka menganggap hal ini menghalalkan sesuatu yang diharamkan.Mengapa kita tidak berfikir sejenak dan memerhatikan sedalam mungkin ungkapan ini.Mengapa kita tidak mengulang cetak sejarah di dalam kotak minda kita?Jangan kita lupakan sejarah,kerana menjadi satu kecelakan bagi mereka yang sengaja melupakan sejarah.

John Santayana seringkali memperingatkan manusia dengan ungkapan mashurnya:

“Celakalah kepada sesiapa yang melupakan sejarah dan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan dalam lipatan sejarah”.

Sejarah membuktikan bahawa terdapat banyak taudalan yang boleh kita ambil dalam setiap keburukan yang berlaku.
Anda pasti kenal dengan Sam Walton pengemudi dan juga pengasas kepada Wal-Mart,seorang lelaki biasa yang penuh dengan cita-cita dan harapan.Pernah satu ketika apabila dia dan rakannya iaitu Don Soderquist singgah di sebuah supermarket,dan keadaan supermarket tersebut cukup tidak teratur dan tersusun.


Sam Walton bertanya pada Don : “What do you think”-apa awak fikir.

Kemudian Don melihat-lihat keadaan supermarket tersebut,dan dia pun menjawab: “Sam,that was the worst store that I have ever see in my life.They won’t be tough competition at all.And what do you think?”- Sam,inilah store yang paling teruk pernah saya lihat dalam hidup saya.Mereka tidak akan dapat menjadi pesaing.Dan apa awak fikir? Don menyoal Sam.

Sam menjawab : “Don,did you see the panty hose rack? Don,that was the best pasty hose rack I have ever seen!Don did you see the Ethnic Cosmetics?We should have one”.-Don,adakah awak nampak rak tersebut?Don,itulah rak yang terbaik saya pernah lihat!Don,adakah awak nampak alat solek etnik itu?Kita mesti ada juga”.

Lihatlah,bagaimana Sam Walton melihat tauladan di sebalik keburukan Supermarket tersebut.Berbeza dengan sudut pandangan Don yang tidak dapat melihat tauladan yang terselit di sebalik keserabutan dan kekecahan supermarket tersebut.Itulah di namakan sebagai “The power of seeing what others don’t see”[1],iaitu yang bermaksud “Kekuatan melihat apa yang tidak dilihat oleh orang lain”.Untuk berjaya kita perlu mempunyai penglihatan superman iaitu penglihatan yang dapat menembusi tembok-tembok yang menghalang kita untuk berjaya.

Selain dari kisah keupayaan melihat sesuatu yang terhalang seperti Sam Walton,cerita tentang kehebatan Adolf Htler juga perlu kita kongsikan bersama.Memang benar Hitler telah menjahanamkan dunia dan membuatkan Bangsa Yahudi merana kehilangan keluarga.Tetapi disebalik kekalutan yang dilakukan oleh Hitler,terdapat satu tauladan yang boleh kita ambil dan praktikan,iaitu kehebatan berpidatonya.Siapa sangka,orang yang pernah digelar badut dan kartun pada awal kemunculannya dikhalayak ramai dengan pidato nasionalismanya menjadi ketua Negara.Tidak ada orang yang menyangka kehebatan pidato dan karismatik yang ditonjolkannya dapat mempengaruhi seluruh penduduk Jerman ketika itu.Hanya dengan membawa ideology Anti-Semit,iaitu membenci Yahudi dan semangat Nasionalisme,orang-orang Jerman kembali bersatu dan bangun menjadi sebuah Negara yang ditakuti selepas kalah ditangan Perikatan.-bayangkan apabila dihadapkan ke Mahkamah,para hakim turut teruja dengan pidatonya.Betapa hebat dia berpidato!

Semua ini dilakukan hanya melalui wadah pidato.Atas dasar kehebatan inilah,kita perlu contohi dan ambilnya sebagai satu tauladan,bahawa dengan pidato kita dapat menghembuskan semangat perpaduan dan kesatuan dikalangan masyarakat.Kalau zaman sekarang,pidato itu boleh kita tukarkan kepada kekuatan menyampaikan.Tidak kiralah sama ada melalui wadah penulisan,radio,media massa dan sebagainya.Yang penting penyampaian tersebut perlu diisi dengan roh kekuatan seperti yang ditonjolkan Adolf Hitler.Selain mencontohi kehebatan berpidatonya,kita juga perlu perhatikan karismatik yang ditonjolkan oleh beliau.Karisma yang tetap pada pendirian dan tidak mahu berputus asa adalah asas kekuatan yang ada pada Adolf Hitler.Walaupun kita tahu bahawa Adolf Hitler mempraktikan teori Machiavelli (melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat walaupun menggunakan kekerasan dan melakukan kesalahan) yang salah disisi Islam,namun kebijaksanaan dia mengatur dan merancang patut kita contohi dan tauladani.

Walaupun begitu, ramai tidak tahu bahawa Adolf Hitler sebenarnya adalah seorang Psycho.Dia tidak siuman,dia gila.Tetapi disebabkan kehebatannya dalam meniupkan api perpaduan dan perkauman melalui pidato,rakyat Jerman menyokongnya.Sejarah membuktikan, bahawa Adolf memang seorang tokoh yang cemerlang dalam mempengaruhi manusia.Tapi sayang,dia bukanlah seorang tokoh yang cemerlang dalam pemerintahan dan baik terhadap rakyatnya.Akhirnya,pada 30 April 1945 Adolf Hitler mati dengan membunuh dirinya di ‘Berlin Bunker’,setelah tenteranya kalah dalam peperangan.Disebalik kehitaman terdapat juga titik putih yang boleh kita jadikan tauladan,kerana tidak semua yang buruk itu buruk.Kalau Hitler yang tidak siuman itu boleh menggegar dunia,masakan kita yang normal tidak berupaya lebih daripada dia?

Kedua-dua cerita diatas memberikan kita makna “tauladan disebalik keburukan” yang perlu kita pelajari dan sematkan dalam diri.Tidak semua yang buruk itu buruk,dan tidak semua yang baik itu tidak ada buruk.Kita perlu pelajari untuk mencari kekuatan pada seseorang bukan hanya terus-menerus mencari keburukan pada diri orang lain.Jika semua ada sikap sebegini,maka pasti keburukan itu dapat menjadi kekuatan dan pemangkin perpaduan dan kesatuan kita bersama.Fikir-fikirkanlah….


[1] Don Soderquist-The Wal-Mart way

Baca Artikel Penuh>>

merenung di sebalik tabir

Merenung ke dunia satu lagi bersama dengan Afifi kawan sekolah kat SMKA Pedas dulu.Ada peristiwa 'menarik' di sebalik tabir gambar ini..hehheeh...

Baca Artikel Penuh>>

Friday, November 9, 2007

Hakikat Mati


Cerpen:Hakikat Mati

Oleh:Yussamir Yusof
12 Syawal 1429H
Negeri Sembilan,rumah keduaku

Alia masih setia berada di sisi kubur ibubapanya,Abang dan kakaknya pulang awal pagi itu.Setiap pagi raya dia dan adik-beradiknya yang lain sudah menjadi kebiasaan untuk melawat pusara kedua ibu bapanya.Bukan tidak selalu melawat pusara ibubapanya,tetapi hari ini dia berasa perasaan yang cukup berlainan.Dia terlalu rindu pada kedua ibubapanya,terlalu rindu sehinggakan dirinya merintih pada Illahi.

“Ya Allah,aku rindu pada ibu dan ayahku.Terlalu rindu ya Allah.Sehingga hari ini aku tak kuat untuk menghadapi kenyataan ini.Aku hamba yang lemah ya Allah.Bantulah aku,hiburkan lah aku ya Allah” Rintih Alia.Air mata laju mengalir di pipinya.

Hatinya cukup pilu ketika itu.Dia mahukan dakapan mesra dan hangat dari kedua ibu bapanya.Dia rindu dengan ungkapan sayang dari kedua ibubapanya.Dia rindu pada pujukan ibunya dikala dia sedih.Dia rindu kata-kata semangat dari ayahnya,ketika dia berputus asa dalam kehidupan. Alia rindu segala-galanya.

Tiba-tiba dirinya didakap abangya yang dari tadi memerhatikannya dari jauh.Abangnya memeluk dengan penuh perasaan.Nizam mengusap-usap kepala adiknya itu.Dia tidak mahu menangis,dia mesti tabah.Dia abang,dia mesti menunjukkan ketabahannya agar adiknya dapat menjadikannya sebagai teladan.Nizam melepaskan dakapannya,dia memanggil nama Alia.


“Alia …” Alia memandang abangnya.Panggilan abangnya persis suara ayah.Air matanya masih mengalir,namun dia cuba tabah.

“Jangan menangis dik,tangisan tidak dapat memberi apa-apa kepada ayah dan ibu.Di alam barzakh sana,ayah dan ibu hanya perlukan doa darimu dik.Jangan kau lupa pesan nabi dik.:

Ada 3 perkara yang akan menjadi manfaat kepada si mati;ilmu yang dimanfaatkan,harta yang digunakan pada jalan Allah dan doa dari anak yang soleh.

Alia mengesat air matanya,kemudian dia mengalihkan pandangannya ke pusara ayah dan ibunya.Dia anak bongsu daripada 6 adik-beradik.Setiap kali cuti semester dia tidak akan sabat-sabar untuk pulang ke rumah.Namun seminggu sebelum kedua ibu bapanya meninggal,ayahnya sering bercerita tentang mati setiap kali selesai solat berjamaah.Memang rutin setiap kali selesai solat,ayahnya pasti akan memberi sedikit tazkirah untuk keluarga,namun hari itu berlainan sedikit.


“Hidup ini tidak akan kekal Alia,setiap manusia akan menghadapi kematian.Allah dah berjanji akan perkara ini sejak nabi telah diutuskan lagi.Kata Allah:

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.[1]

Namun Allah itu maha penyayang Alia.Allah itu sentiasa mahu membahagiakan hamba-Nya yang taat.Orang yang taat kepada-Nya,Allah akan berikan ganjaran Syurga dan tidak akan sesekali bau dan merasai kehangatan api neraka.Kata Allah:

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung[2]

Suara ayah masih terngiang-ngiang di kotak mindanya,air mata Alia mengalir semula.Dia rindukan pesanan dan nasihat-nasihat ayah.Nizam mengesat air mata Alia,dia tidak mahu adiknya terus berada dalam kesedihan.

“Masing-masing telah ditentukan ajalnya dik.kata Allah:

“masing-masing ajal itu telah ditetapkan”[3]

Dan Ajal itu sendiri tidak akan menunggu kita,kalau masa itu sudah tiba untuk kita kembali kepada Allah pasti kita akan mati dik.Ingat tak apa yang ayah bacakan untuk kita masa tu.” Tanya Nizam pada Alia.Alia mengangugkan kepala tanda dia masih lagi mengingati pesanan ayah.Dia terkesan dengan kata-kata abangya.Persis seperti ayah,kata Alia dalam hati.

Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya[4].Itulah yang ayah bacakan untuk kita selama ini, tidak pernah ayah lupa untuk titipkan pada kita dik” Sambung Nizam pada Alia perlahan.Alia menganguk perlahan,sambil membetulkan cermin matanya.

“Along macam ayah” Alia memeluk Nizam.Nizam tahu adiknya sudah boleh mula untuk menerima kenyataan ini.

“Erm..ok,kita balik rumah jom.Nanti yang lain-lain risau pula kita lambat balik.Hari pun macam nak hujan je ni.”Ajak Nizam untuk berangkat pulang pada adiknya.

“Along tak tidur lagi ke?”Sapa Alia pada Nizam.

“Eh adik,belum lagi,saja nak ambik angin kat luar ni.Adik tu,naper tak tido lagi?” Soal Nizam sementara tanganya memegang album gambar keluarga.

Sebagai seorang insan yang punyai perasaan,dia juga tak boleh lari dengan perasaan rindu pada kedua ibubapanya.Sepatutnya,malam ini dia akan berkumpul satu keluarga di halaman luar ini.Masing-masing akan menceritakan perihal masing-masing,ada yang lucu dan ada yang sedih.Itulah waktu yang paling membahagiakan dia sekeluarga.Namun kini ia tinggal kenangan,kenangan yang dia akan ingat selama-lamanya.

Alia mendekati Alongnya kemudian duduk di sebelahnya.Dia memegang tangan Nizam kemudian dia dekatkan di dadanya. Alia selalu lakukan hal itu pada ibunya ketika masih hidup.

“Along,adik nak tanya boleh tak? Soal Alia.

“Apa dia dik?” Alia melepaskan tanggan alongnya.Dia seolah-olah mengumpul kekuatan.Kekuatan untuk menyuarakan soalan dia pada Nizam.

“Kita tahu ke bila,dan di mana kita akan mati along?”Soal Alia semangat,dari dulu dia mahu menanyakan hal itu.Baru sekarang dia mempunyai peluang untuk bertanya.Nizam hanya senyum dan kemudian dia meletakkan album tadi di atas meja.Nizam merenung anak mata adik kesayangannya.Betapa sayangnya dia pada Alia,dia sanggup pertaruhkan nyawa demi Alia.

“Tak boleh dik…Kita tak mampu untuk mengetahui hal itu.Itu rahsia Allah dik,Dia-lah yang akan menentukannya.Hamba tidak ada kuasa untuk menentukan.Kan Allah dah kata:

Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal[5].

“Kita hanya perlu bersedia untuk hari itu adik.Tak usah adik fikirkan dimana,bila dan bagaimana adik akan mati,tetapi cukuplah ia sebagai peringatan untuk adik.Kerana mengingat mati adalah satu penawar[6].Allah juga kata:

(Allah)Mewafatkan seseorang apabila sudah sampai masa matinya[7]

Nizam mengakhiri kata-katanya sambil dia menepuk-nepuk belakang tangan Alia.Alia mengangguk perlahan tanda dia berpuas hati dan faham apa yang dikatakan Alongnya.Dia memeluk Nizam untuk kesekian kali.Sambil air matanya terus deras mengalir,fitrah seorang wanita yang mudah menangis.Alia sedar,walaupun kedua orang tuanya sudah pergi meninggalkanya.Namun dia masih beruntung kerana, adik-beradiknya masih setia disisi,setia mendengar luahan,aduan dan sedia untuk memberikan dia kasih sayang.Akhirnya air mata Alia berhenti,Alia lena di bahu Alongnya…

“Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku luas, maka sembahlah Aku saja. Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan”[8].


[1] Surah Al-Anbia:35

[2] Al-Imran :185

[3] Surah Ar-rad:38

[4] Surah Al-A’raf:34

[5] Surah Luqman:34

[6] Sepertimana dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi: “Perbanyakanlah olehmu mengingat penawat kelazatan…iaitu mati”.

[7] Surah Az-Zumar:42

[8] Surah Al-Kanbut :56-57

Baca Artikel Penuh>>

Monday, November 5, 2007

Bagaimana solat dalam kapal terbang



Bagaimana solat dalam kapal terbang

Oleh:Yussamir Yusof Aljohori
20 Syawal 1428H
Cyberjaya
http://www.yussamir.com

“Macam mana nak solat kalau kita berada dalam kapal terbang nanti ek?” “Ala..buat jamak dan qasar je la”Jawab si A.
“Waktu lain boleh la,tapi kalau waktu subuh macam mana?”

Dialog ini selalu kita dengar,namun tidak ramai yang mengambil berat akan hal ini.Kebiasaannya jawapan yang muncul ialah “Kita Qada’ je solat tu”.Jawapan itu kadangkala bukan hanya muncul dari orang biasa,tetapi ia juga keluar dari mereka yang di anggap alim oleh masyarakat awam.Sepatutnya hal ini tidak boleh terjadi dewasa ini.Membicarakan hal ehwal agama bukanlah semudah membiacarakannya di warung-warung kopi.Tetapi ia memerlukan Ilmu,penelitian,pertimbangan dan keberhatian.Melihat akan bermudah-mudahnya manusia dalam membicarakan hal agama terutama mengenai hukum-hakam,membuatkan penulis insaf dan malu kepada Allah.

Hal ini tidak pernah terjadi pada zaman para sahabat dan juga pada zaman kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu.Ketika itu,sesuatu hukum yang ingin dihebahkan akan dikaji dan diteliti dalam-dalam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.Semua ini dilakukan oleh kerana takutnya mereka akan ancaman Allah keatas mereka yang membicarakan sesuatu tanpa pengetauan.

Hal ini dinyatkan oleh Allah dalam Surah Al-A’araf:

“Dan mengharamkan mengada-ada terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui”

Ibnu Sirin pernah mengatakan bahawa “mati itu lebih baik daripada mengatakan sesuatu yang dia tidak ketahui”.Selain daripada Ibnu Sirin,seorang sahabat besar Nabi iaitu Saidina Abu Bakar juga pernah mengatakan “Langit manakah yang akan menaungiku dan bumi manakah yang menampungiku,jika aku mengatakan sesuatu yang tidak aku ketahui”.Oleh itu,penulis berharap,kita semua dapat mencontohi sikap mereka yang sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

Untuk menjawab persoalan dialog diatas,penulis membahagikannya kepada 3 bahagian.Pembahagian ini akan memudahkan pembaca menteliti dan menilai hujah-hujah yang akan dikemukan.Setiap hujah akan disertakan dengan dalil dari Quran dan Sunnah.Selain daripada itu,setiap hujah juga akan disertakan rujukan di bahagian nota kaki.Semua ini dilaksanakan agar para pembaca dapat mengkajinya secara lanjut.

Bahagian pertama:Hukum menghadap kiblat didalam pesawat.

Telah sepakat bahawa menghadap kiblat adalah perkara wajib apabila ingin menunaikan solat fardhu yang lima.Ini telah dinyatakan Allah didalam Surah Baqarah:149-150 yang bermaksud:

Dan dari mana saja kamu keluar (datang), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram, sesungguhnya ketentuan itu benar-benar sesuatu yang hak dari Tuhanmu. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan. Dan dari mana saja kamu (keluar), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya, agar tidak ada hujjah bagi manusia atas kamu, kecuali orang-orang yang zalim diantara mereka. Maka janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku (saja). Dan agar Ku-sempurnakan nikmat-Ku atasmu, dan supaya kamu mendapat petunjuk.

Selain daripada itu,hujah ini diperkuatkan lagi dengan Sabda Nabi yang bermaksud:

Baitullah ialah qiblat bagi penduduk (yang berada sekitar) Masjidil Haram, dan Masjidil Haram ialah qiblat bagi penduduk (yang berada sekitar) tanah suci Mekah, sedangkan tanah suci merupakan qiblat bagi penduduk bumi dari umatku baik yang ada di sebelah timur mahupun di sebelah barat[1].

Berdasarkan hadis diatas,Syeikh Dr Wahbah Zuhaili menafsirkan bahawa “Menghadap kiblat dengan tepat adalah wajib bagi mereka yang berada disekitar Masjidil Haram.Manakala bagi mereka yang jauh dari Makkah,memadailah menghadap ke arah Makkah sebagai menetapi syarat hukum[2].

Mencari arah kiblat adalah suatu kewajiban bagi mereka yang mahu mendirikan solat.Pelbagai cara dan kaedah boleh dilakukan bagi menentukan arah kiblat dewasa ini. ‘Tidak tahu’ bukan lagi alasan kukuh bagi kita pada zaman kini.Teknologi satelit,kompas dan sebagainya memungkinkan kita untuk mengetahuinya dengan mudah.Oleh itu,tidak sah solatnya jika seseorang solat tanpa menghadap kiblat dengan alasan tidak tahu!Hal ini tidak dipandang sebagai keuzuran tetapi dipandang sebagai suatu hal yang mempermainkan agama.Sebagai seorang Muslim,menyediakan peralatan untuk solat adalah perkara utama yang perlu difikirkan apabila ingin bermusafir.Ini semua untuk mengelakkan kita dipertanggungjawab di Akhirat nanti.

Namun jika semua usaha telah dilakukan masih gagal untuk menentukan arah kiblat terutama didalam pesawat,maka dibenarkan untuk mengangarkan arah kiblat setepat mungkin.Hujah ini berdasarkan hadis di bawah yang bermaksud:

Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menerangkan: Kami pernah solat di satu malam yang mendung dan kami tidak mengetahui arah qiblat. Tatkala kami selesai solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah qiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam lalu beliau berkata: Kamu telah melakukan yang terbaik. Seterusnya Jabir berkata: Dan beliau tidak menyuruh kami mengulanginya[3]

Berdasarkan kepada hadis diatas,para Fuqaha telah bersepakat bahawa solat tetap wajib dilaksanakan walaupun tidak menghadap kiblat.Walaubagiamanapun,status hadis diatas dinilai tidak sahih oleh Imam Shafie ,dan menurut Mazhab shafie wajib untuk mengulangi solat tersebut setelah mengetahui arah kiblat[4].Setelah mengetahui hadis diatas dinilai Tidak Sahih oleh Imam Shafie,penulis cuba membuat beberapa semakan dalam beberapa pendapat yang lain.Akhirnya penulis mendapati bahawa mujtahid mutakhirin mendapati bahawa hadis diatas adalah sahih kerana terdapat banyak sumber serta jalan periwayatannya.Hadis-hadis yang dijumpai juga saling kuat-menguat antara satu sama lain,sehingga menjadikannya bertaraf sahih[5].Imam Syaukani dan Imam Shana’ni juga menilainya sahih dalam Nailul Authar dan subus-salam.

Bahagian dua:Semampu yang mungkin.

Hal ini sering terjadi kepada mereka yang berada di dalam pesawat.Dengan keadaan pesawat yang sempit(Kecualilah kapal terbang yang bersaiz besar seperti Airbus A380),anak-anak kapal yang sibuk menjalankan tugas dan pelbagai lagi tidak memungkinkan seseorang itu untuk mendapat ruang untuk solat.Apa yang boleh dilakukan adalah hanya duduk dikerusi.Dalam hal ini penulis tidak menemui jalan yang mudah. Dr Ahmad As-Syarbaasi iaitu Tokoh Feqh dari Universiti Al-Azhar menegaskan bahawa seseorang itu wajib berusaha untuk solat sesempurna yang mungkin(iaitu,berdiri,ruku’ dan sujud dilakukan secara sempurna).Malahan kata beliau,jika pesawat itu bergerak ke arah lain maka orang yang bersolat itu juga perlu menukar arah kiblatnya.

Namun jika tidak diketahui kearah mana pesawat bergerak maka dibolehkan untuk tetap pada arah asal.Ketegasan Dr Ahmad ini bersandarkan kepada maksud hadis:

Apa yang aku tegah kamu darinya maka hendaklah kamu menjauhinya dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu mengerjakannya sekuat mampu[6].

Menurut Dr. Syarbashi dalam huraian bab yang sama, solat seseorang itu adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi kerana telah berusaha sekuat mampu untuk menghindari semua kesukaran yang wujud disamping niat yang ikhlas.

Bahagian ketiga:Solat dengan cara duduk?

Solat secara duduk adalah salah satu kemudahan yang disediakan Islam kepada penganutnya.Ini juga membuktikan kepada penganut agama lain bahawa,umat Islam boleh melaksanakan ibadahnya walaubagaimanapun keadaan seseorang itu.Pada asalnya solat itu diwajibkan dilaksanakan dengan berdiri tegak.Ini bersandarkan kepada Firman Allah yang bermaksud:

Peliharalah semua shalat(mu), dan (peliharalah) shalat gusta.Berdirilah untuk Allah (dalam shalatmu) dengan khusyu'[7]

Namun begitu,terdapat beberapa sebab yang membolehkan seseorang itu solat tanpa berdiri.Antara sebab yang dibenarkan seperti yang dijelaskan dalam hadis adalah;Sakit sehingga tidak membolehkan seseorang itu berdiri,kesukaran dan dalam keadaan berbahaya.

Bagi seseorang yang sakit sehinggakan tidak mampu,dia dibenarkan solat secara duduk ataupun semampu yang dia boleh.Ini bertepatan dengan sabda Nabi yang bermaksud:

Solatlah dengan berdiri,kalau tidak mampu maka duduklah,kalau masih juga tidak mampu maka berbaringlah dengan posisi miring.[8]

Menurut Saiditina Aisyah,isteri Nabi Muhammad,cara duduk yang dilakukan Nabi adalah dengan bersila.[9]Walaubagaimanapun,tidak mengapa jika seseorang itu tidak bersila,ikutlah sekadar mana yang mampu.Manakala bagi mereka yang mampu berdiri tetapi mempunyai masalah untuk rukuk dan sujud,maka memadailah melakukannya dengan Isyarat.Panduan ini diajarkan Nabi dalam satu hadis yang bermaksud:

Jika mampu bersujudlah di atas tanah,dan jika tidak mampu maka berisyaratlah dengan jelas atau jadikan sujudmu lebih rendah dari ruku’ mu.[10]


Ramai yang runsing berkenaan dengan kesempurnaan solat jika dilakukan selain dengan berdiri.Sebenarnya,solat secara duduk jika ada keuzuran diterima dan solat tersebut adalah sempurna[11].Namun,pahalanya kurang separuh daripada mereka yang solat dengan berdiri.Ini bertepatan dengan sabda Nabi yang bermaksud:

Pahala orang yang solat duduk separuh daripada mereka yang solat dengan berdiri[12]

Selain daripada sakit,kesukaran dan dalam keadaan bahaya juga diberi kelonggaran untuk melakukan solat dengan duduk.Kesukaran ini biasa dihadapi mereka yang berada dalam keadaan bergerak.Terutama dalam kapal terbang.Biasanya perkara yang dihadapi adalah,ruang yang sempit yang tidak mengizinkan solat dengan berdiri, dan pergerakan yang melampau sehinggakan sukar untuk berdiri.Dalil yang jelas membenarkan ia dilakukan adalah berdasarkan hadis Nabi yang bermaksud:

Seorang sahabat telah bertanya kepada Nabi “Bagaimanakah cara melakukan solat dalam perahu?” Kemudian Nabi bersabda: “bersolatlah dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam.[13]

Hadis diatas ini menjadi dalil bolehnya bersolat di atas kenderaan,tidak Kira apa jenis kenderaan sekalipun.Kerana ilat (tujuan hadis) bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah kebolehan pelaksanaan solatt di atas kenderaan.[14]

Kesukaran lain yang turut dinyatakan dalam hadis,ialah mengelakan diri dari hujan lebat.
Nabi pernah melaksanakan solat secara duduk di atas kenderaan dengan hanya sebab untuk mengelakkan diri daripada hujan lebat.Sabda Nabi yang bermaksud:

Ya’la bin Murah ra bersama Nabi dalam satu perjalanan,kemudian sampai di satu lembah.Ketika itu Nabi di atas kenderaan tunggangannya.Langit ketika itu mendung dan tanah sangat basah.Kemudian masuk waktu solat,Baginda memanggil muazin lalu muazin azan dan iqamah.Setelah itu,Nabi meneruskan solatnya di atas kenderaan dan bersolat secara berjamaah dengan para sahabat.Baginda memberi isyarat dimana sujudnya lebih rendah dari ruku’nya.[15]

Keadah perlaksaan solat fardhu diatas kapal terbang sama sahaja seperti solat di darat.Cumanya,ada kesukaran yang timbul maka ,kesempurnaan gerak solat itu juga berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi.Perlaksanaannya juga sama sahaja dengan kaedah solat bagi mereka yang sakit,seperti menudukkan kepala lebih sedikit ketika sujud,bagi membezakan sujud dengan ruku’.

Akhir sekali,penulis menyeru kepada semua agar bersikap adil dan benar dalam hal memilih keadah melaksanakan solat sama ada secara berdiri atau duduk.Tidak sah solat bagi mereka yang sengaja solat secara duduk tanpa ada keuzuran yang dibenarkan.Namun jika segala daya dan usaha telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh,maka dirikanlah solat dengan semampu yang mungkin.Tidak perlu di Qhada’ ataupun diulanginya semula.

Firman Allah:

“(Allah) telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya.” (al-Jatsiyah: 13)


Penulisan ini adalah hasil kajian dan pemahaman penulis, dan sebagai manusia, penulis tetap melakukan kesilapan. Jika terdapat pemahaman yang silap, maka tegurlah kesilapan itu. Jika pemahamanku silap, aku menariknya semula semasa hidupku atau sesudah matiku.[16]


[1] riwayat Imam al-Baihaqi, dikutip oleh Shaikh Manshur Ali Nashif dalam at-Taaj al-Jamii' lil-Usul fii Ahadith Rasul, 1/440 tidak dinyatakan status hadis..

[2] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam

[3] hadith riwayat Imam Baihaqi dalam kitabnya Sunan al-Kubra, Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar,

[4] Imam Shana’ni didalam kitab Subus-salam

[5] Hafiz Firdaus dalam bukunya Panduan ibadah dalam musafir penerbangan.

[6] diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim

[7] Surah Al-baqarah:238

[8] Hadis direkodkan Bukhari.

[9] Hadis direkodkan Imam Nasai’e

[10] Silsilah Sahihah-Nasirudin Al-bani

[11] Koleksi Hadis-hadis Hukum oleh Prof Dr,Hasbi Ash-Shiddieqie,yang dinukilkan dari Buku Hafiz Firdaus Panduan ibadah dalam musafir penerbangan -.

[12] Musnad Ahmad

[13] Hadis direkodkan Imam Al-Bazaar dan Daraquthni.Rujuk Nailul Authar,Imam Syaukani.

[14] Koleksi hadis-hadis hukum oleh Prof Dr Hasbi Ash-Shiddieqie. dinukilkan dari buku Hafiz Firdaus Panduan ibadah dalam musafir penerbangan ,

[15] Hadis direkodkan Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad.Disahihkan oleh Imam Syaukani dalam Nailul Authar.

[16] Imam Syafie

Baca Artikel Penuh>>